Satu laporan daftar kematian sahaja jika berlaku kematian

Mulai 1 Disember, waris orang yang meninggal dunia kini hanya perlu membuat satu laporan untuk mendapatkan permit mengubur dan sijil kematian, berbanding dua laporan berasingan kepada agensi berlainan ketika ini.

Mengikut prosedur baru itu, kematian boleh dilaporkan di mana-mana balai polis atau hospital di seluruh negara menggunakan borang baru Daftar Kematian/Permit Mengubur JPN LM02 (Pin.1/11).

Selain balai polis dan hospital, penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan juga boleh mendaftar kematian di pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggunakan borang sama.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Jariah Mohd Said, berkata prosedur baru itu dapat mengatasi kerenah birokrasi kerana laporan hanya perlu dibuat sekali bagi sesuatu kematian untuk mendapatkan dua dokumen iaitu permit mengubur dan sijil kematian sekali gus.

“Inovasi baru bagi Dokumen Daftar Kematian/Permit Mengubur di Semenanjung Malaysia dilaksanakan seperti diluluskan Menteri Dalam Negeri mengikut Seksyen 39(h) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).

“Mengikut kaedah baru ini, sebaik saja laporan kematian diterima, pemaklum akan diberi satu salinan Daftar Kematian/Permit Mengubur JPN LM02 (Pin.1/11) yang akan digunakan bagi urusan pengebumian jenazah/mayat. Ia secara langsung bermakna kematian itu sudah diterima dan didaftarkan dengan JPN.

“Pemaklum hanya perlu hadir ke JPN bagi mendapatkan sijil kematian (JPN LM03) saja. Inovasi ini dapat meningkatkan keupayaan dan kecekapan mengemas kini Sistem Informasi Rekod Kependudukan Negara melalui perkongsian maklumat antara JPN dan agensi kerajaan yang lain, khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sistem sekarang memerlukan pemaklum membuat laporan kematian sebanyak dua kali, iaitu di agensi pengesah kematian bagi mendapatkan permit mengubur dan laporan kematian kedua di JPN untuk memohon sijil kematian.

Pada masa yang sama, perkongsian maklumat itu secara langsung dapat membantu SPR dalam usaha mengemas kini rekod kematian di dalam daftar pemilih secara online melalui Agency Link Up System (ALIS).

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url