MyDeal perkenal konsep beli-belah berkelompok


Perkembangan teknologi banyak memainkan peranan penting dalam dunia perniagaan demi untuk meningkatkan lagi ekonomi sesebuah negara.

Platform menggunakan teknologi turut dilihat dapat membantu memudahkan lagi pengguna dalam pelbagai urus niaga bersama peniaga.

Terkini, portal MyDeal.com.my (MyDeal) menawarkan platform terbaru dalam urus niaga alam maya bagi memudahkan pengguna dan peniaga melakukan transaksi menerusi internet.

Dengan menggunakan kuasa pembelian berkelompok, menawarkan harga tiada tandingan dan berkualiti. Portal MyDeal dapat membantu mencetuskan situasi menang-menang bagi pelanggan dan rakan niaga.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif MyDeal, Jan Croeni, berkata, portal MyDeal telah dilancarkan di Kuala Lumpur pada Jun tahun lalu.

"Ia dibangunkan untuk memberi peluang kepada pengguna internet tempatan menikmati pengalaman membeli-belah dengan lebih selesa dan menjimatkan masa mereka.

"Produk yang ditawarkan dalam portal ini lebih murah dan berkualiti tinggi agar dapat memberi kepuasan kepada pelanggan-pelanggan," katanya.

MyDeal yang dimiliki sepenuhnya DealGuru Holdings menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan daripada jenama terkenal termasuk segmen pelancongan, hiburan, kesihatan dan banyak lagi.

Dia menambah, antara rakan niaga MyDeal termasuk LaGomera, La Bomba, Milkshake Factory, Maya SWS, Diva Nails, Poise, Suji's Hair Studio dan Timers Beauty.

Katanya, MyDeal membantu pelanggan dalam menikmati urus niaga selain mereka dapat berkongsi dengan keluarga serta kawan-kawan melalui pemasaran alam maya.

"Malah, menariknya rakan-rakan niaga kami tidak perlu membuat bayaran untuk mempromosi produk, perkhidmatan dan sebagainya dalam portal kami.

"Mereka turut akan mendapat pelanggan baru dan publisiti tanpa sebarang risiko," ujarnya.

Jan Croeni memberitahu, MyDeal menggunakan kuasa pembelian berkelompok untuk menawarkan harga tiada tandingan dan mencetuskan situasi menang-menang bagi pelanggan dan rakan niaga.

Katanya, pembelian berkelompok adalah produk dan perkhidmatan ditawarkan dengan potongan harga dengan syarat terdapat bilangan pembeli yang minimum akan membuat pembelian.

Medium baru beli-belah

Dalam pada itu, Pengurus Perhubungan Awamnya, Ashley Gayle Robertson menambah, MyDeal merupakan portal gaya hidup yang memudahkan peniaga dan pelanggan berurus niaga dalam talian.

"Sebagai pelanggan, mereka hanya perlu memilih tawaran yang diingini dan membuat bayaran menggunakan kad kredit ataupun kaedah perbankan dalam talian. Ia selamat, mudah dan menjimatkan masa.

"Selepas membuat bayaran, baucar akan dihantar melalui e-mel dan mereka hanya perlu mencetak terlebih dahulu sebelum menebus produk atau pun perkhidmatan di tempat rakan niaga kami," katanya.

Bagi memudahkan lagi pelanggan-pelanggan dia menambah, mereka boleh mendaftar secara percuma dalam talian untuk mengetahui tawaran terbaru yang ditawarkan MyDeal melalui saluran surat berita dihantar kepada emel setiap hari.

Pada kebiasaannya, dia memberitahu, tawaran yang terdapat di portal berkenaan akan berlangsung selama satu sehingga tiga hari sahaja kerana permintaan tinggi daripada pelanggan-pelanggan.

"Kami akan sentiasa memastikan setiap tawaran yang dipaparkan melalui portal berkenaan adalah eksklusif dan tidak terdapat di pasaran lain.

"Setiap tawaran sudah semestinya berkualiti dan menepati cita rasa pelanggan. Menariknya tentang tawaran yang terdapat di portal ini adalah ia memberi diskaun 50 sehingga 90 peratus bergantung kepada produk atau perkhidmatan untuk memastikan mereka berpuas hati," ujarnya lagi.

Selain pelanggan mendapat faedah, dia menambah, rakan niaga juga tidak terkecuali memperoleh manfaat menarik.

Katanya, rakan niaga bukan sahaja dapat mempromosikan produk atau perkhidmatan secara percuma tetapi, berpeluang mengetahui penjualan dan pengunjung melihat tawaran mereka.

"Ia sekali gus dapat membantu rakan niaga memperkembangkan lagi segmen sasaran pengguna mereka dengan lebih meluas dan berkesan," tambahnya.

Ashley Gayle turut memberitahu, MyDeal kini sedang giat merangka promosi pakej-pakej tawaran pelancongan untuk memberi pilihan kepada pelanggan-pelanggan.

"Kita akan mencari agensi pelancongan yang memberi perkhidmatan dan tawaran terbaik.

"Ini kerana perkhidmatan terbaik amatlah penting untuk memperoleh kepercayaan pelanggan dalam perniagaan talian ini," katanya.

Kuasa rangkaian sosial

Sementara itu, Eksekutif Perhubungan Awam, Amirul Aswad berkata, terdapat banyak perkara yang memberangsangkan berlaku dalam dunia sosial dari segi aktiviti pembelian berkelompok dan urus niaga harian.

"Apabila melihat urus niaga dikongsi antara kawan-kawan melalui Facebook dan Twitter tentu saja kita akan terdorong bersama-sama mencuba perkhidmatan yang ditawarkan tersebut.

"Sehingga kini, MyDeal sudah mempunyai lebih daripada 65,000 pengikut Facebook dan telah berjaya menjual lebih daripada 80,000 baucar dalam masa tidak sampai setahun sejak dimulakan kali pertama di Malaysia," katanya.

Amirul menambah, buat masa ini, MyDeal beroperasi di empat negeri di Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dan Sabah.

Katanya, MyDeal bercadang mengembangkan sayap ke semua bandar raya utama di negara ini menjelang akhir tahun 2011 untuk memastikan semua pelanggan menikmati kemudahan tawaran portal terbaru itu.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai MyDeal dan tawaran terkini yang ditawarkan setiap hari boleh melayari laman web www.MyDeal.com.my

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url