5,685 guru daftar pelajar OUM
Presiden OUM, Tan Sri Profesor Emeritus Anuwar Ali berkata, pendaftaran program itu dijalankan di 20 lokasi diuruskan pusat pembelajaran OUM di seluruh negara, bermula semalam hingga 17 Mac ini.
Katanya, semua guru bakal mendaftar itu akan mengikuti program empat tahun dan akan memulakan pengajian mereka pada bulan ini hingga Disember 2014.
“Ambilan Khas ini hanya membabitkan program SMP dengan 11 pengkhususan iaitu Prasekolah, Pendidikan Islam, Bahasa Melayu, Bahasa Cina, Kemahiran Hidup, Matematik, Muzik, Pendidikan Jasmani, Pendidikan Khas, Pendidikan Seni Visual dan Sains.
“Program ini mendapat akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta perakuan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Sejak dimulakan pada 2006, hampir 20,000 guru berjaya meningkatkan kelayakan akademik masing-masing, melalui program inisiatif Kementerian Pelajaran untuk memastikan semua guru di sekolah menengah dan sekurang-kurangnya 50 peratus guru di sekolah rendah, memiliki ijazah,” katanya pada sidang akhbar, di OUM Shah Alam, di sini, semalam.
- HARIAN METRO