Pelajar Malaysia Di Indonesia Dinasihat Berhati-hati
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah bagaimanapun berkata, mereka hendaklah sentiasa berwaspada dan menghubungi wakil kedutaan mahupun pegawai kementerian di sana dari semasa ke semasa.
Saifuddin menegaskan, jika tidak berhati-hati para pelajar Malaysia di Indonesia akan dengan mudah terheret sama dalam perbalahan isu tersebut.
"Oleh yang demikian, adalah lebih selamat untuk para pelajar kita tidak melibatkan diri dalam apa jua bentuk provokasi dan memperlihatkan sikap berprofil rendah," kata Saifuddin selepas melancarkan kejohanan bola keranjang antara varsiti di Universiti Malaysia Pahang dekat Gambang di sini.
Saifuddin berkata para pelajar Malaysia yang tinggal di luar Jakarta misalnya perlu sentiasa berkomunikasi dengan pejabat kedutaan atau wakil kementerian di Jakarta untuk tujuan keselamatan.
Isu antara Malaysia dan Indonesia kembali hangat apabila sekumpulan rakyat Indonesia yang tidak berpuashati telah mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Kedutaan Malaysia di Jakarta kerana kononnya mendakwa Malaysia telah mengubah batu sempadan di Kalimantan.
Bagaimanapun Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI) Laksamana Agus Suhartono pada Jumaat memberitahu Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia bahawa tidak ada wilayah Indonesia di Camar Bulan dan Tanjung Datu, Kalimantan Barat, yang diambil oleh Malaysia sebagaimana yang didakwa.
Katanya, para anggota TNI mengawal wilayah perbatasan di Kalimantan Barat sesuai dengan perjanjian Indonesia-Malaysia dan kesemua pos penjagaan di perbatasan dilengkapi data koordinat untuk setiap penanda sempadan.
“Kalau pada masa rondaan ditemui penanda pada kedudukan berbeza, secara bersama ia akan dikembalikan ke koordinatnya,” kata beliau pada satu sesi perjumpaan dengar pendapat dengan Suruhanjaya I DPR di Jakarta.
- MSTAR