Top Ad 728x90

,

Sukarkah bertutur bahasa Melayu?

Oleh TAN SRI LEE LAM THYE
Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia

BEBERAPA pihak telah membangkit mengenai betapa pentingnya kita memartabatkan semula bahasa Melayu dan memperkukuhkan bahasa Inggeris.

Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kelapan yang diadakan tahun lepas mahu bahasa Melayu dimartabatkan dan digunakan sepenuhnya termasuk dalam bidang ekonomi, kewangan serta perundangan.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) bercadang melaksanakan proses alih suara bagi rakaman suara individu yang menggunakan bahasa Inggeris dalam sesi temu bual berbahasa Melayu sebagai usaha mengukuhkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam bidang penyiaran.

Melalui Bulan Bahasa Kebangsaan yang dianjurkan setiap tahun, semua warga Malaysia diingatkan untuk memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan selain daripada usaha membolehkan kita menguasai bahasa Melayu dengan tepat.

Pada pendapat saya mutu penggunaan tatabahasa Melayu dalam pelbagai program yang disiarkan oleh stesen televisyen dan radio milik kerajaan dan swasta masih berada di tahap rendah.

Usaha perlu dilaksanakan dan membabitkan semua stesen penyiaran bagi mempertingkatkan penggunaan bahasa Melayu yang betul.

Suatu perkara yang memerlukan tindakan ialah mengenai pencemaran bahasa Melayu yang berleluasa seperti dalam dialog filem dan perbualan seharian yang mencerminkan fenomena bahasa rojak.

Saya dan ramai yang lain khuatir dengan aliran pertuturan bahasa rojak iaitu campuran bahasa Melayu dan Inggeris yang mencerminkan ketidakyakinan terhadap bahasa Melayu dan penggunaannya dengan betul.

Sukarkah untuk bertutur bahasa kebangsaan dengan betul?

Fenomena bahasa rojak yang kian menjadi-jadi. Bertutur dalam bahasa kebangsaan tetapi dicampuradukan dengan bahasa Inggeris sudah menjadi lumrah dan kebiasaan.

Daripada pertuturan harian sehinggalah kepada program-program televisyen, radio dan iklan kita semakin terdedah kepada bahasa rojak.

Malah sebahagian anggota pentadbiran kerajaan kita juga cenderung menggunakan bahasa rojak termasuk dalam ucapan di majlis dan sidang akhbar yang kemudian disiarkan menerusi televisyen.

Sudah menjadi satu tabiat bagi mereka bercakap bahasa kebangsaan diselitkan bahasa Inggeris. Memang tidak salah - untuk membuktikan kita mempunyai kemahiran bercakap dalam pelbagai bahasa. Soalannya ialah kalau mahu bertutur bahasa Inggeris gunakanlah sepenuhnya bahasa itu.

Begitu juga semasa bertutur bahasa kebangsaan, gunakan sepenuhnya dan tidak perlu dicampuradukan. Bahasa Melayu adalah bahasa indah dan tidak patut dijadikan mudah tercemar.

Sungguhpun saya bukan pakar linguistik, saya berpendapat masa telah tiba bagi semua pihak untuk memperbetulkan fenomena bahasa rojak ini dan jangan jadikannya suatu budaya atau amalan harian di negara kita.

Mesej yang saya ingin sampaikan ialah kita tidak dapat memartabatkan bahasa Melayu kalau kita cenderung mencampuradukan percakapan dalam bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris atau kita tidak dapat memperkukuhkan bahasa Inggeris dengan mencampuradukan percakapan bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90