Azab & nikmat
Katakan apa saja terhadap masalah yang dihadapi mereka - musibah, bala, pembalasan Tuhan - hakikatnya hanya mereka yang tahu betapa perit menjalani ibadat dalam suasana tidak selesa.
Di Somalia, rakyatnya menderita, perut kosong akibat kebuluran yang semakin memuncak, bumi Iraq pula dilanda kepanasan melampau, keganasan terus membelenggu Palestin, Libya, Syria dan Yaman, manakala hanya di seberang Sungai Golok, keamanan di Selatan Thai masih belum dicapai.
Masalah kebuluran di negara paling utara di benua Afrika menyaksikan puluhan ribu penduduk Somalia terpaksa melarikan diri ke kem pelarian di Kenya selepas kampung mereka dilanda kemarau dan tiada lagi makanan akibat cuaca terlalu panas.
Seorang pelarian, Mohammad Mohamud Abdulle, berkata mereka tidak boleh berpuasa seperti tahun sebelumnya kerana tiada makanan, lalu melarikan diri ke Kenya tetapi apa yang menunggu rupa-rupanya lebih buruk berbanding kampung halaman.
“Semua ahli keluarga saya lapar dan saya tiada apa-apa untuk memberi mereka makan. Di kem (pelarian) ini, masalah kebuluran dua kali ganda lebih teruk berbanding di kampung asal saya,” katanya.
Nur Ahmad, bapa lima anak yang berhijrah ke kem itu beberapa bulan lalu, berkata mereka sebenarnya sudah lama `berpuasa’ sebelum ketibaan Ramadan lagi.
“Saya tidak berpuasa kerana tiada apa mahu dimakan ketika sahur atau berbuka. Malah, kami sebenarnya sudah berpuasa berminggu-minggu dan berbulan-bulan sebelum kedatangan Ramadan lagi,” kata lelaki ini yang kematian isterinya ketika melahirkan bayi mereka, tahun lalu.
Data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan lebih 11 juta penduduk di utara Afrika memerlukan bantuan makanan, tidak termasuk 2.2 juta orang lagi di selatan Somalia yang dikawal Kumpulan Al-Shabaab, rangkaian militan al-Qaeda.
Bagaimanapun, Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah, minggu lalu mengumumkan mereka sudah mengagihkan makanan kepada 162,000 orang di kawasan diperintah pemberontak di selatan negara itu manakala agensi makanan PBB menambah jumlah bantuan makanan kepada mangsa berkenaan.
Sejak minggu lalu juga, Program Makanan Sedunia (WFP) sudah menghantar lebih 80 tan makanan kecemasan kepada anak-anak yang kekurangan zat di Mogadishu dan daerah Doolow di selatan Somalia.
Itu kisah kebuluran, nasib mangsanya mungkin berbeza dengan umat Islam di Palestin yang berpuasa ketika ancaman daripada rejim Israel tidak pernah terputus. Rejim tidak henti-henti melakukan keganasan dan sekatan tanpa mengira bulan puasa atau tidak.
Di Selatan Thailand, keganasan terus meningkat pada Ramadan dengan militan terus menyerang penduduk Islam. Minggu lalu saja, empat orang Islam ditembak dalam beberapa siri serangan termasuk guru agama berusia 39 tahun ditembak ketika mandi di rumahnya manakala sepasang suami isteri lingkungan 30-an dibunuh ketika menoreh getah di Pattani.
Di Yala, seorang sukarelawan tentera berusia 38 tahun ditembak ketika sedang memandu. Turut terbunuh seorang wanita yang menjual ikan di pasar pinggir bandar Narathiwat, 4 Ogos lalu.
Lain pula kisahnya di Iraq. Walaupun ada makanan untuk berbuka, panas melampau mencecah 52 darjah Celsius menjadi cabaran besar kepada umat Islam di sana. Suasana siang sepi kerana rakyat berkurung dalam rumah bagi mengelak cuaca panas yang boleh menyebabkan kulit seakan terbakar dan paru-paru mengecut.
Suhu di Iraq kali ini berbeza daripada biasa menyebabkan kerajaan mengisytiharkan cuti sehari pada hari pertama berpuasa bagi membolehkan kakitangan kerajaan berteduh di rumah masing-masing.
“Sejak kecil memang biasa cuaca lebih panas pada Julai dan Ogos, tetapi tahun ini suhu lebih panas dan lebih teruk lagi kerana bekalan elektrik dicatu menyebabkan kami tidak boleh berteduh dan menyejukkan badan dengan pendingin hawa.
“Namun apa juga suasana cuaca tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak berpuasa... mahu atau tidak, ibadat ini perlu dilakukan kerana ia sesuatu yang wajib,” kata Nawar Mohsen, 53, pemilik kedai cat kenderaan.
Pada hari kedua Ramadan, suhu di Baghdad meningkat kepada 51 darjah Celsius manakala di bandar selatan, Diwaniya, naik kepada 52.1 darjah Celsius. Ada rekod mencatatkan suhu di sesetengah kawasan di negara itu meningkat kepada 55 darjah Celsius.
Seperti dijangka, Ramadan di empat negara di Asia Barat iaitu Libya, Syria dan Yaman terus diancam pergolakan yang semakin memuncak dengan Syria dilihat menuju ke arah perang saudara apabila tentera kerajaan menembak penunjuk perasaan selepas solat Tarawih yang menyebabkan berpuluh-puluh orang cedera.
Begitu juga di Libya, umat Islam di sana berpuasa dengan ancaman serangan udara tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang mungkir janji untuk tidak menyerang pada Ramadan. Serangan udara terbaru dilapor menyebabkan anak lelaki pemimpin Libya, Khamis al-Gaddafi, 28, terbunuh.
Bagaimana pula nasib saudara seagama kita di Kashmir, Pakistan, Afghanistan dan beberapa negara lagi?
- BERITA MINGGU