Alahan Makanan
Alahan berlaku apabila sistem imun badan kita bertindak balas terhadap protein tertentu dalam sesuatu makanan. Bagi seseorang yang mengalami alahan pada makanan, pengambilan yang sedikit sekalipun dapat menyebabkan gejala seperti pembengkakan di bahagian mulut dan tekak, kesukaran bernafas, nafas berbunyi (seperti pesakit asma) atau penurunan tekanan darah secara mendadak yang dikenal sebagai kejutan anafilaksis. Malahan, kesan daripada tindak balas ini kadangkala boleh membawa maut jika tidak mendapat rawatan segera.
Ramai yang keliru sama ada mereka mengalami alahan makanan atau ketidakserasian makanan. Ini disebabkan kedua-duanya menunjukkan gejala yang hampir serupa. Tetapi ketidakserasian makanan biasanya hanya memberi kesan ringan sahaja seperti rasa tidak selesa pada perut.
Contoh yang paling biasa dalam kes ketidakserasian makanan ialah tidak toleran laktosa iaitu suatu keadaan ketiadaan enzim tertentu yang diperlukan untuk menghadamkan protein susu. Seseorang itu akan mengalami kecairan pada najis, kembung perut dan mual selepas mengambil produk tenusu seperti susu atau keju.
PUNCA
Semua jenis makanan mempunyai potensi untuk menyebabkan alahan, tetapi kebanyakan kes alahan hanya membabitkan beberapa bahan sahaja. Biasanya, seseorang yang mengalami alahan hanya akan bertindak balas terhadap makanan tertentu sahaja.
Sistem imun badan kita akan memberi tindak balas berlebihan terhadap protein makanan yang disebut sebagai alergen. Sejenis antibodi yang dipanggil imunoglobulin E atau IgE juga terlibat. Apabila antibodi ini bertemu dengan alergen tertentu di dalam makanan, la akan menyebabkan pelepasan bahan kimia tertentu yang akan bertindak di pelbagai bahagian badan terutamanya di bahagian kulit, tekak, saluran pernafasan, usus besar dan jantung sehingga menyebabkan gejala yang tidak diingini.
Kebanyakan makanan yang biasa dikaitkan dengan alahan ialah:
- Telur
- Susu
- Gandum
- Kekacang (khususnya kacang tanah)
- Ikan, udang dan makanan laut lain
Biasanya, individu yang alah pada salah satu daripada makanan penyebab alahan ini juga akan mendapat alahan kepada makanan yang hampir sama dengannya. Mekanisme ini dipanggil alahan silang makanan. Contohnya:
- Seseorang yang alah pada kacang hijau tidak mustahil akan mendapat alahan kepada kacang soya dan pis.
- Sesiapa yang alah pada gandum pula mungkin akan alah pada bijirin rai.
- Jika alah pada susu lembu, ada kemungkinan akan alah pada susu kambing juga.
- Ada juga individu yang alah pada debunga, mungkin akan mengalami alahan silang pada makanan seperti kacang hazel, epal hijau, pie dan badam.
Anda mungkin akan mengalami gejala alahan sejurus selepas mengambil makanan tersebut, diikuti dengan rasa kelegaan buat seketika tetapi akan berlaku gejala ulangan dalam tempoh tiga hingga empat jam berikutnya.
Gejala alahan yang biasa dilihat ialah:
- Gatal dan ruam pada kulit diikuti dengan pembengkakan.
- Gatal dan bengkak pada bibir serta mulut.
- Kejang perut.
- Mual
- Muntah
- Cirit-birit
- Gatal dan mata berair
- Hidung berair dan tersumbat
- Kesukaran bernafas
- Ketat dada
- Rasa tercekik pada tekak
- Pening
- Tindak balas anfilaksis boleh berlaku dengan tiba-tiba atau mungkin bermula dengan gatal dan bengkak pada kulit serta tekak, kemudian semakin teruk dalam tempoh beberapa jam. Kebanyakan orang mengalami tindak balas ini sejurus selepas mengambil makanan tersebut.
Sekiranya anda mengalami gejala akibat alahan makanan, segera hubungi doktor anda untuk mengetahui tentang rawatan sewajarnya. Untuk gejala yang ringan seperti gatal-gatal dan ruam pada kulit, rawatan biasa diberikan ialah ubat antihistamina seperti klorfeniramina contohnya PIRITON® dan difenhidramina contohnya BENADRYL®.
Tetapi sekiranya anda mengalami kesukaran bernafas, ketat dada, pening atau lain-lain gejala yang semakin teruk, rawatan yang lebih intensif perlu diberikan. Ini termasuklah penggunaan oksigen, adrenalina, steroid dan ubat-ubatan lain untuk membuka laluan udara dan melegakan gejala tersebut. Tindak balas anafilaksis mungkin mengancam nyawa. Kadangkala rawatan yang agresif dan lebih lama di hospital mungkin diperlukan.
PENCEGAHAN
Kaedah yang paling selamat untuk mencegah alahan daripada berlaku ialah mengelakkan diri daripada mengambil makanan yang boleh menyebabkan alahan. Berhati-hati kerana alergen mungkin hadir dalam kebanyakan bahan dalam makanan harian kita. Oleh itu, ia boleh menjadi punca kepada kejadian alahan yang tidak dijangka. Berikut ialah langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan alahan makanan bagi individu yang pernah mengalaminya:
- Sentiasa membaca kandungan yang terdapat dalam makanan pada label.
- Apabila makan di luar, pastikan anda bertanya bahan digunakan dalam sajian yang hendak anda pesan.
- Berunding dengan pakar pemakanan untuk merancang menu yang selamat kepada anda.
- Dapatkan maklumat daripada pertubuhan seperti Food Allergy & Anaphylaxis Network yang berurusan dengan isu khusus seperti alahan makanan di www.foodallergy.org.
- Dapatkan buku resipi khas untuk menu bebas alahan.
- Rawatan pencegahan seperti imunote-rapi dan beberapa lagi terapi baru yang menyerang molekul IgE dalam badan masih di peringkat penyelidikan dan belum lagi disahkan dapat mencegah tindak balas alahan.
- eMedik