Jemaah haji melontar jamrah
MINA, Arab Saudi - Berjuta-juta jemaah haji semalam melontar jamrah pada hari kedua ibadat haji di sini semalam.
Melontar jamrah akan dilakukan selama dua hari lagi dengan setiap jemaah perlu melontar batu di tiga buah jamrah.
Setiap jemaah perlu melontar 21 butir batu di tiga struktur batu setinggi 25 meter.
Melontar jamrah dilakukan bagi mengingati peristiwa Nabi Ibrahim melontar batu ke arah syaitan yang muncul tiga kali untuk mempengaruhinya.
"Ia memberi kekuatan moral. Kini saya berasa seperti sudah menewaskan syaitan," kata seorang jemaah yang melontar jamrah, Mohktar Khan berusia 29 tahun.
Dia tiba di lokasi melontar jamrah itu bersama puluhan jemaah dari Bangladesh yang melaungkan Allahuakbar.
Seorang lagi jemaah haji, Mohammed Husseinnin yang berusia 25 tahun berkata, dia akan berasa menang jika dapat melontar batu ke arah syaitan yang merupakan musuh utamanya.
Pihak berkuasa Arab Saudi telah menyediakan laluan pejalan kaki bertingkat sebagai usaha untuk mengelak kejadian rempuhan yang menyebabkan 364 orang mati pada 2006, 251 jemaah pada 2004 dan 1,426 lagi pada 1990.
Seorang lagi jemaah, Dina Mohammed Ramadhan berusia 27 tahun dari Mesir menyatakan perasaan bersyukurnya kerana dapat mengerjakan ibadat haji.
Suaminya menolak kereta sorong bayi yang membawa dua anak mereka dalam kumpulan jemaah.
Musim haji itu berlangsung selama lima hari.
- Agensi