Top Ad 728x90

, ,

Program Transformasi Ekonomi (ETP) berjumlah RM106.405 bilion

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan tujuh projek baru untuk terus mengukuhkan minat berterusan pelabur dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP), yang sehingga kini menjana pelaburan berjumlah RM106.405 bilion, RM153.83 bilion dalam Pendapatan Negara Kasar (PNK) dan 298,865 pekerjaan baru, Selasa.

Sebanyak 72 projek dalam 54 Projek Permulaan (EPP) diumumkan sehingga kini, yang bermakna 41.2 peratus daripada 131 EPP telah dimulakan, semuanya dalam tempoh kurang enam bulan sejak ETP dilancarkan.

"Sekarang ini, hasil besar yang pantas," kata beliau semasa mengumumkan projek pelaburan terkini.

Hadir sama ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif PEMANDU Datuk Seri Idris Jala.

Antara projek terkini ialah Infineon Technologies akan melabur RM480 juta untuk memperluaskan dan menaik taraf kapasiti pengeluarannya, kemudahan pembuatan serta penyelidikan dan pembangunan di Melaka.

Penubuhan hab pembuatan perkakasan rumah elektrik Pensonic Holdings Sdn Bhd dan rangkaian pengedaran antarabangsa di Pulau Pinang, akan melibatkan jumlah pelaburan sebanyak RM250 juta.

Bagi meningkatkan kecekapan pelepasan kontena dengan mengurangkan masa beratur di pusat pemeriksaan kastam, menambah baik keselamatan melalui pengesanan automatik kontena terbuka, dan mengoptimumkan sumber manusia untuk perkhidmatan yang lebih baik, sebanyak RM45 juta akan dilaburkan bagi menyediakan infrastruktur Pengenalan Frekuensi Radio (RFID).

RFID akan membolehkan keselamatan dan automasi pemeriksaan tanpa kertas Kastam Diraja Malaysia di seluruh Malaysia.

MYLED MASTER Sdn Bhd dan subsidiarinya, MYLED Opto Technology Sdn Bhd, akan memperluaskan kemampuan pembuatan mereka dalam sektor teknologi hijau.

Terletak di Melaka dengan pelaburan sebanyak RM175 juta, kemudahan pengeluaran itu bersedia untuk memenuhi permintaan yang berkembang untuk pencahayaan keadaan pepejal di pasaran dalam dan luar negara seperti India dan Timur Tengah dalam masa dua tahun, kata Najib, yang juga Menteri Kewangan.

Ia juga akan menempatkan operasi penyelidikan dan pembangunan, di mana inovasi dan kreativiti akan membantu menurunkan lagi kos. Ia dijangka memberi kesan PNK sebanyak RM100 juta dan mewujudkan sehingga 900 pekerjaan.

Asia Media akan melabur RM500 juta dalam membangunkan infrastruktur Penyiaran TV-Transit Langsung Digital pertama di Malaysia.

Rangkaian penyiaran mudah alih dalam pengangkutan awam ini terdapat dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Kandungan Komunikasi dan Infrastruktur (CCI).

"Dengan menggunapakai infrastruktur standard penyiaran antarabangsa, organisasi itu akan dapat menyiarkan video dan suara secara langsung kepada industri transit seperti Transit Aliran Ringan, rangkaian bas dan mungkin Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) di masa depan.

"Projek ini dijangka menjana RM604 juta dalam PNK dan kira-kira 400 pekerjaan," kata Perdana Menteri.

Najib berkata kerajaan telah mula meninjau inisiatif tanpa kertas dan e-kerajaan dalam usaha untuk menjadi lebih mesra alam dan moden, inisiatif berikutnya, yang termasuk dalam CCI NKEA, merupakan kajian asas terhadap perkhidmatan kaunter dan kerajaan tanpa kertas.

Projek tersebut bertujuan menwujudkan pengukuran asas terhadap inisiatif kerajaan untuk menambah baik perkhidmatan, khususnya dalam transformasi ke arah kerajaan elektronik (EG) dan ke arah tanpa kertas.

Diuruskan oleh Unit Permodenan, Pentadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Rangkaian Telekomunikasi Bersepadu Kerajaan (GITN), projek itu melibatkan kutipan data dan analisis perkhidmatan e-kaunter, transaksi elektronik dan inisiatif kerajaan tanpa kertas dalam sektor awam, penilaian pusat data agensi kerajaan serta perkhidmatan dan infrastruktur rangkaian.

Apabila siap kelak, ia akan memastikan perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan lebih telus, sesuai bagi tujuan, berkesan kepada rakyat. Kerajaan akan melabur RM3.261 juta dalam projek itu yang akan menyaksikan pewujudan 155 pekerjaan.

Beliau berkata CCI NKEA juga memulakan inisiatif kerajaan untuk menyediakan akaun e-mel rasmi dan unik serta pengenalan bagi warganegara Malaysia.

Perdana Menteri berkata dengan kesan PNK sebanyak RM39 juta sehingga 2015, inisiatif e-mel 1MY ini akan membolehkan komunikasi langsung dan terjamin antara warga Malaysia dan kerajaan serta meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada pelanggan dan perniagaan.

Tricubes Bhd akan menerajui pelaburan berjumlah RM50 juta ini yang turut termasuk pembangunan portal web, akaun e-mel semua warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas, pusat setempat bagi perkhidmatan kerajaan, peruntukan untuk perkhidmatan nilai tambah seperti perangkaian sosial, semakan bil dalam talian serta pembayaran, tambahan kepada perkakasan pembangunan web untuk warga dan entiti perniagaan untuk aplikasi membangunkan kreatif.

Bagi pendidikan, beliau berkata Universiti Islam Antarabangsa Malaysia akan menerajui initiatif bagi membangunkan dan meletakkan Malaysia sebagai satu daripada hab pendidikan kewangan Islam utama dunia.

Ia akan melabur RM3.17 juta untuk menubuhkan kluster pendidikan Perbankan dan Kewangan Islam yang akan membangunkan dan menyesuaikan kurikulum yang diterima di peringkat global dalam bidang berkaitan kewangan Islam.

Ia juga akan menwujudkan Persatuan Untuk Kemajuan Kewangan Islam (AIFA), yang akan mengakreditasikan program-program serta memajukan dan mempromosikan pendidikan kewangan Islam di peringkat dunia.

Dengan kesan PNK sebanyak RM1.2 bilion menjelang 2020, ia akan menyaksikan pewujudan kira-kira 4,300 pekerjaan berkaitan.

Pelancongan terus menjadi penyumbang pendapatan kukuh kepada negara.

Di Sabah, sebuah konsortium yang terdiri daripada Prism Crystal Enterprises Ltd, Tan Sri Dr Chen Lip Keong dan kumpulan syarikat versama-sama pemilik tanah, Karambunai Corp Bhd dan Petaling Tin Bhd, akan membangunkan Karambunai Integrated Resort City (KIRC) dengan pelaburan sebanyak RM9.6 bilion.

Menyumbang PNK kira-kira RM9.319 bilion menjelang 2020 dan mewujudkan kira-kira 11,002 pekerjaan ketika itu, destinasi eko pelancongan bertaraf dunia ini akan memanfaatkan kelebihan daya saing Malaysia dalam eko pelancongan dan biodiversiti, dan mewujudkan kemudahan pelancongan, kesihatan dan eko pendidikan hiburan semula jadi, katanya.

Ini akan termasuk antara lain taman tema air, air terjun, kereta kabel, pusat penyelidikan bakau, pelaburan kapal pesiaran, perkampungan spa dan aqua.

Diterajui oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), inisiatif "Pasar Komuniti" (PAKAR) merupakan usaha bersama untuk menyelaraskan dan menyatukan mereka di lokasi dengan kemudahan yang lebih baik.

"Dengan pelaburan sebanyak RM50 juta, PAKAR akan bukan sahaja memberi faedah kepada usahawan tetapi juga pengguna, yang akan mengalami kemudahan dan keselesaan membeli belah dalam struktur yang tetap," kata Najib.

Projek ini akan menyumbang RM3.52 bilion dalam PNK setahun menjelang 2020 dan mewujudkan 56,400 pekerjaan.

- BERNAMA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90