Pilih pemegang amanah jujur pastikan pusaka tak diseleweng

Kali ini, kita akan membincangkan had tanggungjawab menjaga harta anak yatim dan ciri penjaga harta anak yatim yang baik.

Islam dengan jelas membincangkan had dan masa terbaik menyerahkan kembali harta anak yatim dalam jagaan kepada yang hak.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan berikanlah kepada anak yatim (yang sudah baligh) harta mereka, jangan kamu menukar yang baik dengan yang buruk dan jangan kamu makan harta mereka bersama hartamu. Sesungguhnya tindakan (menukar dan memakan) itu, adalah dosa besar.” (Surah An-Nisa, ayat 2)

Menjaga harta anak yatim dengan baik adalah dituntut dalam firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu serahkan kepada orang yang belum sempurna akalnya harta (yang ada dalam kekuasaanmu) yang dijadikan Allah sebagai pokok kehidupan. Berilah mereka belanja dan pakaian (dari hasil harta itu) dan ucapkanlah kepada mereka kata yang baik.” (Surah An-Nisa’, ayat 5)

Pemegang amanah adalah orang yang dipertanggungjawabkan sama ada orang perseorangan, badan berkanun atau institusi yang dilantik dan diberi kuasa mentadbir harta pusaka. Menjaga harta anak yatim adalah tanggungjawab yang berat dan penting.

Harta anak yatim bukan saja perlu dijaga dengan baik dan menggunakannya mengikut kadar diperlukan malah, harta ini menurut Islam perlu diperkembangkan untuk mengelak ia menjadi susut.
Perkara ini dipandang serius demi menjaga kebajikan anak yatim kerana mereka tiada tempat bergantung dan harta diwarisi sajalah bekalan untuk mereka memulakan hidup.

Apabila seseorang itu dilantik sebagai pemegang amanah, harta yang diwarisi anak yatim akan diserahkan kepadanya untuk diuruskan dan dikembangkan selaras dengan kepentingan dan kebajikan anak yatim di bawah jagaannya.

Persoalannya, adakah penjaga dapat mentadbir harta anak yatim dengan baik untuk satu jangka masa yang lama sehingga harta itu dikembalikan kepada yang hak?

Khususnya jika pemegang amanah adalah individu yang dilantik, maka akan timbul persoalan adakah beliau seorang yang amanah, boleh mentadbir harta pusaka dengan adil dan dapatkah mereka mengembangkan harta sedia ada?

Melantik individu sebagai pemegang amanah tidak menjadi kesalahan tetapi persoalan di atas menunjukkan pelantikan individu sebagai pemegang amanah selalunya mempunyai banyak kekurangan.

Oleh itu, jalan terbaik adalah melantik pemegang amanah yang dipercayai dan tidak punya kepentingan terhadap harta diwarisi seperti Amanah Raya Berhad yang sudah beroperasi 90 tahun.

AmanahRaya institusi milik kerajaan yang memastikan setiap hak waris dijaga dan jika membabitkan harta anak yatim berumur 18 tahun atau waris yang cacat akal, satu akaun khas akan dibuka dipanggil Akaun Amanah.

Perancangan pembahagian harta pusaka penting bagi memastikan harta dibahagikan dengan adil dan dinikmati setiap waris. Bagi anak yatim berumur bawah 18 tahun, adalah penting memastikan harta diwarisi diuruskan dengan baik, dikembangkan dan diserahkan apabila genap umur 18 tahun.

Bagi menguruskan harta anak yatim, satu Akaun Amanah diwujudkan khas untuk memastikan kebajikan mereka terjaga dari segi wang saraan kehidupannya sehingga mencapai umur 18 tahun.

Berdasarkan fail akaun amanah di AmanahRaya, antara sumber harta ditinggalkan kepada anak yatim ialah wang pampasan syarikat insurans, harta yang ditukar nama ketika ibu atau bapa masih hidup, harta disediakan ibu atau bapa ketika mereka masih hidup dan pembahagian melalui wasiat.

Islam memberi amaran keras mengenai penyalahgunaan harta anak yatim kerana ia akan memudaratkan anak yatim itu dan penjaganya. Ia juga bagi mengelakkan sifat tamak wujud dalam diri penjaga.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jauhilah tujuh perkara yang boleh membinasakan kamu iaitu menyebabkan kamu masuk neraka atau dilaknati Allah. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah tujuh perkara itu? Rasulullah bersabda: Mensyirikkan Allah, melakukan perbuatan sihir, membunuh manusia yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan hak, memakan harta anak yatim, memakan harta riba, lari dari medan pertempuran dan memfitnah perempuan yang baik.”

Firman Allah yang bermaksud: “Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat, kitab, nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak yatim, orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang yang bertakwa.” (Surah Al-Baqarah, ayat 177).

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url