Goldman Sachs Ramal Malaysia Bakal Catat Prestasi Baik Dalam Suku Pertama 2012

Malaysia dijangka mencatatkan prestasi baik dalam suku pertama yang sukar tahun depan berikutan jangkaan penurunan di rantau ini, kata Goldman Sachs.

Firma penyelidikan antarabangsa itu berkata Malaysia dilihat sebagai tempat yang selamat memandangkan persekitaran ekonomi global yang tidak menentu.

Bagaimanapun, keseluruhannya, ia menjangka negara mencatatkan ekonomi kurang memberangsangkan tahun depan.

"Kami mendapati pasaran Malaysia kurang sensitif kepada faktor pertumbuhan di seluruh Asia," kata firma itu dalam Tinjauan 2012 bagi Ekonomi, Komoditi dan Penyelidikan Strategi Global Goldman Sachs.

Ia berkata, inisiatif kerajaan untuk meningkatkan pelaburan menerusi Program Transformasi Ekonomi (EYP) terus meraih momentum seperti yang dicerminkan dalam peningkatan pelaburan swasta dan awam.

"Kami percaya pelabur masih belum menyedari sepenuhnya potensi ekonomi daripada usaha-usaha ini dan "jurang boleh labur" ini menyediakan peluang yang menarik," kata firma itu lagi.

Goldman Sachs juga berkata, industri perbankan akan menjadi wakil yang baik bagi permintaan domestik defensif Malaysia dan menjangka ETP akan mengurangkan sedikit potensi risiko menurun kepada sektor itu tahun depan dengan lebih banyak pembabitan sektor swasta.

Firma penyelidikan itu berkata ia telah mengklasifikasikan tinjauan pasaran Malaysia kepada beli lebih.

Pertumbuhan pendapatan dan sumbangan kepada pertumbuhan dirangsang terutamanya daripada sektor permintaan domestik, daripada bahan asas pengguna, stok perladangan hinggalah kepada perjudian dan pengendali hotel, kata firma itu.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url