Undangan perkahwinan melalui facebook hakis silaturrahim

Oleh ROSMAH DAIN

BUKANLAH hendak mengata, tapi aku inikan ibu saudara mereka, tak bolehkah jemput menggunakan mulut mahupun datang ke rumah dengan cara yang lebih terhormat. Ini gunakan facebook pulak. Ibunya pun sama... tak pandai langsung nak undang kita dengan cara yang lebih sopan."

Demikian keluhan seorang rakan sepejabat bagaimana keluarganya diundang ke majlis perkahwinan anak buahnya dengan hanya melalui laman sosial facebook.

Jika difikirkan ada betulnya juga rungutan tersebut.

Hakikatnya dalam masyarakat Melayu yang kaya dengan adat dan tatasusila, tatacara mengundang ke majlis perkahwinan atau majlis kenduri-kendara dilakukan dengan lebih bersopan.

Seelok-eloknya bersemuka, kalau tinggal berjauhan mungkin boleh diucapkan menerusi talian telefon kemudian disusuli dengan kad undangan.

Rasanya undangan menerusi laman sosial facebook seperti itu hanya sesuai dilakukan untuk menjemput rakan-rakan yang jauh, sama sebaya atau sekadar pemberitahuan.

Dahulu beberapa minggu sebelum majlis perkahwinan diadakan ibu bapa mempelai biasanya akan 'turun padang' menjemput saudara-mara baik yang dekat mahupun jauh memeriahkan majlis.

Namun kini, yang kononnya hubungan dieratkan secara atas talian (online) dan Internet serta laman sosial dan atas faktor kesibukan semua pihak, tata cara serta adab mengundang saudara-mara terdekat mahupun jiran-jiran sekampung turut berubah.

Mungkin pada pendapat masyarakat hari ini, bersusah-payah untuk menjemput tidak lagi relevan cukuplah sekadar memberikan undangan dari jauh melalui kemudahan-kemudahan canggih tersebut.

Menurut juru runding perkahwinan tradisional dari Melaka, Raja Andak Raja Hussin, dalam sesuatu majlis perkahwinan, setiap negeri pasti mempunyai adab tata cara undangan yang berlainan.

Namun katanya, selari dengan arus teknologi moden hari ini serta budaya kerja, cara pemikiran dan sebagainya, semua berkenaan nilai tata cara dan adab kesopanan seolah-olah semakin dipinggirkan khususnya oleh generasi sekarang.

''Kalau di Johor, pada zaman 60-an sehingga 80-an dahulu kalau jemputan tidak kena pada gayanya, orang yang diundang tidak mahu hadir.

''Pada waktu itu kedua ibu bapa mempelai perlu datang ke rumah saudara yang mahu diundang dalam suasana penuh takzim dan bersungguh, tanda memuliakan orang yang ingin diundang ke majlis itu," katanya yang berpengalaman lebih 32 tahun dalam adat-istiadat perkahwinan tradisional.

Katanya, selepas tahun 1990-an transformasi budaya ini telah berubah, cara mengundang tetamu menjadi terlalu ringkas apatah lagi dengan budaya Internet, telefon dan sebagainya.

Raja Andak menambah, urusan undang-mengundang ini ada tertibnya sendiri.

Sewaktu mengundang saudara-mara, bakal pengantin tidak perlu mengiringi ibu bapa mereka kerana ini merupakan urusan 'orang-orang tua'.

Pada mulanya undangan perlu didahulukan kepada waris terdekat seperti kedua ibu bapa, mertua, adik-beradik dan ipar duai.

Seterusnya barulah undangan dipanjangkan kepada saudara-mara dan sepupu, setelah itu sahabat handai yang paling rapat, serta keluarga angkat, kemudian barulah jiran tetangga dan akhirnya kenalan.

Apabila ditanya bagaimana hendak melakukan jemputan terhadap waris terdekat yang berada jauh, menurutnya, talian telefon boleh digunakan sebagai penghubung dan pemberitahuan.

Namun sebelum itu peristiwa pemutus kata mengenai majlis perkahwinan berkenaan telah dikhabarkan terlebih dahulu pada hari pertunangan.

Ini supaya waris berkenaan tahu mengenainya dan tidak terkejut dengan undangan yang datang secara tiba-tiba dan tidak terasa hati kerana tidak dimaklumkan lebih awal.

Tambahnya, boleh juga jemputan dilakukan dengan mewakilkan kepada individu tertentu yang membawa hasrat dan hajat jemputan kepada kenalan untuk memudahkan urusan.

''Apabila kita menjemput ke majlis pastikan kita melakukannya dengan berhemah biarpun terhadap adik-beradik sendiri.

''Biarpun ada yang beranggapan adik-beradik sudah mengetahui majlis berkenaan dan tidak perlu mengundang lagi, namun sebutan 'jemputlah' ke majlis...si anu-si anu tu perlu diucapkan sebagai tanda mengundang sesebuah keluarga itu.

''Orang yang tidak dijemput, tidak boleh datang ke majlis perkahwinan, hukumnya haram," katanya.

Raja Andak menambah, sekiranya sesebuah majlis itu menggunakan perunding perkahwinan, urusan jemputan tidak boleh dan tidak berhak dicampuri oleh juru runding berkenaan kerana ia adalah urusan keluarga dan perlu diselesaikan oleh tuan punya majlis.

Sepatutnya kata Raja Andak, adab dalam menjemput ke sesuatu majlis itu perlu dipupuk oleh ibu bapa kepada anak-anak agar generasi sekarang tidak membuat urusan jemputan itu sewenang-wenangnya.

''Apabila kita bertandang atas urusan menjemput, tidak kiralah majlis berkhatan, berkahwin, berzanji dan sebagainya , pada waktu itulah kita dapat mengeratkan silaturrahim dengan saudara-mara .

''Bagi mereka yang diundang pula, memenuhi jemputan bukanlah kerana hendak datang makan semata-mata, sebaliknya kita hadir untuk menunjukkan sokongan dan meraikan tuan punya majlis," katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url