NST dan masa depan

Oleh Awang Selamat

Bercakap tentang sejarah media di negara ini, tidak akan lengkap tanpa menyentuh usia panjang 166 tahun akhbar New Straits Times (NST). Sebagai akhbar tertua, NST mempunyai tradisinya tersendiri sejak mula beroperasi di Singapura pada Julai 1845. Harganya di pasaran ketika itu 10 sen dan diedarkan 200 naskhah.

Sudah lebih tiga generasi, akhbar tersebut menabur jasa kepada rakyat Malaysia. Semasa Perang Dunia Kedua (1942-45), Jepun mengambilalih operasi Straits Times dan menerbitkan Shonan Times.

Banyak suka duka telah dilalui oleh para petugasnya yang gigih daripada era pengurusan mat salleh hinggalah kepada anak tempatan. Bermula fasa menjadi wadah penjajah, NST mengorak langkah selepas merdeka sebagai pemangkin suara nusa dan bangsa. Daripada lokasi pejabat di Singapura kemudian berpindah ke Jalan Pudu (1956) dan akhirnya di Bangsar (1967), NST melakar sejarah dalam era pemodenan Malaysia dan terus menjadi akhbar bahasa Inggeris yang disegani.

Lalu Awang tumpang gembira apabila NST tampil dengan wajah baru. Satu lagi transformasi akhbar tersebut, yang kali ini lebih ketara. Ia bukan sekadar perubahan wajah malah komitmen lebih besar dalam menyalurkan maklumat kepada pembaca menerusi empat platform - telefon bimbit, portal online, cetakan akhbar dan tablet seperti iPad.

NST memilih tarikh 11.11.11 untuk menampilkan pembaharuan. Edisi pertamanya turut menyaksikan sebahagian foto dan iklan dalam bentuk imej 3D, yang pertama seumpamanya di negara ini.

Awang mengucapkan tahniah kepada NST. Akhbar tersebut memperlihatkan iltizam dan keyakinan baru dalam industri media yang sesungguhnya semakin mencabar dan kompleks.

Paling rumit adalah untuk memenuhi harapan pembaca terutama generasi baru, yang kini mempunyai banyak pilihan mendapatkan maklumat. Menerbitkan akhbar pada era ledakan teknologi maklumat tidak sama seperti era sebelum ini. Itu belum menyentuh hal lain seperti menjaga kepentingan pemegang saham, kekangan politik, mengimbangi agenda negara dan tuntutan jurnalistik serta bagaimana akhbar memainkan peranannya. Sebahagian editor di seluruh pelosok dunia gundah menghadapi cabaran ini dengan ada yang meramalkan industri persuratkhabaran sebagai di ambang kematian.

Namun Awang yakin akhbar ada masa depannya termasuk dalam konteks Malaysia. Lebih 100 akhbar yang berusia melebihi 100 tahun masih beroperasi di seluruh dunia. Malah ada yang masih berpengaruh seperti Tijdender (1645), Gazetta (1664), The Times (1785), Sydney Morning Herald (1831), The New York Times (1851), Mainichi Shimbun (1872), The Hindu (1878), Asahi Shimbun (1879), The International Herald Tribune (1887) dan The Financial Times (1888) biarpun terpaksa bersaing dengan banyak akhbar baru.

Tradisi kecemerlangan termasuk sentiasa menyuntik pembaharuan dari segi rekaan dan kandungan; responsif kepada persekitaran, pengaruh dan kewibawaan akan menjadi penentu kepada survival akhbar. NST ada potensi untuk kekal relevan dan Awang cukup yakin dengan masa depannya. Selamat maju jaya.

- MINGGUAN MALAYSIA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url