Pelajar giat berpolitik biar berilmu, matang

Oleh Shamrahayu A Aziz

ADAKAH pelajar universiti berhak untuk bebas berpolitik; berhak untuk menyertai, memegang jawatan politik atau bergiat aktif dalam politik di dalam atau di luar kampus?

Sebagai seorang yang agak lama dalam profesion pendidikan di universiti saya berasakan satu keperluan untuk saya berkongsi dengan pembaca mengenai pembabitan pelajar dalam politik. Saya melihat perkara ini daripada kaca mata seorang pendidik, tanpa sebarang kecenderungan atau prejudis kepada mana-mana parti politik. Apa yang ingin saya kongsi ialah pengamatan dan pendapat saya.

Disebabkan kursus yang saya mengajar membabitkan persoalan umum yang berkisar mengenai pentadbiran negara dan penguatkuasaan undang-undang, perbincangan dalam kelas memerlukan pemikiran kritis. Sudah tentu perbincangan sebegini menjadi hangat dengan pandangan, sokongan atau hentaman kepada pandangan ahli politik atau falsafah perjuangan parti politik.

Dalam proses ini, pelajar bukan saja perlu mengetahui undang-undang yang tertulis semata-mata, tetapi mereka juga hendaklah sentiasa sedar dan memahami salasilah dan falsafah undang-undang itu, seperti memahami persoalan kenapa sesuatu undang-undang itu diwujudkan.

Kedua-dua perkara ini memerlukan perhatian pelajar kepada apa yang tertulis dalam undang-undang dan juga apa yang tidak tertulis. Melalui pengalaman saya, pelajar tidak begitu sukar untuk memahami atau mengingati apa yang tertera. Ia senang untuk dibaca dan dihafal.

Namun, pelajar sukar memahami falsafah di sebalik kewujudan sesuatu undang-undang. Bagi memahami falsafah itu, pelajar bukan saja mesti merujuk kepada penulisan dalam bidang kursus yang dipelajarinya, tetapi ia juga memerlukan pelajar mendalami apa yang tidak terdapat dalam buku rujukan utama. Pelajar harus membaca material di luar bidang.
Ramai pelajar sebenarnya gagal membaca buku atau terbitan di luar bidang kursus yang diambil, bahkan ada pelajar yang tidak membaca buku dan kes wajib dibaca dalam kursus yang diambil. Hakikatnya ramai pelajar yang hanya membaca nota yang dibuat oleh senior atau rakan sekelas. Ada juga yang hanya merujuk kepada nota power point yang disediakan pensyarah. Ramai antara mereka hanya menghafal dan mengeluarkannya kembali ke atas kertas jawapan dalam dewan peperiksaan. Selain itu, ada segelintir pelajar yang tidak menghadiri kuliah kerana aktiviti di luar. Dalam banyak keadaan pelajar ini gagal membahagikan masa dengan baik.

Walaupun keadaan ini bukan saja berlaku kepada pelajar yang aktif berpolitik, mereka adalah sebahagian daripadanya. Saya tidak nafikan bahawa ada pelajar yang begitu berwibawa dan matang dalam melihat dan membuat penilaian berkaitan politik serta bijak membahagi masa, tetapi bilangan pelajar seperti ini amat sedikit. Bagi pelajar yang terbabit dengan politik, bilangan yang lebih ramai ialah mereka yang taksub berpolitik, tetapi tidak begitu suka membaca dan tidak begitu bijak membahagi masa.

Sekiranya pelajar mahu bergiat aktif menyertai parti politik di luar kampus, ia memerlukan kematangan dan kefasihan serta kebijaksanaan. Pelajar juga bukan saja perlu mengetahui sesuatu atas apa yang tertera dalam bentuk tulisan, tetapi juga harus dapat menilai dan memahami hasrat dengan ilmu pengetahuan. Mereka harus berbeza daripada orang lain yang tidak berpeluang menuntut di menara gading. Kualiti ilmu mereka harus lebih tinggi.

Sudah tentu setiap individu, termasuk pensyarah di universiti yang sayangkan generasi muda dan masa depan mereka, tidak mahu melihat generasi akan datang berterusan berpolitik separa matang. Ini adalah untuk negara, bukan untuk diri sendiri. Kita memerlukan ahli politik yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi, banyak membaca, bijak dan memahami serta mempunyai falsafah yang tepat mengenai sesuatu perkara.

Selepas berkhidmat kira-kira 20 tahun di universiti, saya fikir, penuntut universiti masih lagi belum bersedia menghadapi sepak terajang arena politik sebenar. Dalam jangka itu juga saya melihat pelajar yang aktif dalam politik ketika di universiti menceburi politik selepas tamat pengajian. Ada di antara mereka menjadi wakil rakyat. Secara peribadi, saya masih belum berpuas hati dengan pencapaian mereka di bidang politik walaupun sudah lama berkecimpung dalam alam politik. Mereka masih gagal berhujah secara ilmiah atau menghulur pandangan bijaksana.

Bukan tujuan saya merendahkan kebolehan pelajar universiti. Ini realiti. Oleh kerana putihnya kanvas kehidupan pelajar dan hijaunya pengalaman mereka, mereka begitu rapuh.

Hakikatnya di sini, walaupun bermula cepat di dalam politik, ia tidak menjamin pelajar menjadi ahli politik yang hebat atau bijaksana apabila benar-benar terbabit dalam politik selepas tamat pengajian nanti. Kebebasan berpolitik di universiti tidak boleh menjanjikan pencapaian yang baik dalam apa juga bidang, termasuk politik. Apa yang terlebih utama ialah ilmu pengetahuan – pelajar akan lebih bijaksana.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Rabu, 7 Disember 2011 pada 3:06:00 PTG SGT

    Mereka masih gagal berhujah secara ilmiah atau menghulur pandangan bijaksana.saya bersetuju dengan kenyataan ini kerana pada hari ni saya melihat banyak ahli parlimen yg gagal memberi jawapan yang matang dan hujah yang tuntas...kita memerlukan pelajar yang berpolitik yg dapat memberikan hujah yang kukuh diatas sesuatu isu dan masalah.

Add Comment
comment url