60 peratus rakyat Malaysia guna AI dalam urusan seharian

 


Rakyat Malaysia semakin banyak menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk membantu memudahkan pelbagai perkara membabitkan kerja dan peribadi, demikian menurut platform pekerjaan dalam talian terkemuka di Malaysia, JobStreet.

Laporan Decoding Global Talent 2024 yang diterbitkan oleh JobStreet By SEEK mendapati, 60 peratus rakyat negara ini menggabungkan AI ke dalam pelbagai aktiviti.

Lebih ketara, 44 peratus rakyat Malaysia menggunakan kecerdasan buatan generatif (GenAI) setiap bulan, melebihi purata global sebanyak 39 peratus dan menyamai purata Asia Tenggara.

GenAI merujuk kepada jenis kecerdasan buatan yang mampu menghasilkan kandungan baharu seperti teks, imej, muzik, dan video berdasarkan input atau arahan yang diberikan.

Sektor utama di mana GenAI paling banyak digunakan termasuk digitalisasi, sains data & AI (71 peratus), teknologi maklumat (63 peratus) serta sektor pemasaran & media (60 peratus).

Manakala, penggunaannya masih rendah dalam sektor pengangkutan, logistik & rantaian bekalan (36 peratus), undang-undang (34 peratus) dan industri perkhidmatan & hospitaliti (32 peratus).

Pekerja muda berusia antara 18 hingga 24 tahun adalah 50 peratus lebih cenderung menggunakan GenAI secara kerap berbanding mereka yang berumur lebih 45 tahun, sekali gus menonjolkan jurang umur dalam penerimaan teknologi.

Dalam kehidupan peribadi pula, rakyat Malaysia kebanyakannya menggunakan GenAI untuk mengakses maklumat berfakta (58 peratus), pembangunan kemahiran (51 peratus) dan terjemahan bahasa (40 peratus) dengan 37 peratus bergantung pada AI untuk menyelesaikan masalah umum dan mendapatkan nasihat, melebihi purata serantau dan global.

"Walaupun penggunaan AI semakin meningkat, 40 peratus rakyat Malaysia dan 41 peratus rakyat Asia Tenggara masih tidak biasa dengan GenAI, menunjukkan peluang yang besar untuk meningkatkan kesedaran dan pendidikan," katanya.

Laporan terkini oleh JobStreet By SEEK itu juga mendapati ketika integrasi AI semakin pantas, 79 peratus profesional di Malaysia menjangka perubahan dalam peranan mereka.

Kira-kira 28 peratus daripadanya menjangkakan transformasi besar yang boleh mengancam keselamatan pekerjaan.

Profesional dalam sektor seperti digitalisasi, AI dan perkhidmatan awam menyuarakan kebimbangan paling tinggi sebanyak 34 peratus.

Manakala, 33 peratus pekerja dalam bidang undang-undang dan kesihatan percaya pekerjaan mereka kekal tidak terjejas disebabkan keperluan yang lebih rendah untuk penerapan GenAI dalam tugasan.

"Separuh daripada tenaga kerja menjangka keperluan untuk meningkatkan kemahiran, dan 21 peratus menjangkakan perubahan besar dalam pekerjaan yang memerlukan set kemahiran baharu.

"Sebagai tindak balas, 57 peratus profesional terbuka untuk mengikuti latihan semula bagi kekal berdaya saing, manakala hanya lima peratus bimbang pekerjaan mereka mungkin hilang sepenuhnya akibat GenAI," katanya.

Pemangku Pengarah Urusan Jobstreet by SEEK, Nicholas Lam, berkata dunia menyaksikan evolusi pesat AI dan cara ia boleh digunakan dalam industri dan peranan tertentu.

Beliau berkata, perkembangan yang sangat menggalakkan melihat ramai rakyat Malaysia sudah mula menggabungkan AI dalam kehidupan peribadi mereka.

"Inisiatif Belanjawan 2025 yang terkini mengenai AI mewakili langkah penting ke arah meletakkan Malaysia sebagai peneraju teknologi global.

"Dengan pelaburan yang signifikan dalam aplikasi AI di pelbagai sektor, syarikat perlu melihat GenAI sebagai pelengkap kepada tenaga kerja, bukan pengganti," katanya.

Sumber : Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url