Bantuan CPR dalam 10 minit

Oleh RAJA NORAIN HIDAYAH RAJA ABDUL AZIZ

Apabila berlaku kecemasan, termasuk kecederaan atau serangan jantung, ia pasti menimbulkan suasana panik sehingga membuat­kan orang sekeliling menjadi ‘kaku’ seketika.

Pada ketika itu mereka hanya mengharapkan bantuan daripada kakitangan perubatan tanpa mampu berbuat apa-apa.

Lebih menyedihkan, ada mangsa meninggal dunia tanpa menerima bantuan kecemasan daripada individu berhampiran, sedangkan bantuan pernafasan kecemasan atau Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) boleh diberi.

Banyak alasan diberi, antaranya tidak tahu teknik betul melakukan CPR, malah ada juga menganggap ia menjijikkan kerana perlu membuat sentuhan mulut ke mulut.

Mahu menolak tanggapan berkenaan di samping menga­jar teknik CPR yang betul, pasukan paramedik Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) menganjurkan kursus CPR baru-baru ini.

Kursus selama sehari itu mendapat kerjasama Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala lumpur dan PBSM.

Paramedik PBSM, Mohd Hasrul Mohd Nuran, 27, berkata kursus itu membabitkan kira-kira 80 peserta daripada kakitangan awam.

Katanya, ada saranan daripada pihak tertentu yang mahukan setiap jabatan mempunyai sekurang-kurangnya seorang mampu memberi bantuan awal jika berlaku kecemasan.

“Individu berkenaan adalah orang terawal memberi bantuan kepada mangsa apabila berlaku kecemasan yang sedikit sebanyak dapat membantu mangsa untuk terus bernafas.

“Bantuan awal penting bagi memastikan mangsa terus memberi tindak balas sementara menunggu ketibaan ambulans,” katanya.

Menurutnya, peserta diberi penerangan ringkas mengenai CPR kerana kebanyakan mereka hanya tahu ia membabitkan pernafasan mulut ke mulut.

Katanya, melalui kursus itu peserta didedahkan teknik bantuan CPR yang betul di samping langkah yang perlu diambil apabila berdepan kecemasan.

Jika diperhatikan, setiap kali berdepan detik cemas, perkara pertama yang terlintas di fikiran adalah menghubungi ambulans.

Walaupun ia dikira langkah bijak, bantuan perlu diberi terlebih dulu sebelum meminta bantuan perubatan kerana ambulans biasanya mengambil masa lama untuk tiba di tempat kejadian.

Di negara kita, pengetahuan mengenai teknik melakukan CPR masih rendah, iaitu dianggarkan hanya 10 hingga 15 peratus tahu melakukannya dan kebanyakan mereka adalah kakitangan perubatan.

Bantuan CPR boleh membantu kegagalan jantung yang terhenti mengepam darah akibat beberapa sebab, termasuk terkena serangan jantung, lemas, renjatan elektrik atau tercekik.

Malah beberapa penyakit seperti masalah jantung, kencing manis, strok, tekanan darah tinggi atau penyakit kronik lain juga berisiko menempuh pelbagai keadaan yang memungkinkan kita memberi CPR.

Mohd Hasrul berkata, peserta ditunjukkan demonstrasi CPR membabitkan tiga golongan iaitu bayi, kanak-kanak dan orang dewasa.

Katanya, kaedah bagi ketiga-tiga golongan itu berbeza kerana bagi bayi dan kanak-kanak, tekniknya mungkin ‘lembut’ sedikit.

“Lazimnya, bayi sering berdepan masalah tercekik yang memerlukan bantuan CPR dilakukan kepadanya.

“Apabila CPR dilakukan ke atas bayi, perhatian lebih diperlukan bagi mengelak berlakunya sesuatu yang berbahaya kepadanya,” katanya.

Menurutnya, tempoh 10 minit pertama selepas mangsa tidak sedarkan diri dianggap kritikal dan penting.

Katanya, bantuan perlu diberikan dalam masa empat hingga enam minit dan perlu memastikan mangsa memberi respons sebelum ketibaan bantuan perubatan.

“Jika bantuan tidak diberi dalam tempoh 10 minit, otak mangsa berdepan risiko kegagalan berfungsi kerana oksigen tidak sampai ke otak.

“Biasanya ambulans me­ngambil masa 15 hingga 20 minit untuk tiba ke lokasi dan tempoh itu dianggap terlalu lama pada saat kritikal, sekali gus boleh menyebabkan kematian otak mangsa,” katanya.

CPR yang diperkenalkan 50 tahun lalu membabitkan tiga perkataan penting iaitu resusitasi (bermakna mengem­balikan kehidupan), kardio (jantung) dan pulmonari pula merujuk kepada paru-paru.

Kaedah CPR lama membabit­kan bantuan pernafasan mulut ke mulut (bagi membekalkan oksigen ke paru-paru) dan ‘mengepam’ jantung supaya boleh berdegup semula untuk mengepam darah ke otak.

Bagaimanapun, dengan kaedah lama ini, hanya satu daripada tiga orang yang mendapat serangan jantung di Amerika Syarikat menerima bantuan CPR sebelum ambulans sampai.

Dalam kursus itu, peserta juga berpeluang menggunakan alat atau AED yang bertindak mengecas semula aliran elek­trik dalam badan.

Alat mudah alih ini mampu memberi bantuan awal kepada mangsa sementara menunggu ketibaan ambulans selain mudah dikendalikan.

Katanya, alat menggunakan kuasa bateri itu tidak akan berfungsi jika pengguna tidak mematuhi arahan mengikut turutan.

“Namun, penggunaannya juga harus mengikut peraturan tidak menyentuh pesakit ketika aliran elektrik (shock) diberikan.

“Selain itu, ia digunakan di kawasan kering kerana aliran elektrik boleh berlaku yang mungkin membahayakan nyawa individu berhampiran jika ada sumber air,” katanya.

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url