Rasionalisasi Pemansuhan Pemberian Diesel Subsidi Super Mulai 1 Jun 2011
Rasionalisasi Subsidi
Majlis Ekonomi pada 9 Mei lalu telah memutuskan pemansuhan pemberian diesel subsidi super berkuat kuasa mulai 1 Jun kepada beberapa kategori kenderaan seperti berikut:
i. Penggerak Utama
ii. Kargo Am
iii. Luton Kotak
iv. Van (Panel Van, Semi Panel Van dan Window Van)
v. Lori-Rigid Minuman Botol
vi. Lori Tangki Rigid- Tepung
vii. Lori Rigid- Refrigerated
viii. Lori Tangki Air
ix. Teksi Limosin
Kategori kenderaan seperti tersebut di atas adalah sektor pengangkutan barangan sahaja kecuali teksi limosin.
Berdasarkan keputusan tersebut, kategori kenderaan yang dimansuhkan ini tidak lagi membeli pada harga RM1.481 sen seliter.
Walau bagaimanapun, kenderaan-kenderaan tersebut masih lagi menikmati subsidi dengan pengambilan di stesen minyak pada harga RM1.80 sen seliter.
Subsidi Super Lain Dikekalkan
Diesel subsidi untuk pengangkutan awam dan bot penumpang sungai dikekalkan. Subsidi bagi sektor ini seperti bas ekspres, bas berhenti-henti, bas pengantara, bas mini, bas sekolah, kereta sewa, teksi, bomba, ambulan dan kenderaan mayat dikekalkan untuk memastikan kumpulan sasar iaitu yang berpendapatan rendah dan sederhana masih boleh menikmati kadar tambang yang rendah.
Harga diesel bersubsidi bagi sektor ini masih kekal dengan harga RM1.481 seliter.
Subsidi Petrol dan Diesel Nelayan
Subsidi untuk kategori ini juga dikekalkan. Kerajaan akan memperkenalkan kaedah dan langkah baru pada masa akan datang untuk meningkatkan daya saing dan produktiviti nelayan.
Oleh kerana itu, subsidi kepada sektor ini masih dikekalkan pada harga RM1.25 sen seliter.
Mengapa Rasionalisasi Ini Diperlukan
Trend kenaikan harga minyak terus meningkat dari bulan Oktober 2010 sehingga kini mengakibatkan peningkatan dalam tanggungan subsidi Kerajaan.
Sekiranya trend ini terus meningkat sehingga penghujung tahun ini, Kerajaan dianggarkan akan menanggung subsidi sebanyak RM17,765 juta berbanding peruntukan tahun 2011 sebanyak RM10,255 juta sahaja.
Justeru itu, rasionalisasi ini dapat mengurangkan perbelanjaan tambahan yang berlaku seiring dengan harga komoditi dunia yang terus meningkat.
Menggurangkan Tanggungan Subsidi Kerajaan
Selaras dengan keputusan rasionalisasi pemansuhan ini, Kerajaan dianggarkan dapat menjimatkan tanggungan subsidi sebanyak RM659.30 juta bagi tahun ini dengan pemansuhan kenderaan subsidi super berkenaan.
Walau bagaimanapun, Kerajaan masih lagi menanggung subsidi bagi sektor pengangkutan awam sebanyak RM116 juta.
Bergerak Secara Berperingkat Ke Harga Pasaran
Pemansuhan kategori kenderaan ini secara tidak langsung sebagai langkah Kerajaan untuk meliberalisasikan subsidi.
Melalui langkah ini akan dapat mewujudkan persekitaran persaingan yang lebih adil dan sihat.
Ketirisan Dan Penyalahgunaan Diesel Subsidi
Terdapat segelintir pengusaha pengangkutan yang menyalahgunakan diesel subsidi dengan menjual kepada rakyat asing dari negara jiran dan pihak-pihak yang tidak layak menerimanya.
Kesimpulan
Rasionalisasi pemansuhan ini adalah salah satu langkah yang diambil oleh Kerajaan bagi memastikan hanya golongan sasar yang menerimanya.
Kerajaan juga sedang mengkaji semula pemberian subsidi kepada semua sektor lain agar ianya dapat dinikmati dan dirasai oleh semua pihak yang layak menerimanya.
Rasionalisasi ini adalah antara langkah-lagkah yang diambil oleh Kerajaan bagi mengurangkan tanggungan subsidi Kerajaan dan memberi kesedaran kepada rakyat agar tidak bergantung sepenuhnya dengan subsidi.
- MSTAR