Doktor Peribadi Michael Jackson Dihukum Penjara 4 Tahun
LOS ANGELES: Doktor peribadi Michael Jackson, Dr Conrad Murray telah dihukum penjara maksimum empat tahun setelah didapati bersalah membunuh tanpa niat raja pop itu tiga tahun lalu.
Hakim ketika menjatuhkan hukuman tersebut telah menyelar tingkah laku doktor berkenaan sebagai "money-for-medicine madness."
Sementara terdapat juga kemungkinan doktor tersebut akan hanya menjalani hukuman separuh daripada jumlah tersebut ada kemungkinan juga dia akan diarah membayar ganti rugi kepada keluarga Jackson.
Pihak pendakwaan meminta supaya mahkamah mengarahkan Dr Murray membayar sehingga AS$100 juta.
Ibu Michael Jackson, Katherine yang berusia 81 tahun berkata: "Empat tahun sebenarnya tidak memadai untuk mengantikan nyawa seseorang.Empat tahun tidak akan menghidupkan kembali anak saya tetapi ini adalah ketetapan undang-undang...dan saya berterima kasih kepada hakim di atas keputusan ini."
Secara realitinya, Dr Murray dijangka tidak akan menghabiskan tempoh empat tahun itu di dalam penjara memandangkan di Negeri California masalah penjara yang padat akan mendorong pihak berkuasa penjara untuk memendekkan hukuman.
Dalam kes seperti ini, beliau akan menghabiskan paling maksimum pun dua tahun sahaja di belakang penjara.
Michael Jackson telah didapati meninggal dunia pada 25 Jun 2009 setelah diberikan suntikan sejenis ubat tidur yang sangat kuat oleh Dr Murray.
Ubat tidur itu diberikan setelah penyanyi berkenaan berhadapan dengan masalah tidak dapat tidur yang kronik.
Michael Jackson,50, mengupah Dr Murray dengan bayaran gaji sehingga AS$150,000 sebulan untuk merawat dan menjaga masalah tidurnya sepenuh masa ketika beliau dalam tempoh membuat persediaan dan latihan untuk konsert terbesarnya yang dinamakan "This is It" yang dijadualkan berlangsung di kota London selama beberapa bulan.
Mahkamah telah menetapkan 23 Januari tahun depan sebagai tarikh untuk menentukan jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh doktor itu kepada keluarga Jackson dan juga tiga orang anaknya.
Jumlah tuntutan sebanyak AS$100 juta itu walaupun kelihatan tidak realistik tetapi pihak pendakwaan ingin memastikan Dr Murray tidak akan membuat sebarang keuntungan hasil daripada penjualan ceritanya sama ada dalam bentuk buku atau apa sahaja selepas dia dibebaskan nanti.
- MSTAR