Kenapa saya berubah jadi pengamal perubatan Islam - Ashraf Muslim


Salam perkenalan dan bermulalah interaksi saya bersama pembaca melalui kisah yang akan dibicarakan nanti. Secara jujurnya, saya bukanlah orang yang layak menulis di ruangan ini tetapi pelawaan Berita Harian untuk berkongsi pengalaman serta pandangan membuatkan saya diulit rasa serba salah.

Maklumlah, kekangan masa memenuhi tanggungjawab merawat pesakit di Klinik Perubatan Islam Al-Hidayah yang kini menjadi rutin harian membimbangkan saya, takut tidak dapat memberi komitmen diharapkan. Kemudian, memikirkan apakah yang bakal dikongsi bersama pembaca, pening juga.

Namun, untuk menolak pelawaan itu, sukar pula hendak menggelengkan kepala. Kenapa? Saya tidak pasti bagaimana menjelaskannya. Mungkin terkejut kerana terus dihujani persoalan, kenapa saya?

Justeru, saya melihat peluang bertemu pembaca dalam ruangan ini sebagai jodoh dan sebagai insan kerdil yang berusaha mencari keredaan Allah, mungkin inilah peluang saya mengembangkan syiar Islam melalui penulisan.

Sebenarnya kekok memulakan bicara kerana tidak pasti dari mana hendak dimulakan. Jika berlakon, ada skrip yang boleh dijadikan panduan. Oleh itu, bercakap mengenai kehidupan, pengalaman adalah sumber terbaik.

Ramai sudah maklum pembabitan saya dalam dunia lakonan dan terbaru, pelancaran Klinik Perubatan Islam Al-Hidayah yang dikongsi bersama pengasasnya, Haji Lokman A Hamid, dirasmikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pada 23 April lalu.
Secara rasminya, kerjaya tetap saya kini ialah pengamal perubatan Islam yang waktu perubatan bermula seawal jam 9 pagi hingga ada kalanya membawa ke dinihari dan pastinya, perubahan ini mencetuskan tanda tanya sesetengah pihak.

Dulu berlakon, kini merawat pesakit. Menggunakan kaedah perubatan Islam pula. Saya tidak persoalkan jika ada yang sangsi tetapi berbekalkan ilmu serta anugerah Allah, saya berusaha memberi bantuan sedaya yang mampu.

Alhamdulillah, ramai yang mendapatkan rawatan di Perubatan Islam Al-Hidayah menerima kerjaya baru saya ini secara positif. Terima kasih saya ucapkan. Namun, tidak kurang yang skeptikal.

Itulah antara cabaran apabila kita ingin melakukan perubahan yang bukan sedikit tetapi perubahan 360 darjah yang pastinya menuntut kekuatan sukar diperkatakan. Ini kerana selain keazaman dan tekad, kekuatan menangkis cabaran persekitaran amat penting.

Saya sendiri berdepan dengan rakan yang tidak dapat menerima perubahan diri. Tetapi itu tidak menghalang cita-cita saya mentransformasi diri mencari keredaan Allah.

Ditanya, apakah yang mencetuskan perubahan ini? Semua bermula sekitar 2009 apabila saya rasa hidup seakan-akan tidak lengkap. Kerjaya ada tetapi masih tertekan. Saya tanya diri kenapa saya tidak gembira, puas mencari jawapan tetapi tetap kosong.

Mulalah terfikir jika saya menghidap penyakit yang tidak diketahui puncanya kerana kerja dan duit tidak pernah putus. Cuma, saya perasan, bila ada rezeki lebih, pasti cepat habis, ada saja masalah. Timbul persoalan, di mana silapnya?

Saya berjumpa Haji Lokman untuk mendapatkan bantuan. Nasihat beliau, dekatkan diri dengan Allah, tunaikan solat taubat, solat hajat dan pergilah mengerjakan umrah. Itulah saya lakukan.

Menyorot kembali perjalanan hidup, nama Ashraf Muslim mula tersiar di media apabila saya terpilih dalam senarai The Cleo 50 Most Eligible Bachelors 2006. Itulah titik tolak pembabitan saya dalam industri seni tanah air.

Seperti artis lain, saya melalui episod demi episod, ada babak seronok dan ada juga tidak. Gosip mengejar artis dan saya juga tidak dapat lari daripadanya. Melihat kembali waktu itu, itulah perjalanan hidup yang tertulis untuk saya.

Sebagai hamba-Nya, ini takdir saya tetapi manusia mempunyai pilihan. Maknanya, saya boleh menentukan kehidupan yang ingin saya kemudi. Saya reda dengan apa yang saya lalui.

Saya harap dapat melakukan lebih banyak kebaikan pada masa depan. Terima kasih kepada yang mendoakan saya dan tunang, Noor Dayana. Dengan izin Allah, semoga dipertemukan pada siri akan datang.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url