Soal Jawab Agama : Poker Internet tanpa taruhan
SOALAN:
APAKAH hukum bermain poker (judi) di Internet iaitu bermain hanya sekadar suka-suka saja dan tidak membabitkan pertaruhan duit sebenar.
Bolehkah ia disamakan dengan permainan lain di Internet? Boleh Dr jelaskan hukumnya kerana ada yang berpendapat haram kerana menyamai perjudian sebenar.
Ada yang mengatakan ia tidak haram kerana sama saja dengan permainan lain di Internet.
JAWAPAN:
JUDI termasuk dalam perbuatan haram dalam Islam (al-Quran, al-Ma’idah (5): 90-91). Ia perlu dijauhi sama ada kecil atau besar. Bagi lebih memahami maksud judi itu, ia secara umum membabitkan dua perkara berikut, iaitu (1) sumber hadiah berasal daripada apa-apa benda termasuk duit sebagai deposit atau taruhan daripada semua peserta, dan (2) semua peserta perlu mengambil risiko sama ada menang atau kalah di dalamnya (Ashraf Md Hashim 2003).
Sekiranya permainan poker di atas tidak membabitkan perkara di atas, ia bukan judi yang ditakrifkan haram dalam Islam. Bagaimanapun, permainan sedemikian dikira membazir waktu dan wajar dijauhi.
Justeru hukumnya berbeza-beza. Ada berpendapat permainan sedemikian hanya makruh, harus atau haram berdasarkan keadaan tertentu.
Ada menyatakan ia haram kerana melakukan aktiviti tidak berfaedah dan untuk keseronokan semata-mata. Lebih bermanfaat mencegah diri daripada permainan berkenaan.
- HARIAN METRO