Top Ad 728x90

Muslim Best jamin semua produk halal


Syarikat Muslim Best Food Industries Sdn. Bhd. memberi jaminan bahawa semua produk keluarannya adalah halal dan tidak mengandungi sebarang bahan yang meragukan.

Pengarah Eksekutifnya, Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohammad berkata, orang ramai tidak perlu bimbang untuk menggunakan produk keluaran syarikat berkenaan kerana setiap produk dihasilkan menggunakan sumber-sumber yang mempunyai sijil halal oleh jabatan atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

Beliau berkata, kejadian Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik) menyerbu kilang syarikat itu di Kelantan Halal Park, Pengkalan Chepa pada 11 April lalu disebabkan wujud kekeliruan mengenai penggunaan logo halal, bukannya berkaitan kandungan produk dihasilkan.

Sehubungan itu katanya, kerajaan perlu membuat penyeragaman penggunaan logo halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan atau MAIN bagi mengelak kekeliruan di kalangan usahawan tempatan khususnya bumiputera.

"Kena selaraskan penggunaan logo halal supaya usahawan seperti kami tidak keliru dan tidak ada pihak yang teraniaya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau membuat kenyataan itu bagi menjelaskan tindakan Jaheik dan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kelantan menyerbu dan merampas 500 biji murtabak dan 13,000 kotak pembungkus yang tertera logo halal didakwa tanpa kebenaran dianggarkan bernilai RM20,000.

Muslim Best merupakan antara pengeluar utama produk halal tempatan bagi memenuhi keperluan umat Islam, antaranya pelbagai jenis sos dan terbaru makanan sejuk beku murtabak, karipap, samosa, popia dan piza.

Mengulas lanjut perkara itu, Sheikh Ahmad Dusuki berkata, makanan sejuk beku Muslim Best dihasilkan oleh syarikat vendornya, Zees Heritage Trading yang telah mengemukakan permohonan logo halal kepada Jaheik pada 24 Januari lalu, iaitu sebelum serbuan dilakukan.

Sehubungan itu, beliau memohon Jaheik mempercepatkan proses tersebut bagi membolehkan syarikat terus berdaya saing dalam mengeluarkan produk halal untuk keperluan pengguna khususnya di kalangan umat Islam.

"Kita juga memohon pihak PPDNKK Kelantan dapat memulangkan semula kotak yang dirampas supaya kita dapat terus berniaga. Jika ada yang tidak kena tentang permohonan, sila beritahu apa yang perlu diperbetulkan," rayu beliau.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90