16 jam di atas kereta api


Oleh MAZLINA ABDUL MAJID

Kepada mereka yang obses dengan kereta api, mendengar rodanya bergerak di atas landasan sudah cukup untuk menghilangkan duka lara perasaan. Namun, ada suara-suara sumbang yang memperlekehkan kenderaan klasik itu.

Kata mereka, kereta api simbol kebosanan. Tidak kurang yang melontarkan persepsi bahawa kereta api adalah pengangkutan kelas ketiga dan tidak berdaya saing.

Penulis tidak peduli dengan semua cemuhan itu. Penulis cuba mengubah trend daripada menaiki kapal terbang kepada menaiki kereta api untuk melancong.

Syukur, impian menjelajah ke bumi Hat Yai, Thailand berjaya direalisasikan dengan bantuan Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB).

Sebenarnya, penulis terlalu ingin merasai perasaan klasik menaiki kereta api yang pernah ditarik dengan kuda pada zaman kolonial.

Bersama sembilan rakan seperjuangan, kami berasa resah kerana terpaksa menempuh perjalanan selama 16 jam dari KL Sentral-Padang Besar-Hat Yai.

Ya, memang laluan itu sangat panjang. Ia melalui 14 stesen kereta api menerusi Ekspres Senandung Langkawi sebelum sampai ke lokasi tujuan. Stesen KL Sentral pada 17 Februari lalu, hiruk-pikuk dengan manusia. Bila ditanya, masing-masing mengatakan sedang menunggu kereta api untuk ke utara. Rupa-rupanya masih ramai lagi yang cenderung menaiki kereta api.

Warna-warni perjalanan

Tepat pukul 9.15 malam, Ekspres Senandung Langkawi bersedia mengambil para penumpang. Penulis memegang tiket kelas pertama yang menyediakan sebuah bilik lengkap dengan katil dua tingkat, TV, meja tulis dan tempat mencuci tangan.

Kegelapan malam meskipun gagal merakam apa jua pemandangan membuka ruang kepada penulis berjalan dari kepala hingga hujung kereta api. Nampaknya, lebih ramai yang tidur daripada berjaga.

Kepada yang membawa anak kecil adakalanya kesabaran mereka teruji dek kenakalan si manja yang berlari ke hulu ke hilir. Ada juga wajah yang kelihatan masam mencuka. Barangkali dipaksa menaiki kereta api atau kegagalan mendapat tiket bas.

Bagi kebanyakan pelancong mat saleh pula, buku tetap menjadi taruhan di kala kereta api masih belum berhenti di destinasi.

Bagi penulis, menaiki kereta api kerap melahirkan ilham untuk menulis. Pelbagai gelagat yang ditonton, maka lebih mencurah-curahlah artikulasi itu hadir.

Seperkara yang unik menaiki kereta api ialah menikmati hidangan di kantin tren. Ya, makanan tidaklah berapa enak namun nilai kepada suasana gerabak sangat mahal bagi penulis.

Singgah di stesen

Kereta api singgah seketika di Stesen Keretapi Ipoh atau diberi jolokan sebagai Taj Mahal Ipoh untuk mengambil penumpang. Stesen itu memang memukau pandangan. Sempat juga penulis turun menjengah.

Dibina oleh seorang arkitek bernama A.B Hubback pada 1914 dan siap pada 1917, ciri-ciri binaannya saling tidak tumpah dengan Stesen Keretapi KL yang berbentuk kubah dan berwarna putih.

Malam semakin larut. Sedar tidak sedar, perjalanan telah melewati Stesen Keretapi Taiping, Kuala Kangsar dan tiba di Bukit Mertajam. Laluan kereta api menjadi semakin perlahan apabila melalui Stesen Butterworth.

Kepada mereka yang berhasrat ke Bangkok, di sinilah perkhidmatan kereta api merentas sempadan antara Butterworth dan Bangkok beroperasi.

Bangkit nostalgia

Melewati pukul 7 pagi, penulis bangkit dan menjengah ke luar bagi menikmati panorama sawah padi yang menghijau. Sapaan bayu begitu menyenangkan.

Pada ketika embun pagi masih menyaluti bumi itu, kereta api akan melepasi hentian Kuala Kangsar-Taiping-Sungai Petani-Alor Star dan Arau.

Pemandangan tersebut cukup menyejukkan sanubari. Kanak-kanak sekolah memeluk erat pinggang bapa ketika menunggang motosikal sesekali melintas pandangan.

Burung-burung terbang di awangan namun kicauannya ditelan oleh bunyi bingit kereta api yang tidak menjengkelkan. Selang beberapa ketika, kelihatan pesawah-pesawah bersama lembu membajak bendang dengan penuh ketekunan.

Tiba di Stesen Arau yang dikhabarkan akan dirobohkan membangkitkan nostalgia penulis. Di sinilah, buat pertama kalinya penulis jatuh cinta dengan nasi kerabunya. Gerainya betul-betul terletak bersebelahan pejabat operasi stesen.

Berada di Thailand, waktunya satu jam lewat ke belakang. Sekitar pukul 10 pagi, penulis sampai ke Stesen Keretapi Padang Besar terletak di kawasan sempadan Perlis–Thailand. Kesemua penumpang turun untuk melepasi pemeriksaan pihak imigresen Thailand sebelum menaiki kereta api ke Hat Yai.

Sejam kemudian, kaki melangkah ke Stesen Keretapi Hat Yai yang merupakan satu-satunya stesen antarabangsa yang menghubungkan Thai Railway dan KTMB, milik Malaysia.

Stesen ini yang bersifat neoklasik dan konvensional menerima 28 buah kereta api penumpang setiap hari. Ia juga merupakan hab bagi kereta api tempatan di Selatan Thailand.

“Saya pasti awak terkejut dengan suasana di stesen ini, kalau awak nak tahu, gambarannya sama dengan wajah stesen ini sejak berpuluh tahun lamanya,” beritahu salah seorang polis stesen yang barangkali mampu membaca riak wajah dan isi hati penulis yang sedikit kaget.

Proses memanggil menumpang di stesen kereta api itu masih menggunakan loceng besar adalah indikator jelas kepada kata-kata lelaki berpakaian seragam berkenaan.

Konfigurasi ruang stesen itu memang mempunyai perbezaan yang sangat ketara dengan Malaysia. Barangkali sesuatu yang agak sukar diterima apabila terdapat pasar mini di landasan kereta api.

Membudaya kereta api

Peniaga bebas berniaga di tepi gerabak. Ada yang menjual semata-mata air mineral, makanan ringan termasuk buah-buahan segar.

Thailand juga merupakan antara negara utama yang membudayakan pengangkutan kereta api. Mereka sangat sayang kepada pengangkutan itu. Sebuah muzium mini menempatkan khazanah kereta api lama yang mempunyai tempat duduknya diperbuat daripada papan dipamerkan di sebuah landasan khas di stesen itu.

Pengurusan rel di Hat Yai boleh diberi tabik hormat. Polis stesen yang sentiasa berjaga 24 jam dan bersedia menjawab pertanyaan anda. Begitu juga dengan tukang sapu sampah yang sentiasa memastikan tiada sampah yang dibuang merata-rata di persekitaran landasan.

Untuk pulang semula ke tanah air, penulis masih memilih kereta api walau mempunyai opsyen menaiki kapal terbang. Ya, pergerakannya perlahan dan boleh menyesakkan batin tapi kepada yang benar-benar meminatinya, ia satu pengalaman yang cukup memuaskan.

Walaupun tidak menaiki kereta api Glacier Express dari St. Moritz ke Zermatt di Switzerland, penulis berasa cukup gembira.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url