Persoalan Agama: Penjelasan ulama manfaat fahami hadis lemah, palsu
Assalamualaikum ustaz. Saya bukanlah orang yang faham sangat mengenai ilmu agama dan ingin tahu berkaitan hadis. Kenapakah dinamakan sahih dan tidak sahih? Diharap ustaz dapat jelaskan agar saya mendapat gambaran. Terima kasih.
JAWAPAN :
ALHAMDULILLAH. Wassolatu was salam ‘ala Rasulillah wa ba’d. Semoga Allah membantu saudara dalam meningkatkan kefahaman kita mengenai Islam. Sememangnya tidak mudah untuk menjelaskan secara terperinci mengenai ilmu hadis. Tetapi secara gambaran kasar mungkin dapat dijelaskan sebagaimana berikut.
Ulama membahagikan ilmu hadis kepada dua. Pertama ilmu hadis riwayat dan kedua ilmu hadis dirayah. Ilmu hadis riwayat adalah ilmu yang mempelajari segala sesuatu yang disandarkan kepada Rasulullah SAW sama ada perkataan Baginda, perbuatan Baginda, ketetapan, sifat akhlak Baginda dan ciri-ciri Baginda SAW.
Perkara yang dibahaskan iaitu perkataan, perbuatan, ketetapan dan sifat Rasulullah SAW daripada aspek periwayatannya. Faedah ilmu hadis riwayat ini adalah untuk menjaga sunnah dan memeliharanya daripada kesilapan dalam meriwayatkan sesuatu daripada Rasulullah SAW.
Hadis dirayah pula adalah ilmu yang meliputi semua kaedah dan perbahasan untuk mengetahui keadaan al-Rawi (perawi) dan al-Marwi dari segi diterima atau ditolak sesuatu hadis. Untuk menjelaskannya lagi iaitu hadis dari segi kedudukan atau darjat periwayatannya terbahagi dua. Pertama diterima atau istilah hadisnya Maqbul. Kedua ditolak atau Mardud. Yang diterima terbahagi kepada empat iaitu Sahih Lizzatihi, Sahih Lighairihi, Hasan Lizzatihi dan Hasan Lighairihi.
Penjelasannya, pertama iaitu Sahih Lizzatihi kerana diriwayatkan oleh perawi terpercaya (thiqah), teliti atau cermat, bersambung sanadnya (jalur periwayatan), riwayatnya tidak cacat dan tidak bertentangan dengan riwayat yang lebih kuat.
Kedua, Sahih Lighairihi iaitu hadis yang sebenarnya secara darjat berada pada kedudukan Hasan, namun oleh kerana jumlahnya banyak, maka naik kepada darjat Sahih.
Ketiga, Hasan Lizzatihi iaitu hadis yang memenuhi syarat seperti Sahih Lizzatihi tetapi seorang perawinya dikira sebagai kurang cermat dan teliti.
Keempat, Hasan Lighairihi iaitu hadis yang sebenarnya sedikit daif (lemah), tetapi oleh kerana jumlahnya banyak sehingga naik ke darjat Hasan Lighairihi.
Adapun hadis daif (lemah) tidak boleh dijadikan hujah. Ia mempunyai banyak bentuk seperti matruk, mungkar, maudhu’, mudhtarib, munqathi’, mu’allaq, mudallas dan sebagainya.
Hadis itu pula pelbagai baik yang sahih mahupun yang lemah dimuatkan dalam kebanyakan kitab hadis. Hanya dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim semua hadis yang terkandung di dalamnya adalah sahih.
Selain itu, secara umumnya kitab hadis ada terkandung didalamnya hadis daif (lemah) meskipun sedikit. Di antara kitab hadis terkenal adalah Sunan Abu Daud, Sunan at-Tirmizi, Sunan an-Nasa’i, Sunan Ibnu Majah, Musnad Ahmad, Sunan ad-Darimi, al-Muwaththa’ oleh Imam Malik, Musnad al-Bazzar, al-Mu’jam Kabir oleh at-Thabarani, Sunan ad-Daraquthni, Musnad Abu Ya’la, Musnad at-Thayalisi, al-Mustadrak oleh al-Hakim dan lain-lain. Ulama tetap memasukkan hadis lemah dengan alasan antaranya agar umat tahu hadis berkenaan lemah dan perlu berwaspada atau agar kelemahan hadis itu masih diperselisihkan lagi atau sebagainya.
Adapun perawi lemah jumlahnya banyak sehingga ada yang biasa memalsukan hadis. Penilaian ulama terhadap profil dan peribadi mereka dimuatkan dalam kitab Rijaal al-Hadis (perawi hadis) seperti Ad-Dhu’afa wa al-Matrukin, Tahdzib at-Tahdzib, Taqrib at-Tahzib, Mizan al-I’tidal dan lain-lainnya.
Akhir-akhir ini kalangan ulama kontemporari banyak melakukan tahqiq (penelitian) semula untuk menilai kesahihan hadis seperti Syeikh Ahmad Syakir, Syeikh Abdul Qadir al-Arnauth, Syeikh Syu’aib al-Arnauth dan banyak lagi ulama lainnya. Penjelasan mereka sangat bermanfaat bagi membantu umat dalam memahami hadis yang lemah dan palsu.
Sudah tentu penjelasan yang ringkas ini masih belum dapat memuaskan hati mereka yang ingin mendalami ilmu ini. Ini hanya gambaran kasar dengan harapan dapat menggerakkan hati mereka yang berkeinginan meningkatkan kefahaman. Sebenarnya khazanah ilmu Islam ini sangat luas, tetapi kurang diambil peduli oleh umatnya. Wallahua’lam.
- BERITA MINGGU