Pesta Buku Kanak-Kanak 2011 - Budayakan membaca demi generasi muda
PADA zaman serba canggih kini, jurang antara generasi kian ketara melihatkan perbezaan aktiviti membaca golongan dewasa dan kegilaan generasi muda bermain alat elektronik.
Namun, perbezaan antara medium cetak atau elektronik tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak meneruskan budaya membaca di kalangan generasi muda kerana ilmu hasil bahan bacaan itulah yang akan membentuk sahsiah diri dan pemikiran mereka kelak.
Untuk itu, buat julung-julung kalinya Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Kementerian Pelajaran Malaysia akan menganjurkan Festival Buku Kanak-Kanak 2011 (FBK2011) bermula 27 Oktober ini hingga 2 November 2011.
Festival yang dianjurkan dengan kerjasama Majlis Buku Kanan-Kanak dan Remaja Malaysia (MBBY), Perbadanan Kota Buku serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu akan berlangsung selama satu minggu di Perpustakaan Kuala Lumpur.
Beberapa penaja swasta dan agensi kerajaan juga dijangka akan turut serta dalam menjayakan FBK2011 demi menggalakkan budaya membaca di kalangan rakyat pelbagai peringkat terutamanya generasi muda.
Selain itu, Kumpulan Utusan juga akan bekerjasama dengan penganjur dalam mengenengahkan hasil karya penulis dan pelukis ilustrasi tempatan kepada para hadirin dan pembaca akhbar dan majalah Kumpulan Utusan.
Penolong Pengarah MBKM, Ahmad Fadli Abd. Aziz menjelaskan, FKB2011 dianjurkan lebih kepada generasi muda memandangkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur sudah sedia ada untuk semua.
"Konsep FBK2011 adalah untuk mengikut jejak pesta buku kanak-kanak terbesar dunia yang diadakan di Itali sebelum ini.
"Kita juga mahu mempromosikan bahan-bahan penerbitan baru serta pameran ilustrasi dari Kementerian Pelajaran sendiri, hasil bengkel ilustrasi di kalangan para guru," katanya.
Menurut beliau, program itu juga diharap dapat memajukan industri penerbitan buku kanak-kanak tempatan dan menggalakkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan bidang penerbitan seperti penulisan, penyuntingan, ilustrasi, penterjemahan, dan pemasaran buku di negara ini.
"Kita juga bukan hanya mempromosikan bahan bercetak malahan penerbitan melalui medium elektronik dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dari dalam dan luar negara.
"Langkah ini akan memupuk kesedaran tentang kepentingan buku kepada kanak-kanak, sama ada yang dicetak atau secara elektronik sebagai gedung ilmu dan pengayaan minda untuk pembinaan modal insan mereka kelak," tegasnya.
Ahmad Fadli menekankan, FBK2011 dipercayai mampu menggalakkan budaya membaca di kalangan rakyat semua peringkat, khususnya kanak-kanak dan institusi keluarga seterusnya menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab penerbitan dan pemasaran buku kanak-kanak.
Tambahnya, pelbagai aktiviti untuk pelajar, guru dan orang ramai sepanjang tujuh hari penganjuran pesta buku itu juga diharap dapat mengembangkan budaya membaca di kalangan generasi muda.
Beliau menjelaskan, sesetengah program telah ditetapkan untuk kumpulan pelajar dan guru dalam jumlah tertentu sementara program lain terbuka kepada orang ramai.
"Antara aktiviti yang akan dianjurkan adalah demonstrasi teknik bercerita untuk sekitar 100 orang guru dan orang ramai pada 27 dan 28 Oktober.
"Selain itu, sesi bercerita dan pameran bersama warga Group Art Genting akan berlangsung dari 27 Oktober hingga 2 November 2011 bersama warga Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya P18, SK putrajaya P8 dan juga orang ramai," ujarnya.
Menurut beliau, guru sekolah juga boleh menyertai sesi perbincangan sastera sementara sesi bercerita Group Kopi-Kopi pula untuk para pelajar.
Selain itu katanya, demontrasi origami sambil bercerita serta sesi bercerita bersama artis terkenal, Wardina Safiyyah untuk cerita bahasa Melayu dan Sarimah Ibrahim, untuk cerita bahasa Inggeris pada 30 Oktober adalah terbuka kepada semua pengunjung.
"Secara umumnya, FBK2011 akan mempunyai seminar buku kanak-kanak, bengkel penulisan dan ilustrasi buku kanak-kanak serta pameran hasil ilustrasi daripada bengkel-bengkel tersebut.
"Selain itu, pameran dan promosi buku kanak-kanak serta buku untuk orang kelainan upaya (OKU) untuk guru pendidikan khas juga akan dianjurkan," jelasnya.
Ahmad Fadli memaklumkan, koleksi buku untuk OKU dan kanak-kanak berkeperluan khas dari seluruh dunia diharap dapat memberi pendedahan kepada orang ramai dan penerbit tempatan tentang cabaran dan situasi hidup golongan tersebut.
Sesi tersebut terbuka kepada umum, guru pendidikan khas, ahli Persatuan Orang Buta, ahli Persatuan Dyslexia, warga Jabatan Kebajikan Masyarakat dan murid pendidikan khas.
Antara kemuncak utama FBK2011 untuk golongan pelajar adalah Seminar Sehari Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja 2011 dengan tema 'Hala Tuju Pembangunan Sastera Kanak-kanak dan Remaja: Realiti dan Harapan' pada 1 November 2011.
Menurut Ahmad Fadli, program yang terbuka kepada umum dan para pelajar itu akan membicarakan secara kritis tentang ciri dan sifat yang perlu ada dan dipertahankan dalam karya sastera kanak-kanak dan remaja masa kini.
"Melalui seminar ini, kita mahu merangsang pertumbuhan pengarang baharu untuk menghasilkan karya sastera kanak-kanak dan remaja, di samping menampung ketekalan pengarang mapan yang sedia ada.
"Ini juga dapat meningkatkan kesedaran terhadap pentingnya kesusasteraan kanak-kanak dan remaja dalam perkembangan sosial semasa negara," katanya.
Langkah itu jelasnya, mampu merangsang kelahiran karya sastera remaja yang hebat dari segi persoalan, mutu bahasa, mutu seninya, nilai agama dan berdaya saing di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
"Seminar itu bukan sekadar mahu menggalakkan penerbitan karya kesusasteraan kanak-kanak dan remaja yang berkualiti dalam bahasa Melayu.
"Kemuncaknya, kita mahu membina khalayak sastera remaja yang jitu agar mereka seterusnya dapat menjadi khalayak karya sastera yang lebih serius pada masa hadapan," tegasnya.
Oleh itu, orang ramai dijemput menyertai pelbagai aktiviti anjuran FBK2011 di Perpustakaan Kuala Lumpur bersama ahli keluarga bermula 27 Oktober ini hingga 2 November 2011 demi mengembangkan budaya membaca di kalangan anak-anak dan generasi muda.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web Festival Buku Kanak-Kanak 2011 di Facebook, e-mel mbkm@moe.gov.my atau hubungi talian 03-83217011.
- UTUSAN