Buku 13 Mei 1969 - Pemangkin sejarah hitam


Buku 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur memaparkan kewujudan masyarakat majmuk dan hubungan kaum sejak kedatangan imigran ke negeri-negeri Melayu dan campur tangan British sehingga berlaku peristiwa 13 Mei 1969.

Tahun 1960-an adalah era rusuhan kaum kerana sebelum tragedi 13 Mei 1969 yang dianggap sebagai kemuncak, turut berlaku beberapa rusuhan lain di Bukit Mertajam, Seberang Perai pada 1964, Kuala Lumpur (1965) dan Pulau Pinang (1967).

Buku ini cuba menghubungkaitkan beberapa isu nasional yang dikatakan menjadi pemangkin kepada tercetusnya peristiwa 13 Mei.

Rusuhan yang bermula di Setapak dan kemudiannya merebak ke pusat bandar Kuala Lumpur, Kampung Baru, Pudu dan Kampung Pandan telah menyebabkan 196 orang terkorban dan 149 orang cedera.

Antara isu berkenaan adalah dasar-dasar yang diamalkan oleh British dan layanan tentera Bintang Tiga terhadap orang Melayu selepas era pendudukan Jepun.

Ia juga membabitkan dasar hak istimewa orang Melayu di negara ini yang dipertikaikan oleh kaum Cina, iaitu yang berkaitan dengan Perkara 152 dan 153 dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi bagi Malaysia.

Faktor pemangkin lain adalah berkaitan ketidakadilan dalam pendidikan dan perkhidmatan awam terhadap orang bukan Melayu.

Ia juga melihat hubungan kaum antara orang Melayu dengan orang Cina yang sentiasa tegang pada akhir tahun 1960-an, serta melihat bagaimana konflik politik, sosial dan ekonomi mendorong kepada tercetusnya peristiwa tersebut.

Buku ini penting sebagai suatu usaha untuk memaparkan sejarah tanah air dengan lebih jelas kerana sejarah hitam itu kerap dilihat dari sudut yang emosional.

Dalam usaha untuk mendapatkan gambaran tepat tentang apa yang sebenarnya berlaku, penulis turut melakukan wawancara dengan penduduk kaum Melayu, Cina dan India di Kuala Lumpur yang terlibat secara langsung dengan tragedi berkenaan.

Ia turut membincangkan peranan media massa dalam merangsang ketegangan kaum antara orang Melayu dan orang Cina.

Buku berkenaan turut memuatkan gambar-gambar tragedi terbabit yang sebelum ini pernah disiarkan dalam buku tulisan bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bertajuk Mei 13 Sa-Belum dan Sa-Lepas.

Semoga peristiwa ini menjadi iktibar, teladan dan pengajaran kepada kita semua.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url