Garis panduan pelaburan emas perlu dikeluarkan
Kerajaan digesa mengeluarkan satu garis panduan pelaburan emas bagi menjaga kepentingan awam dan memastikan peniaga tidak sewenang-wenangnya mengaut keuntungan.
Garis panduan yang dikeluarkan itu juga perlu disusuli dengan penubuhan sebuah badan penyelia yang memantau perjalanan pelaburan tersebut seperti dilakukan Suruhanjaya Sekuriti terhadap institusi pasaran saham.
Pensyarah Kuliyyah Ekonomi dan Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, garis panduan tersebut penting memandangkan jumlah orang ramai yang terpancing dengan tarikan keuntungan lumayan pelaburan itu kian meningkat.
"Turut perlu ditekankan pada garis panduan tersebut adalah jenis kualiti emas yang sesuai dijadikan pelaburan berbanding emas bagi tujuan pengeluaran barang kemas dan kosmetik.
"Meskipun pelaburan sebegini dikatakan menjamin keuntungan lumayan dan lebih selamat kerana harga emas terus stabil dan dijangka meningkat walaupun berdepan dengan suasana ekonomi yang suram, namun terdapat juga pihak yang akan menangguk di air keruh.
"Tabiat masyarakat kita yang hanya mahu keuntungan jangka masa pendek juga menjadi faktor," katanya.
Beliau mengulas rintihan seorang pengadu dikenali Tsuri di dalam ruangan forum Utusan Malaysia hari ini yang merasakan dirinya tertipu selepas cuba menjual semula ketulan emas miliknya di sebuah kedai, namun ia hanya bernilai RM15,400 untuk 100 gram berbanding harga pasaran semasa iaitu RM19,800.
Abdul Rahim menjelaskan, pelaburan jongkong emas bukan sebuah pelaburan jangka masa singkat dan pelabur perlu menunggu sehingga satu masa sesuai bagi menikmati keuntungannya.
Sementara itu, Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr. Syed Azizi Wafa Syed Khalid Wafa berkata, buat masa ini, undang-undang sedia ada sudah memadai untuk mengawal pelaburan jongkong emas.
Katanya, kewujudan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) sebagai badan bebas untuk mendengar dan mengadili tuntutan pengguna di bawah Akta Pelindungan Pengguna 1999 sudah memadai untuk tujuan tersebut.
"Saya bersetuju pelaburan jenis ini terdedah dengan kes penipuan dan kekeliruan, namun tidak perlulah menubuhkan sebuah badan pemantau mahupun satu set garis panduan lain.
"Cuma pelabur emas perlu berusaha mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar pihak berpengalaman dan profesional dari dalam atau luar lingkaran sosial mereka bagi mengelakkan kesilapan atau kekeliruan," katanya.
- UTUSAN