Kesatuan guru bantah PTD isi jawatan penolong kanan
Jika PTD dibenarkan mengisi jawatan berkenaan, dikhuatiri sebanyak 2,282 jawatan Penolong Kanan pada Gred DG48 akan diisi PTD sekali gus menafikan peluang kenaikan pangkat guru.
Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) melihat kemasukan PTD khas untuk memegang jawatan Penolong Kanan (Pentadbiran) tidak akan menyelesaikan isu pengurusan sekolah yang dikatakan tidak profesional.
Pengerusi KGMMB Cawangan Terengganu, Abdullah Mamat, berkata ketika ini guru pada Gred DG44 yang dilantik sebagai Penolong Kanan (DG48) menguruskan hal ehwal kewangan (pentadbiran) dan juga akademik.
“Penolong Kanan sekarang menjaga dua bahagian pengurusan dan banyak tugas perlu diselesaikan hingga didakwa PTD sebagai tidak profesional.
“Jika PTD memasuki sekolah dengan hanya menjaga bahagian pentadbiran atau kewangan, guru pun boleh melakukan tugas ini kerana sekarang pun mereka sudah menjalankan dua tugas sekali gus.
“Lebih baik Kementerian Pelajaran membuka dua jawatan Penolong Kanan kepada guru, satu untuk pentadbiran dan satu lagi untuk akademik supaya pengurusan lebih kemas,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) meminta warga pendidikan bersifat terbuka dengan langkah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membuka jawatan di sekolah dan institusi lain di bawah Kementerian Pelajaran untuk pegawai daripada skim bukan pendidikan.
Presidennya, Hashim Adnan, berkata pelantikan pegawai bukan skim pendidikan bertujuan menggunakan kepakaran mereka bagi penambahbaikan sistem penyampaian di sekolah dan institusi lain seperti institut pendidikan guru atau Pejabat Pelajaran Daerah.
Beliau berkata, ketika ini, PTD sudah diterima di peringkat Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dengan memegang jawatan Ketua Sektor (Pengurusan).
“Ini strategi lautan biru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memaksimumkan kepakaran pegawai jabatan lain dengan diminta bertugas di jabatan baru yang bukan secara tradisinya tempat mereka bertugas.
“Pada masa sama, kita berharap pegawai kanan Kementerian Pelajaran daripada skim pendidikan (DG) juga diterima bertugas di kementerian lain jika ada keperluan berbuat demikian,” katanya.
Namun, Hashim berkata, PTD yang sudah ditempatkan di JPN atau Kementerian Pelajaran perlu membuktikan mereka mahu memudahkan urusan guru, bukan sebaliknya.
Beliau berkata, KPPK menerima banyak aduan daripada guru bahawa PTD di Bahagian Kewangan enggan meluluskan tuntutan guru yang bergerak ke luar daerah.
Keengganan itu katanya dengan alasan guru berkenaan sepatutnya bertugas di dalam daerah penempatan masing-masing sedangkan guru berkenaan perlu menjalankan tugas rasmi.
- BERITA HARIAN
saya sangat bersetuju dengan tindakan kesatuan guru yang membantah PTD daripada memegang jawatan PK Pentadbiran di sekolah menengah. Kalau ke sekolah kena mengajar juga lah. Jangan pandang rendah dengan guru-guru yang memegang jawatan tersebut. Alasan yang diberikan oleh mereka bahawa guru-guru PK pentadbiran tidak cekap sama sekali tidak masuk akal. Kalau kerajaan melihat PK gagal melaksanakan tugas tersebut, sepatutnya pihak kerajaan mengkaji, dan membuat penambahbaikan seperti mengurangkan masa mengajar atau sama sekali tidak diberikan kelas mengajar. Guru PK yang ada sekarang ini sebenarnya terlalu banyak beban, dan saya pasti PTD tidak dapat memegang atau menangani tanggungjawab yang dipikul oleh PK-PK sekarang ini. Pegawai atasan (kerajaan) pandailah cakap sebab tak pernah buat kerja-kerja seperti itu. Ingat tanggungjawab guru tu sikit ka.. ingat mengajar tu mudah kah? cubala sebulan dua bulan baru tahu.