Baghdad bekas pusat ilmu Islam


Disediakan oleh BAHAGIAN ANALISA dan PENYELIDIKAN, YAYASAN DAKWAH ISLAM MALAYSIA

DAHULU, wilayah Iraq disebut Mesopotamia, salah satu tempat lahirnya peradaban paling tua. Nama Mesopotamia berasal daripada sebutan orang Yunani bagi wilayah itu.

Di negara itu pernah bertapak kerajaan besar seperti Assyria, Babylon dan Parsi. Setelah ditakluki oleh orang Islam, kawasan itu menjadi tempat pendudukan kekhalifahan Abbasiah (750-1258) sebelum jatuh ke tangan orang Mongol, Turki dan Inggeris.

Ketika Iraq di bawah kekuasaan Abbasiah, ia mengalami kemajuan yang cukup pesat seperti dalam bidang ekonomi, ilmu pengetahuan, pembinaan dan teknologi, kesenian, sastera serta politik.

Kemajuan dalam bidang ekonomi dan perdagangan membawa kesan kepada kemajuan ilmu pengetahuan, falsafah dan kebudayaan Islam.

Arab dan Kurdis

Penduduk Iraq terdiri daripada beberapa kumpulan etnik. Antara kumpulan etnik terbesar termasuklah Arab (75 peratus-80 peratus) dan Kurdis (15 peratus-20 peratus). Kumpulan etnik kecil lain seperti Tukorman dan Assyria.

Selain bahasa Arab (bahasa rasmi), penduduk Iraq juga menggunakan bahasa Turki Kurdis, Parsi, Assyria dan Armenia. Kira-kira 25 peratus daripada penduduk Iraq tinggal di kawasan perkampungan sebagai petani.

Syiah dan ahli sunnah

Sebanyak 97 peratus rakyat Iraq menganut agama Islam, 60-65 peratus daripadanya berfahaman Syiah, 32-37 peratus lagi ahli sunnah, tiga peratus menganut agama Kristian dan lain-lainnya.

Dahulu, agama menjadi punca keretakan hubungan. Konflik sering terjadi antara aliran Ahli Sunnah dengan Syiah. Laungan yang mengungkap luapan perasaan dalam upacara keagamaan boleh memanaskan suasana, bahkan perarakan dapat mencetuskan rusuhan.

Namun pada masa ini, permusuhan antara golongan Syiah dengan ahli sunnah telah berkurangan. Hubungan persahabatan antara kedua-dua kumpulan semakin baik.

Pemerintahan

Iraq adalah sebuah negara republik. Pemerintahannya diketuai oleh seorang presiden. Presiden menjadi panglima tertinggi angkatan bersenjata dan ketua Majlis Revolusi.

Dewan itu terdiri daripada para pimpinan dewan. Setiap wilayah dipimpin oleh gabenor yang dilantik oleh Menteri Dalam Negeri.

Di samping kehakiman umum, terdapat juga kehakiman agama yang menangani masalah status perseorangan dan masalah agama berdasarkan hukum Islam tradisional.

Selain itu, terdapat kehakiman agama bagi penganut Kristian dan Yahudi.

Pada zaman Bani Abbasiyah, Baghdad merupakan salah satu pusat ilmu yang banyak melahirkan ulama. Wilayah Iraq ditakluki tentera Arab Islam pada 633-637. Mereka membawa ajaran Islam dan bahasa Arab.

Musanna bin Harithah

Penaklukan Iraq pertama kali berlaku pada zaman Khalifah Abu Bakar al- Siddiq melalui angkatan yang dipimpin oleh Musanna bin Harithah. Tentera Islam di bawah kepimpinannya menakluki wilayah barat Sungai Furat.

Kemudian Abu Bakar sekali lagi mengirim tentera yang jumlahnya lebih besar di bawah pimpinan Khalid bin al-Walid. Khalid yang menyerang dari arah utara dan menguasai kota Hirah dan pelabuhan al-Ubullah di Teluk Arab.

Sa'ad bin Abi Waqqas

Penaklukan kedua dan ketiga ke wilayah Iraq berlaku pada zaman Khalifah Umar bin al- Khattab. Semasa penaklukan kedua, serangan diarahkan ke utara Baghdad yang disebut Ard al-Sawad. Pertempuran itu disertai banyak panglima tentera Islam terbaik, antara lain Sa'ad bin Abi Waqqas (panglima paling berjaya dan paling luas taklukannya).

Semasa penaklukan ketiga, tentera Islam dipimpin oleh Iyad bin Ganam yang menyerang daerah yang dikuasai oleh bangsa Rom, yang disebut Ard al-Jazirah (tempat pertempuran antara tentera Parsi dengan Rom).

Ketika itu, tentera Islam menguasai kota-kota penting, seperti al-Raqqahdan al-Ruha. Setelah itu, mereka menyerang wilayah Armenia dan sekitarnya.

Pengembangan ilmu pengetahuan

Ketika Bani Abbasiah memerintah Iraq, wilayah itu mengalami kemajuan dalam bidang ekonomi dan perdagangan. Hal itu memberikan kesan kepada pengembangan ilmu pengetahuan.

Pengembangan ilmu pengetahuan di Iraq dilakukan dengan beberapa cara. Cara pertama adalah penterjemahan buku-buku Yunani, Parsi, Syria, India dan Qibti ke bahasa Arab.

Selepas itu, para sarjana Islam membuat ulasan terhadap buku-buku yang diterjemahkan itu. Cara selanjutnya adalah menubuhkan pusat pendidikan dari peringkat dasar hingga peringkat tinggi, seperti Madrasah Nizamiyah.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url