Permohonan Visa Bekerja Di UK Diperketatkan
Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Ray Kyles berkata, langkah itu diambil selepas Kerajaan Britain memperketatkan peraturan permohonan visa bekerja dalam kategori Tier 2 (pekerja berkemahiran) bagi rakyat asing.
"Syarat ketat itu dilakukan bagi membendung penyalahgunaan visa yang telah diluluskan dan memastikan pelajar fokus kepada pengajian semata-mata... bukannya bekerja secara sambilan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, Khamis.
Menurut Kyles, hanya graduan cemerlang yang ditawarkan pekerjaan berskil tinggi dan mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara itu dibenarkan untuk terus menetap di sana.
"Bagi pelajar yang sudah tamat pengajian dan bercadang untuk bekerja di luar bidang pengajian mereka, saya sarankan mereka supaya kembali ke negara asal. Hanya pelajar cemerlang berpeluang untuk memohon permit kerja dalam kategori Tier 2 (pekerja berkemahiran)," ujarnya.
Kyles berkata, kira-kira 13,500 pelajar Malaysia mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang di UK setakat ini sekaligus mencatatkan peningkatan dua kali ganda berbanding tahun lalu.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menjelaskan beberapa perubahan dalam sistem visa pelajar Tier 4 dan permohonan visa pelajar turut dilakukan berkuatkuasa April lalu.
"Perubahan ini dilakukan dalam usaha mengatasi masalah penyalahgunaan visa dan meningkat penyertaan sektor berkualiti serta bernilai tinggi," katanya.,
Antara perubahan itu termasuk pelajar dibenarkan bekerja sepenuh masa ketika musim cuti dan sekiranya pengajian tamat, pelajar boleh memohon untuk menetap di UK berdasarkan sistem mata sebelum tempoh menetap sebenar berakhir.
"Misi utama kami adalah menarik pelajar cemerlang dari Malaysia untuk menimba ilmu di universiti bertaraf dunia di sini. Oleh demikian, pelajar digalakkan supaya menghantar permohonan visa lebih awal kerana proses itu mengambil masa selama 15 hari bekerja," katanya.
Jelas beliau, pelajar yang melanjutkan pengajian ke UK hanya akan menjalani ujian pemeriksaan kesihatan sebaik saja tiba di sana.
Sementara itu, mengulas mengenai rusuhan di Timur London, Kyles berkata keadaan di beberapa bandar utama seperti Birmingham dan Tottenham berada dalam keadaan terkawal selepas kerajaan Britain mengerahkan 16,000 polis di seluruh negara itu untuk mengawal keadaan dan menamatkan keganasan jenayah.
"Bagi pelajar mahupun rakyat Malaysia di London yang masih ragu-ragu mengenai tahap keselamatan perlulah berhubung dengan kedutaan negara masing-masing untuk mengetahui perkembangan terkini," ujarnya.
Kyles juga enggan mengulas lanjut mengenai punca sebenar rusuhan itu berlaku sebaliknya memberitahu siasatan sedang dijalankan oleh pihak polis.
Katanya, pelajar Malaysia Muhammad Asyraf yang cedera semasa rusuhan itu berada dalam keadaan baik dan sedang menerima rawatan di hospital.
"Pelajar Malaysia yang ingin melanjutkan pelajaran ke UK digalakkan untuk meneruskan niat mereka dan tidak perlu bimbang tentang insiden itu kerana keadaan semakin bertambah baik," ujarnya.
- MSTAR