Pesakit mental meningkat 15.6%

Bilangan pesakit mental mencatat peningkatan drastik di negara ini dan jumlahnya kian bertambah setiap tahun, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Menurutnya, berdasarkan statistik daripada kementerian tersebut, jumlah pesakit mental mencatat peningkatan 15.6 peratus tahun lalu, berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, 400,227 orang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan berhubung penyakit mental pada 2010.

Kaji selidik juga jelas beliau, menunjukkan 19.5 peratus pesakit mental melibatkan kumpulan umur 70 hingga 74 tahun, manakala 14.4 peratus adalah golongan muda yang berusia 16 hingga 19 tahun.

"Pesakit mental juga banyak berlaku dalam kalangan wanita iaitu kira-kira 12.1 peratus, berbanding golongan lelaki 10.4 peratus," katanya.

Beliau berucap pada kempen Kesihatan dan Kecergasan Rohani dan Jasmani anjuran bersama Hospital Queen Elizabeth (QEH).

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr. Yusof Ibrahim; Timbalan Pengarah Klinikal II QEH, Dr. Low Chun Kiat.

Rosnah berkata, penyakit mental menjadi salah satu punca perbuatan membunuh diri di negara ini.

Menurutnya, kadar membunuh diri di Malaysia mencatat antara sembilan hingga 12 orang bagi setiap 100,000 populasi.

Sehubungan itu, beliau berharap, orang ramai dapat menjaga kesihatan, termasuk keupayaan menangani tekanan.

- MINGGUAN MALAYSIA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url