Tetap sihat selepas derma darah beratus kali
SUDAH lumrah, jika ada perajurit terkorban ketika menjalankan tugas atau tewas di perbatasan diangkat sebagai wira negara. Namun, tidak ramai yang tahu bahawa di negara ini masih ramai wira yang tidak mahu diangkat sedemikian.
Wira ini bukan terkorban dek pertumpahan darah tetapi berkorban menderma darah secara sukarela untuk menyelamatkan nyawa individu lain yang tidak mereka kenali tanpa mengira darjat, bangsa dan agama.
Wira sebegini banyak berjasa menyelamatkan nyawa individu lain dengan hanya menderma darah kerana bagi mereka, setitis darah mampu menyelamatkan nyawa.
Namun, tidak kurang juga yang tidak mahu mengikut jejak wira-wira ini dengan pelbagai alasan yang adakalanya tidak boleh diterima oleh norma akal.
Walaupun banyak cerita kurang enak mengenai menderma darah hinggap ke cuping telinganya, Chee Cheng Son, 40, tidak pernah ambil peduli.
“Saya sendiri sudah sudah 62 kali menderma. Syukur kerana setakat ini badan saya tidak menunjukkan simptom lesu mahupun pertambahan berat badan.
“Malah, saya rasa lebih sihat dan cergas kerana badan saya akan mengeluarkan darah yang baharu bagi menggantikan darah yang saya telah dermakan,” katanya yang bekerja di sebuah kilang di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
Berpegang kepada prinsip, More you donate, the healthier you are, Cheng Son mula terpanggil menderma darah ketika ramai orang memerlukan darah angkara denggi beberapa tahun lalu.
Cheng Son juga pernah dikatakan gila oleh rakan-rakan kerana menderma darah menggunakan kaedah aferesis dua minggu sekali. Namun, kata-kata tersebut dibiarkan bagai angin lalu kerana dirinya gembira setiap kali menjejakkan kaki di Pusat Darah Negara.
“Ini salah satu cara saya berkhidmat untuk negara. Banyak nyawa boleh dibantu dengan pertolongan tidak seberapa daripada saya ini,” katanya sambil menyeru semua warga Malaysia untuk menderma darah.
Ikut jejak ibu
V. Arvindren, 27, menetap di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur boleh dikatakan masih ‘hijau’ dalam pendermaan darah kerana anak muda tersebut baru kali kelima menderma darah.
“Saya datang ke sini tiga bulan sekali jika keadaan kesihatan saya mengizinkan untuk berbuat demikian. Dulu, saya selalu melihat ibu menderma darah. Namun, sejak menghidap kencing manis, ibu tidak lagi layak untuk menderma darah. Kini, saya pula terpanggil untuk meneruskan perjuangannya itu,” katanya yang mula menderma darah pada tahun 2005.
Tidak mudah percaya dengan cerita-cerita mitos mengenai keburukan menderma darah kerana ia tidak benar sama sekali malah, dia berazam mahu menderma dengan lebih kerap.
“Jangan percaya apa yang anda dengar daripada mulut ke mulut. Rasai sendiri pengalaman menderma darah dan nilailah sendiri. Saya sendiri akan menderma darah sehingga keadaan diri saya mengizinkan, mana tahu suatu hari nanti ahli keluarga saya sendiri memerlukan darah,” ujarnya.
Tidak dinafikan bahawa ada segelintir masyarakat yang berminat untuk menderma darah namun, hasrat tersebut terbantut gara-gara ada cerita kurang enak mengenainya.
Penulis sendiri pernah bertemu empat mata bersama seorang pesara tentera laut, Donald Charles Pereira, 60, yang telah menderma darah sebanyak 420 kali sejak tahun 1968, di Karnival Hari Penderma Darah Sedunia 2011 pada Jun lalu.
Menurutnya, dia pertama kali menderma darah di Hospital Assunta, Petaling Jaya kerana salah seorang rakannya terlibat dengan kemalangan. Dia masih tidak jemu menderma darah kerana ia menyihatkan tubuhnya.
“Kebanyakan orang kata menderma darah boleh menyebabkan gemuk tetapi, ia sekadar alasan semata-mata kerana tidak mahu menderma darah,” katanya yang aktif bermain badminton dan berjoging.
Seorang lagi penderma darah, Chin Jeck Leng, 50, yang sudah menderma darah sebanyak 344 kali ketika itu memberitahu membantu orang dengan memberikan wang sangat mudah berbanding menderma darah.
Jeck Leng bertekad menderma darah sebaik mencecah 18 tahun iaitu usia layak menderma selepas ibunya menghadapi kesukaran mendapatkan darah untuk menjalani pembedahan pada usianya 12 tahun.
“Sebahagian daripada penderma mungkin berasa sedikit letih selepas menderma, namun keadaan tersebut adalah sesuatu yang dijangkakan dan bersifat sementara kerana sistem badan penderma akan mengambil sedikit masa untuk pemulihan bagi menggantikan jumlah darah yang telah didermakan,” kata Pengarah Pusat Darah Negara (PDN), Dr. Roshida Hassan.
Ujarnya, pengambilan lebih banyak air dan rehat yang secukupnya dapat mengatasi masalah tersebut, selain mengambil pil zat besi dan asid folik yang dibekalkan oleh Pusat Darah Negara dan tabung darah hospital-hospital untuk proses penggantian semula sel darah merah.
“Mereka ini silent hero yang banyak membantu menyelamatkan nyawa tanpa kita sedari. Kita perlukan ramai hero seperti ini. Respons terhadap pendermaan darah sangat menggalakkan kerana sudah ramai yang tampil kehadapan untuk berbuat demikian,” katanya.
Situasi tersebut dapat dilihat melalui jumlah kutipan darah yang semakin meningkat dari tahun ke tahun. Sebagai contoh, pada tahun 2001 jumlah kutipan darah di seluruh negara adalah sebanyak 384,711 berbanding 590,517 pada tahun 2010.
Jenis pendermaan darah
Menurutnya, tidak semua orang layak untuk menderma darah kerana terdapat beberapa kriteria perlu dipenuhi sebelum seseorang itu menderma darah.
Antara kriteria yang ditetapkan ialah seseorang itu perlu berumur di antara 18 tahun hingga 60 tahun, mempunyai berat badan minimum 45 kilogram, tidak mempunyai masalah kesihatan, tidur sekurang-kurangnya lima jam sebelum hari pendermaan, kadar zat besi darah antara 12.5 g/dL - 18.0 g/dL dan tidak termasuk dalam golongan berisiko tinggi untuk dijangkiti HIV, hepatitis dan sifilis.
Kriteria tersebut ditetapkan bagi memastikan penderma tidak memudaratkan dirinya sendiri apabila menderma dan darah yang diberikan untuk kegunaan pesakit adalah selamat dan berkualiti.
“Secara amnya ada dua jenis pendermaan darah iaitu darah utuh (whole blood) dan aferesis. Kedua-dua jenis pendermaan darah ini adalah sama dari segi kelayakan yang diperlukan tetapi proses pengambilan darah tersebut agak berbeza.
“Pendermaan darah utuh ialah pendermaan darah secara keseluruhannya. Darah ini akan diproses kepada komponen-komponen tertentu selepas pendermaan,” katanya.
Jelasnya lagi, pendermaan aferesis pula adalah pendermaan komponen-komponen darah yang spesifik sahaja sama ada plasma, platelet (sel pembeku darah) atau kedua-duanya sekali. Ia hanya boleh dijalankan di pusat pendermaan darah sahaja kerana pendermaan ini memerlukan mesin khas.
Pengumpulan darah daripada penderma sehinggalah diberikan kepada pesakit adalah satu rangkaian proses yang begitu penting dan mesti menepati pelbagai prosedur kualiti yang ketat kerana darah adalah bahan biologikal yang mudah rosak.
Selepas darah diambil daripada penderma, penyimpanan dan pengangkutan darah mestilah dikekalkan pada suhu 20-24°C sehinggalah darah tersebut sampai ke makmal pemprosesan.
“Suhu dan cara penyimpanan pecahan produk darah adalah berbeza, sebagai contoh plasma disimpan pada suhu -30°C, sel pembeku darah 20-24°C dan sebagainya.
“Jangka hayat produk darah adalah berbeza. Sel darah merah dapat bertahan sehingga 42 hari, sel pembekuan darah hanya lima hari sahaja dan plasma pula mampu bertahan selama dua tahun pada suhu -30°C,” jelasnya.
Menyentuh mengenai stok bekalan darah, Roshida memberitahu bekalan stok darah kini mencukupi hasil daripada kerjasama erat para penderma darah dan penganjur kempen derma darah yang begitu komited membantu.
“Bekalan darah biasanya akan susut sedikit apabila tiba musim perayaan, namun tidaklah sehingga tahap kritikal kerana penderma-penderma pulang bercuti” katanya sambil menyeru semua rakyat Malaysia di seluruh negara tampil menderma darah tidak kira di mana mereka berada kerana sumbangan mereka mampu menyelamatkan nyawa.
- KOSMO!