Maksud perisian sumber terbuka

Apabila berbincang berkenaan dengan perisian sumber terbuka, ramai yang mengaitkannya dengan perisian percuma.

Ia jauh sekali berbeza kerana perisian sumber terbuka atau open source mempunyai teori, model dan falsafahnya yang tersendiri.

Namun begitu, perisian berasaskan sumber terbuka ini sebahagiannya bercirikan perisian percuma.

Konsep perisian percuma dan perisian yang berasaskan komuniti sumber terbuka ini dimulakan oleh Richard Stallman.

Seterusnya, ia dikembangkan lagi dengan lebih spesifik dan tersusun dari segi konsep, perlesenan, perkongsian kod sumber, proses pembangunan perisian dan sebagainya oleh Bruce Perens dan Eric Raymond dalam tahun 1998.

Konsep perisian percuma yang diperkenalkan oleh Richard Stallman adalah perisian tersebut diedar secara percuma kepada sesiapa sahaja.

Konsep perisian sumber terbuka yang dipelopor oleh Bruce Perens dan Eric Raymond pula merujuk kepada perisian yang dibangunkan secara konsep yang sama diketengahkan oleh Richard Stallman.

Perisian berasaskan sumber terbuka merupakan perisian komputer yang boleh didapati dalam bentuk kod sumber asal dan para pengguna dibenarkan mempelajari, mengubah dan menambah baikan kod sumber perisian komputer tersebut.

Bagi definisinya yang lebih terperinci lagi boleh didapati di alamat URL, http://opensource.org. Ia jelas menunjukkan ciri-ciri lesen yang perlu dipenuhi oleh sesebuah perisian komputer untuk mencapai kepada status perisian berasaskan sumber terbuka ini.

Di antara ciri-ciri lesen perisian berasaskan sumber terbuka yang dikodkan adalah berkenaan dengan pengedaran semula perisian, kod sumber, perjalanan kerja pembangunan, integriti pemunya asal kod sumber dan tiada unsur-unsur diskriminasi ke atas sesebuah kumpulan atau individu.

Ciri-ciri lain ialah lesen pengedaran, pengkategorian pelbagai bentuk perlesenan dan tiada unsur-unsur diskriminasi terhadap suatu bidang kepakaran.

Apabila dikatakan perisian sumber terbuka ia bukan LINUX semata-mata. Terdapat banyak perisian sumber terbuka yang berkategori pelbagai platform atau untuk sistem pengoperasian Windows sahaja.

Bagi senarai perisian sumber terbuka yang berasaskan Windows, boleh semak di alamat URL, http://opensourcewindows.org.

Perisian sumber terbuka bukan selalunya disediakan secara percuma. Ini apa yang diperlukan sesebuah perisian sumber terbuka adalah kod sumbernya boleh didapati secara percuma.

Jadi, perisian tidak semestinya percuma. Terdapat banyak syarikat yang membuat keuntungan ke atas perisian sumber terbuka ini.

Keuntungan dijana dengan mengenakan bayaran ke atas penyediaan kemudahan sokongan atau penambahan fungsi-fungsi tambahan terhadap sesebuah perisian sumber terbuka.

Kebiasaannya perisian sumber terbuka tersebut akan ada versi percuma dan versi komersial. Sebagai contoh adalah seperti perisian e-mel dan kolaborasi iaitu Zimbra yang menyediakan versi perisian percuma dan versi perisian yang dikenakan bayaran.

Tidak semua perisian sumber terbuka mempunyai sokongan atau sistem bantuan dalam mengendalikan sesebuah perisian seperti mana perisian komersial yang mempunyai sistem sokongan korporat 24 jam.

Kadang kala ia memerlukan bayaran tambahan untuk dapatkan sistem sokongan tersebut.

Namun begitu, perisian sumber terbuka ini mempunyai komunitinya yang sangat cekap dan efektif.

Bantuan boleh didapati daripada komuniti ini menerusi blog-blog, forum, mailing list, e-mel dan sebagainya.

Apabila perisian sumber terbuka memberi capaian secara penuh kepada kod sumber, ia tidak bermakna kod sumber itu perlu dicapai untuk menggunakannya.

Sekiranya tiada kepentingan, kod sumber bagi sesebuah perisian tidak perlu dicapai.

Perisian tersebut boleh digunakan sampai bila tanpa perlu dicapai kod sumbernya atau pengaturcaraannya.

Namun demikian, sekiranya perlu untuk melakukan pengubahsuaian bagi sesebuah perisian sumber terbuka, kod sumber telah sedia ada untuk dipelajari dan diubah suai.

Apabila dikatakan perisian sumber terbuka ini boleh dicapai kod sumbernya, ia tidak bermakna digunakan oleh golongan pengaturcaraan atau pakar teknologi maklumat sahaja.

Ia boleh digunakan oleh orang biasa yang tahu menggunakan komputer mengikut keperluan perisian yang digunakan.

Salah satu kelebihan penggunaan perisian sumber terbuka ini adalah ia boleh digunakan, diubah suai dan disebarkan secara percuma. Ini mengelakkan daripada berlakunya perlanggaran undang-undang terhadap hak cipta, harta intelek dan sebagainya.

Kebanyakan perisian sumber terbuka ini mudah didapati dan dimuat turun daripada Internet. Ia juga menepati satu piawaian yang baik seperti mana perisian komersial. Pihak Microsoft juga ada menyediakan platform perisian sumber terbuka ini di alamat URL, http://www.microsoft.com/opensource.

Perisian yang dikenali sebagai perisian freeware dan shareware yang banyak didapati di Internet tidak dikatakan sebagai perisian sumber terbuka sekiranya ia tidak memenuhi ciri kebolehcapaian kod sumber perisian tersebut.

Ini jelas bertentangan dengan konsep perisian sumber terbuka. Ia hanya percuma digunakan. Kadang kala ia ada tempoh tertentu yang diberikan percuma penggunaannya.

Kadang kala, pengguna sendiri tidak menyedari yang mereka menggunakan perisian sumber terbuka.

Banyak perisian-perisian sumber terbuka yang digunakan sebagai alternatif kepada perisian yang memerlukan bayaran dan pembelian lesen seperti Mozilla Firefox, OpenOffice, WordPress, Thunderbird, Drupal, Ubuntu dan lain-lain.

Itulah beberapa perkara yang perlu diketahui sekiranya mahu menggunakan perisian sumber terbuka atau beralih daripada penggunaan perisian yang berasaskan komersial.

Terdapat banyak perisian sumber terbuka di pasaran.

Oleh itu, pilih perisian sumber terbuka yang stabil, ada kemudahan untuk sokongan, komuniti pengguna yang ramai dan sesuai dengan keperluan penggunaan.

Perisian sumber terbuka sudah berdiri lebih tinggi dan mantap di pasaran perisian dunia sama ada dari segi aspek mesra pengguna, kestabilan perisian dan keselamatan siber.

Malah, ada negara yang mesin wang ATM-nya menggunakan sistem pengoperasian Linux. Sesiapa sahaja boleh menggunakan, mengedar dan mengubah kod sumber perisian sumber terbuka ini.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Peja - Pendapatan Dengan Blog
    Peja - Pendapatan Dengan Blog Rabu, 22 Jun 2011 pada 4:54:00 PTG SGT

    camne diorang buat keuntungan ek?

    Artikel terbaru:
    Apa Itu Ebook dan Lesen PLR?

Add Comment
comment url