KEMAS Bakal Lahir 9,996 Guru Peringkat Diploma Menjelang 2015

Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan melahirkan 9,996 guru berkelulusan diploma menjelang 2015 menerusi kerjasama dengan Kementerian Pelajaran.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata tindakan Kemas itu amat tepat bagi memastikan tabika agensi tersebut terus relevan dalam bidang pendidikan awal.

Langkah ini dapat memastikan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu dapat menyumbang secara berkesan dalam penyediaan tenaga kerja, katanya semasa merasmikan Hari Potensi Tabika Kemas peringkat Wilayah Persekutuan 2011, di Kuala Lumpur, Selasa.

Raja Nong Chik berkata, kanak-kanak merupakan pewaris dan modal insan negara pada masa depan, justeru penumpuan terhadap peringkat prasekolah itu merupakan satu strategi awal bagi mengasaskan pendidikan sepanjang hayat.

Ini katanya dapat membantu mewujudkan insan berjiwa murni, berakhlak mulia, berdisiplin serta berkemahiran menangani perubahan teknologi dan sosioekonomi.

Pada majlis itu, seramai 732 kanak-kanak mengambil bahagian dalam enam acara sukan anjuran Tabika Kemas.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url