Kebolehpasaran graduan lepasan pengajian Islam
Tetapi benarkah begitu? Jika benar, pastinya mereka tidak sempat digelar penganggur terhormat apabila sebahagian besar siswazah pengajian Islam dikatakan sudah ada kerja menunggu.
Itu yang diakui Pengarah Bahagian Pengurusan Pembangunan Akademik Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Prof. Dr. Zarida Hambali ketika membentangkan kertas kerja Kebolehpasaran Graduan Program Pengajian Islam: Statistik Semasa dan Peluang Masa Depan'.
Beliau antara yang membentangkan kertas kerja di persidangan meja bulat Program Pengajian Islam: Kebolehpasaran Graduan anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), baru-baru ini.
Dr. Zarida berkata, tahun lepas seramai 71,565 graduan bidang sastera dan sains sosial dilahirkan oleh Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seluruh negara dan 1,804 daripadanya berkelulusan pengajian Islam.
Katanya, daripada 1,804 graduan itu, kira-kira 62.8 peratus graduan bekerja di bidang pendidikan.
"Bidang perguruan lebih mudah kerana sekarang ini banyak sekolah, kolej selain bertugas sebagai guru agama sekolah berasrama penuh dan menjadi warden," katanya.
Begitupun beliau berharap kursus pengajian Islam di peringkat ijazah, sarjana dan sebagainya perlu turut melalui penambahbaikan bagi melahirkan modal-modal insan siswazah Muslim yang berkualiti tinggi.
Ia termasuk kaedah pembelajaran yang melibatkan soal kecanggihan teknologi maklumat (IT) supaya sejajar dengan perkembangan semasa dan melahirkan siswazah pengajian Islam yang menguasai disiplin ilmu yang lain.
"Isu lain adalah sama ada boleh mengambil pensyarah di bidang lain seperti perubatan, ekonomi dan sebagainya di setiap fakulti atau kuliah pengajian Islam? Adakah para pelajar juga tertakluk kepada menguasai bahasa Arab," katanya.
Namun cadangan Dr. Zarida supaya ditubuhkan satu badan pemantau pengajian Islam yang khas adalah sesuatu yang agak menarik.
Walaupun pada hari ini, akreditasi dan kriteria pengajian Islam dilakukan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan dipantau oleh Majlis Dekan-dekan Pengajian Islam IPTA, namun badan khas bagi memantau pengajian Islam diperlukan bagi membolehkan bidang itu akan lebih dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat.
"Kaedah perubatan Ayurveda misalnya terdapat kesatuan pengamal yang memantau perubatan ini, termasuk juga kesatuan arkitek atau kejuruteraan di bidang profesional masing-masing, begitu juga hendaknya di bidang pengajian Islam.
"Badan yang turut memantau hasil keluaran siswazah dari institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang menawarkan pengajian Islam," katanya.
Dr. Zarida juga mahu pengajian Islam diperluaskan bidangnya dalam pelbagai bentuk profesional lain meliputi sains kesihatan, hospitaliti, kewangan dan perbankan Islam, pelancongan dan sebagainya.
Ini supaya lebih ramai anak orang Islam menceburinya dan memberi sumbangan dalam bidang-bidang berkenaan.
Ini sekali gus bagi membolehkan angka 40.8 peratus siswazah pengajian Islam yang menganggur menceburi pelbagai bidang pekerjaan dan tidak hanya bergantung kepada sektor pendidikan.
Sebenarnya terdapat pelbagai isu melibatkan soal pengajian Islam di universiti dan kolej-kolej pengajian awam dan swasta yang dibincangkan sepanjang berlangsungnya persidangan itu.
Malah persidangan yang dihadiri oleh wakil-wakil IPTA dan IPTS seluruh negara turut membahaskan sama ada menjadikan pengajian Islam sebagai subjek teras yang wajib oleh seluruh pelajar yang melanjutkan pengajian dalam apa juga bidang di menara gading.
Ia bukan bertujuan mengislamkan terutama kepada kalangan pelajar yang bukan Islam tetapi sesuai dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan di negara ini.
Dalam sudut lain, kalangan akademik yang hadir berharap lepasan pengajian Islam benar-benar menjadi contoh kepada masyarakat walau dalam apa juga pekerjaan yang mereka ceburi.
Ini supaya orang yang dipanggil 'ustaz' tidak menunjukkan ciri-ciri seorang 'ustaz' sebaliknya lepasan bidang lain seperti doktor dan sebagainya layak pula dipanggil 'ustaz' atas ketokohan dan akhlak yang mereka miliki.
Bagaimanapun, tidak dinafikan lepasan pengajian Islam memberi kelebihan untuk mereka menceburi bidang yang lebih profesional selain dunia pendidikan.
Ini termasuk pegawai-pegawai pentadbir negeri sehingga ke jawatan pegawai tadbir dan diplomatik.
Namun persidangan meja bulat ini juga mendedahkanbanyak kekosongan, iaitu 500 calon untuk mengajar J-Qaf di sekolah-sekolah.
Persoalannya, sama ada lulusan pengajian Islam yang menganggur kerana tidak berminat mengajar J-Qaf atau tidak cukup calon untuk ditemuduga bagi memasuki sijil perguruan mengajar J-Qaf.
Jadi, tidak timbul isu yang mengatakan kebanyakan lulusan pengajian Islamsusah mendapat pekerjaan yang sesuai ekoran latar belakang pendidikan yang mereka perolehi.
Sebenarnya jika mereka bertugas sebagai imam di masjid mahupun surau sehinggalah mengajar agama tanpa mengira premis sudah boleh dianggap mereka beroleh pekerjaan sejurus tamat pengajian.
Mungkin dalam tempoh enam bulan pertama tamat pengajian dicatatkan jumlah pengangguran yang tinggi di kalangan siswazah. Tetapi selepas tempoh tersebut mereka sebenarnya beroleh pekerjaan yang sesuai yang dapat membantu mereka berjaya.
- UTUSAN