Cadangan lanjut usia persaraan cetus polemik pelbagai pihak

Oleh Anwar Patho Rohman

CADANGAN melanjutkan umur persaraan pekerja swasta dan kerajaan dari 55 tahun dan 58 tahun kepada 60 tahun terus menjadi perbualan di kalangan kakitangan sektor berkenaan. Ada pihak yang menyokong tetapi tidak kurang juga yang tidak bersetuju dengan cadangan itu, khususnya golongan muda termasuk siswazah.

Mereka yang menyokong mempunyai alasan bahawa pada usia 55 tahun, mereka masih mampu bekerja dengan memberi sumbangan kepada perkhidmatan lebih baik dan menghasilkan keberhasilan (outcome) serta impak yang sesuai dengan usia mereka, berdasarkan pengalaman dimiliki.
Sementara pihak yang tidak bersetuju pula, khasnya orang muda berpendapat menaikkan usia persaraan akan menyempitkan peluang mereka mendapat pekerjaan dan kenaikan pangkat.
Mereka juga berpendapat, peluang kenaikan jawatan dan gaji juga akan terhad atau perlu menunggu terlalu lama sementara menunggu pekerja lama bersara.

Bagi pekerja swasta, umum mengetahui persekitaran kerja mereka amat berbeza dengan kakitangan awam, dibebani pelbagai tanggungjawab, tekanan dan masa kerja yang lebih berbanding kakitangan awam.

Bagi pekerja swasta, secara logiknya, mereka juga akan menganggap apabila had umur persaraan dinaikkan, secara automatik had umur pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut dinaikkan.

Ini bermakna pihak kerajaan dapat menggunakan sumber kewangan berkenaan untuk tujuan lain, termasuk yang memberi faedah kepada rakyat.
Persoalannya, apa rasional kerajaan bercadang menaikkan umur persaraan pekerja swasta dari 55 tahun kepada 60 tahun?

Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim menyifatkan cadangan itu tidak sejajar dengan usaha Transformasi Ekonomi Kerajaan (ETP) yang mahu memperkasakan pembabitan generasi muda berusia 40 tahun ke bawah sebagai penyumbang utama pemba-ngunan ekonomi negara.

Beliau melihat cadangan itu sebagai langkah ke belakang ketika kerajaan sedang berusaha mendekati generasi muda dan meningkatkan pembabitan mereka terutama sebagai pembuat keputusan.

Ada pihak turut mencadangkan supaya keputusan sama hendak bersara awal atau lewat itu harus diberikan kepada pekerja menerusi pilihan yang diberikan majikan.

Ini kerana, dalam keadaan ekonomi tidak menentu dan tekanan hidup, ada pekerja memilih untuk bersara lebih awal daripada usia 60 tahun disebabkan pelbagai faktor.

Antaranya disebabkan tahap kesihatan terjejas, jemu atau hilang tumpuan terhadap pekerjaan, selain ingin menceburkan diri dalam bidang perniagaan atau sekadar mahu berehat pada usia tua.

Pakar sosiologi, Prof Dr Abd Rahim Md Nor berpendapat cadangan menaikkan had usia bersara perlu berdasarkan justifikasi dan bukan diskriminasi.

Ia bermaksud, golongan pengurusan dan profesional yang memiliki ijazah, sarjana atau doktor falsafah (PhD) dan memiliki pengalaman setaraf sesuai lebih sesuai dengan cadangan itu.

Beliau yang juga Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjelaskan, biasanya golongan berkenaan termasuk dalam kategori A dalam sektor awam.

“Akan tetapi bagi golongan memiliki taraf pendidikan rendah atau tergolong dalam kategori B, C dan D, saya rasa cadangan itu kurang sesuai dilaksanakan,” katanya.

Abd Rahim turut menegaskan negara akan mengalami ‘kerugian’ jika golongan profesional bersara pada usia 55 atau 58 tahun kerana mereka modal insan yang boleh dieksploitasi bersesuaian dengan usia mereka.

“Jika sihat, fikiran dan idea golongan ini makin aktif kerana pada usia 55 tahun dan ke atas tidak berhadapan masalah keluarga, ia membolehkan mereka memberi tumpuan kepada kerja,” katanya.

Beliau turut memberi perbandingan, negara jiran seperti Thailand, Singapura, Indonesia dan Filipina menetapkan usia bersara sekitar 60 hingga 65 tahun.

Beliau mengakui pelaksanaan cadangan itu akan meningkatkan kos kerajaan, namun faedah yang diperoleh negara lebih tinggi kerana dapat menggunakan tenaga profesional veteran dengan maksimum.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url