Iran - Rahsia khazanah Parsi


Milad Tower menara keempat tertinggi di dunia.


Sebut saja Iran, pelbagai perkara terlintas di fikiran penulis. Antaranya kerajaan purba Parsi, Shah Iran khususnya Moham-mad Reza Pahlavi, Permaisuri/Shahbanu Farah Diba, Ayatollah Khomeini, revolusi Iran, fahaman syiah, permaidani sutera hinggalah kepada kucing Parsi yang gebu-gebu.

Kalau daripada sudut perfileman, penulis turut meminati pengarah kelahiran republik itu, Majid Majidi yang sinonim dengan karyanya seperti Children of Heaven dan Baran yang pernah menarik perhatian Hollywood.

Semua itu hanya diketahui melalui pembacaan, penceritaan serta tontonan dalam pelbagai medium sejak zaman persekolahan lagi.

Memang sudah lama penulis teringin ke Tanah Parsi, namun tidak sangka peluang itu akhirnya datang pertengahan Disember lalu.

Tawaran ke kota Tehran tercapai apabila penulis diundang menemani sahabat, Edd Razhe selaku Pembantu Peribadi kepada Pengerusi dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia Berhad serta Pengerusi AirAsia X.


Tujuan Edd ke sana untuk bercuti sambil meninjau lokasi serta program menarik untuk diisi dalam pakej terbaru AirAsiaGo. Selain itu, Edd mahu membawa rombongan Majalah 3 membuat liputan di sana tidak lama lagi.

Buat masa ini, AirAsia X terbang dua kali seminggu ke Tehran iaitu setiap Isnin dan Rabu dengan pesawat Airbus 330, berkapasiti 377 penumpang termasuk 12 tempat duduk premiere. Kata Edd, penerbangan empat kali seminggu dijangka bermula sekitar Jun nanti.

Sepanjang seminggu di kota antik-moden itu, kami menginap di Espinas International Hotel yang tersergam di Keshavarz Boulevard, memang hampir dengan satu lokasi beli-belah.

Bersama pemandu pelancong silih berganti, Jaleh Ebrahimi dan Maryam Mah-moudi, kami dibawa melihat keindahan serta keunikan bandar raya Tehran yang berpopulasi sembilan juta penduduk pada sebelah malam dan bertukar menjadi 13 juta pada waktu siang apabila penduduk luar kota datang mencari rezeki.

Dari bilik Hotel Espinas lagi dapat dilihat pemandangan musim luruh yang mempesonakan, terutama pada waktu pagi apabila mentari mula menyinari banjaran salji Alborz yang terhampar di utara Tehran - memisahkan wilayah berkenaan dengan Laut Caspian.

Cuaca di Tehran ketika ini memang sejuk dan gunung-ganang mula diliputi salji. Ia sesuai untuk mereka yang gemar bermain ski, menaiki kereta kabel dan menjalankan aktiviti pendakian.

Tidak dinafikan landskap di sana sangat indah dengan langit membiru - sangat ideal bagi penggambaran filem atau drama.

Untuk ke puncak gunung salji, kita perlu menaiki kereta yang akan menyusuri jalan liku yang ada kalanya sangat curam dan menggerunkan. Sesekali terasa seperti kita berada di Switzerland.

Sekalipun Iran sebuah Republik Islam, gaya hidup rakyatnya, terutama di Tehran, tidaklah terlalu ekstrem. Memang benar semua wanita

di Tehran termasuk pelancong mesti menutup aurat atau sekurang-kurangnya memakai skaf atau selendang tatkala di tempat awam, namun mereka tetap kaki bergaya. Mudah cakap, lihat saja gaya ‘stailo’ mereka di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Ada banyak butik, gedung pakaian dan bazar di kota itu yang menawarkan pelbagai produk fesyen moden mahupun tradisi. Ditambah dengan musim dingin sekarang, perang fesyen berlaku di kaki lima jalan apabila masing-masing bergaya dengan ‘chador’ (jubah), ‘trench coat’, jaket, ‘shawl’, sut dan but.

Arus pemodenan itu tidak menghairankan kerana sebelum revolusi Iran tercetus pada 1979, Shah Iran terakhir iaitu Mohammad Reza Pahlavi bersama isteri baginda, Shahbanu Farah Diba, tidak menghalang pengaruh Eropah dan Barat meresapi kehidupan rakyatnya.

Malah ketika Farah Diba berkahwin dengan Reza Pahlavi pada 1959, baginda memilih untuk didandan dengan mewah oleh pereka fesyen terkemuka, Yves Saint Laurent (YSL) butik fesyen Christian Dior di Paris.

Menariknya, selepas Reza Pahlavi dan Farah Diba digulingkan dalam revolusi Iran, semua khazanah berharga mereka seperti singgahsana, mahkota, tiara, barang kemas dan pedang bertatah permata kini menjadi milik pemerintah. Ia dipamerkan di sebuah muzium yang terletak di Bank Pusat Iran (Markazi Jomhouri Islami Iran).

Muzium harta diraja itu memang tarikan yang tidak harus dilepaskan kerana kita akan dapat melihat mahkota Shah Iran sejak Dinasti Qajar (abad ke-18 & 19) yang bertatah permata serta koleksi tiara dan barang kemas permaisuri yang dihiasi berlian, mutiara, zamrud, delima dan bermacam lagi permata termahal. Malah, satu aksesori berbentuk juraian permata biru hanya sekadar untuk menghiasi wajah kuda diraja! Begitulah hebatnya Shah Iran.

Penulis turut sempat melawat Istana Golestan yang menempatkan pelbagai lagi barangan berharga, termasuk serpihan tahi bintang (meteor) yang pernah jatuh dari langit Iran.

Sesiapa yang melangkah masuk ke dalam ruang utama istana lama itu pasti ternganga melihat rekaan dalamannya yang sangat luar biasa.

Dari dinding hingga siling, ia dihiasi dengan ukiran dan kepingan kaca kecil yang sungguh mempesonakan. Di situlah juga istiadat pertabalan Reza Pahlavi dilangsungkan pada 1967.

Namun apa yang hendak dihairankan kerana arkitek dari Parsi juga yang turut serta membina binaan agung Taj Mahal di Agra sebagai mana pernah diimpikan Shah Jahan pada abad lampau.

Daripada segi juadah, juadah ruji dan ‘trademark’ Iran pastilah kebab lembu dan ayam bersama ‘shomal’ (nasi digauli safron). Restoran makanan segera juga ada di merata tempat yang menawarkan pelbagai burger.

Bagi yang mahu beli-belah, harus diingatkan kad kredit visa atau master tidak diterima langsung. Ini mungkin satu masalah besar. Jadi kita perlu membawa wang USD seba-nyak mungkin untuk ditukarkan dengan mata wang mereka iaitu Riyal dan Toman. Kadar tukaran mereka lebih kurang 10,000 Riyal bersamaan 1,000 Toman atau USD1.

Soal komunikasi juga mungkin satu masalah kerana tidak semua tahu berbahasa Inggeris. Jalan terbaik adalah mendapatkan bantuan pemandu pelancong atau pihak hotel.

Ketika membeli, kita harus bijak menawar dan usah alpa dengan produk tiruan yang bercampur aduk dengan yang tulen.

Kebetulan tatkala kami tiba di Tehran, rakyatnya menyambut Hari Asyura. Memandangkan ia cuti umum dan hari berkabung atas pembunuhan Saidina atau Imam Hussein, semua kedai ditutup. Ribuan rakyat Iran, terutama lelaki, akan keluar berarak di jalan raya dengan pakaian serba hitam.

Mereka melakukan adat membidas badan dengan aksesori rantai yang dipanggil ‘zanjir’ mengikut rentak gendang, membawa usungan berat di atas bahu yang dipanggil ‘alam’ dan membuat teater jalanan, ta’azieh. Ia memang unik dan itulah budaya dan fahaman syiah mereka.

Pada hari itu juga, mereka menyembelih haiwan ternakan dan kemudian membuat kenduri.

Tempat lain yang perlu dilawati adalah Muzium Karpet untuk melihat koleksi permaidani tertua di Iran. Jika mahu ke Esfahan, anda boleh menaiki kereta dengan enam jam perjalanan dari Tehran atau lebih pantas, melalui pesawat.

Daripada sudut hiburan dan santai, Tehran hanya ada pawagam dan pusat boling. Waktu malam di sana tentu membosankan bagi mereka yang sukakan ‘clubbing’.

Penggunaan Internet memang ada, namun kebanyakan laman web yang memudaratkan masyarakat disekat. Malah laman sosial facebook (fb) juga ditapis.

Melihat jalan rayanya yang sentiasa sesak dengan kenderaan, anda dinasihatkan berhati-hati ketika melintas. Tehran juga memiliki sistem pengangkutan kereta api yang efisyen iaitu TehranMetro.

Beberapa binaan moden yang tinggi turut kelihatan seperti Milad Tower (menara keempat tertinggi di dunia) dan menara bersejarah Azadi Tower yang menjadi simbol kebebasan.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pakej menarik ke Tehran, sila layari laman web airasiago.com dan bagi menyemak tambang termurah ke sana, sila layari airasia.com pada bila-bila masa.

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url