Top Ad 728x90

,

GTP amat membanggakan


KUALA LUMPUR 27 Mac - Pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP) sejak setahun lalu membuahkan kejayaan amat membanggakan kerana ia dihasilkan melalui satu agenda bersifat berani, inovatif dan telus serta didukung oleh pasukan pentadbir yang bersungguh-sungguh mahu meningkatkan taraf hidup rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sehubungan itu berkata, kejayaan tersebut akan dijadikan iltizam kepada kerajaan untuk berusaha lebih gigih pada masa akan datang demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Beliau berkata, kejayaan itu juga amat berkait rapat dengan keputusan kerajaan menetapkan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang selama ini menjadi tiang kepada GTP.

"Dalam setiap NKRA, kita sasarkan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dengan cara menyentuh denyut nadi mereka. Kita insaf bahawa rakyat adalah segala-galanya bagi kerajaan. Mereka merupakan satu amanah.

"Seperkara lagi dalam era kini, kerajaan yang cekap adalah kerajaan yang tahu jangkaan rakyat. Sudah tentu rakyat mahu kualiti hidup mereka ditingkatkan selain tinggal dalam sebuah negara yang selesa dan selamat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Transformasi Bersama Rakyat Untukmu Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini malam ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri-Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Datuk Seri Idris Jala serta barisan menteri dan timbalan menteri.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Pada majlis malam ini beliau turut melancarkan Buku Laporan Tahunan GTP 2010.

Perdana Menteri turut menyentuh bagaimana kerajaan mengambil kira pandangan rakyat sebelum GTP dilaksanakan tahun lepas melalui satu proses tinjauan.

Hasilnya kata beliau, enam NKRA telah ditetapkan iaitu mengurangkan jenayah, memerangi rasuah, memperbaiki pencapaian pelajar, meningkatkan pendapatan isi rumah berpendapatan rendah, meningkatkan infrastruktur luar bandar dan meningkatkan kemudahan pengangkutan awam bandar.

"Kita juga sedar era kerajaan mengetahui segala-galanya telah berakhir. Oleh itu dengan rasa rendah diri kita perlukan maklum balas rakyat supaya kita tahu apa yang mereka mahukan," ujarnya.

Sementara itu beliau mengakui bukan mudah untuk kerajaan mengecap kejayaan itu kerana pelbagai cabaran serta dugaan terpaksa ditempuhi.

"Oleh itu dalam kita meraikan kejayaan tahun pertama GTP ini, saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penjawat awam yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan kerana bersama-sama menggembleng tenaga menjayakan misi ini," ujarnya

Dalam pada itu dalam ucapannya, Najib turut memaklumkan kejayaan-kejayaan kerajaan menaikkan taraf hidup rakyat melalui enam NKRA yang merupakan tiang atau tunjang kepada GTP.

Antara pencapaian tersebut ialah:

1. Indeks jenayah turun 15 peratus, indeks jenayah jalanan turun 35 peratus,

2. Memerangi rasuah-penggubalan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat selain tindakan yang diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kes rasuah yang berjaya meningkatkan keyakinan rakyat.

3. 700,000 kanak-kanak memperoleh manfaat daripada lebih 1,500 kelas prasekolah.

4. Berjaya menurunkan 99.8 peratus golongan miskin tegar.

5. Mengubah kehidupan 2 juta rakyat dalam bidang meningkatkan infrastruktur luar bandar.

6. Peningkatan penumpang transit aliran ringan (LRT) yang kini berjumlah 2.43 juta orang dan peningkatan 192 peratus penumpang bas transit lebuh raya (BET).

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90