Top Ad 728x90

,

Wanita Islam haram sertai semua jenis pertandingan ratu cantik

Wanita Islam diharamkan menyertai apa-apa jenis pertandingan ratu cantik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Kata beliau, perkara tersebut telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1997, namun perlu diwartakan di peringkat Majlis Fatwa negeri bagi penguatkuasaan undang-undang berkaitan.

"Majlis Fatwa Kebangsaan telah memberi ingatan bahawa wanita Islam tidak dibenarkan menyertai sebarang pertandingan ratu cantik.

"Namun penguatkuasaan fatwa adalah di bawah bidang kuasa negeri-negeri kerana pentadbiran undang-undang Islam terletak di bawah negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Peringkat Parlimen Pendang di Pendang, hari ini.

Beliau mengulas tentang penyertaan lima wanita Islam dalam pertandingan Miss Borneo 2011 di Sarawak baru-baru ini.

Kata Jamil Khir, sesetengah negeri bagaimanapun belum lagi mewartakan fatwa tersebut, sekali gus menyukarkan sebarang tindakan diambil ke atas mereka yang melanggarnya.

"Kerajaan negeri perlu memainkan peranan untuk mewartakan fatwa tersebut bagi mengelak sebarang kekeliruan dalam kalangan masyarakat selain mengugat sensitiviti umat Islam.

"Setiap fatwa tidak akan berstatus undang-undang sehingga diwartakan di negeri masing-masing, sekali gus membolehkan penguatkuasaan ke atas mereka yang melanggar fatwa tersebut," katanya.

Selain itu, tambah beliau, pihak lain yang terlibat seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penganjur perlu memikul tanggungjawab melarang penyertaan orang Islam dalam sebarang pertandingan seumpama itu.

"Kerajaan memandang serius perkara ini kerana ia memberi kesan negatif kepada masyarakat Islam.

"Kita akan tengok apakah ruang kekurangannya sehingga berlaku kes seperti di Sarawak ini. Kita akan tangani perkara ini agar ia tidak berulang termasuk sebarang tindakan berkaitan terhadap mereka yang terlibat," katanya.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90