Pembersih tangki septik - kertas kotor paling mulia


PELUANG mengikuti sekumpulan pekerja perkhidmatan penyelenggaraan Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) ke sebuah rumah yang terletak di Bukit Damansara, Kuala Lumpur untuk menyaksikan sendiri kerja-kerja mereka baru-baru ini merupakan pengalaman yang sukar untuk dilupakan.

Pihak IWK dan Kosmo! bernasib baik pada hari itu memandangkan penghuni kediaman itu sedia memberi kerjasama untuk tujuan rakaman gambar berkenaan kerja-kerja pengosongan tangki septik di dalam kawasan rumah persendirian itu.

Sebaik sahaja melihat lokasi tangki berkenaan, tanpa melenagahkan masa, pasukan berkenaan terus bergegas mengeluarkan gelung sedutan najis dari lori dan memasukkannya ke dalam lubang najis tangki septik berkenaan.

Sementara kerja penyedutan itu dilakukan, perbualan krew Kosmo! bersama ketua pasukan secara tiba-tiba hilang tumpuan apabila bau busuk mula menusuk rongga hidung.

Ekoran tidak dapat menahan bau yang amat meloyakan, penulis terpaksa menutup hidung dengan buku nota kecil, meskipun menyedari tindakan itu masih tidak memadai.

Pada masa yang sama, penulis terfikir juga, adakah tindakan itu menyinggung perasaan pekerja yang saban hari menghadap perkara sebegitu sebagai tugas lazim mereka?

Ternyata, Shahranoruddin Sharanuar, 42, dan tiga rakan setugasnya yang lain kelihatan tekun melakukan kerja-kerja itu tanpa berasa jijik. Hakikatnya, mereka sudah lali dengan bau-bauan itu.

Begitupun, tidak ramai yang sanggup bekerja dengan situasi persekitaran sedemikian. Lebih jauh daripada persepsi jelik yang sering diperkatakan orang ramai tentang pekerjaan itu, masyarakat kita patut bersyukur kerana masih ada insan seperti mereka yang sanggup melunaskan tanggungjawab tersebut.

Pandangan sinis

Biar apapun tanggapan orang, Shahranoruddin yang bertugas sebagai penyelia teknikal di IWK tidak ambil peduli dengan pandangan sinis segelintir orang kerana dia melihat pekerjaan itu sebagai punca rezeki yang dapat menampung kehidupan diri sendiri dan keluarganya.

Menurutnya, persepsi sedemikian mungkin timbul kerana tanggapan negatif terhadap pekerjaan itu yang tidak membanggakan selain hanya dilakukan oleh golongan yang kurang status akademik.

Mengimbau kembali pembabitan dalam kerjaya itu, bapa kepada seorang anak itu memberitahu, sejurus tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1987, dia bekerja di sebuah kilang yang terletak di Balakong selama dua tahun.

Pada tahun seterusnya, dia memohon kerja di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai Pembantu Am Bahagian Jabatan Kesihatan dan berkhidmat di situ sehingga tahun 1991.

Seterusnya, Shahranoruddin diserap masuk ke Jabatan Pembetungan dan Perparitan sehinggalah jabatan tersebut diswastakan sebagai IWK pada April 1994.

Pada permulaannya, dia mengakui berasa agak malu dan segan apabila jabatan itu diswastakan kepada IWK memandangkan orang ramai sedia maklum mengenai tanggungjawab syarikat berkenaan iaitu menyelenggara kerja-kerja air kumbahan.

“Dahulu apabila kawan-kawan bertanya tempat kerja, saya cuma memberitahu di DBKL. Jadi, orang tidak kisah tetapi bila bertukar ke IWK saya berasa malu ketika dilontar soalan mengenai tempat bekerja,” ujarnya.

Namun begitu, lama-kelamaan perasaan itu berjaya dikikis apabila menyedari bahawa kerjaya yang menguruskan soal kebersihan itu sebagai tuntutan fardu kifayah.

Berbalik pada konsep menjaga kebersihan demi kesejahteraan orang ramai, tugas itu adalah antara tugas yang mulia. Jika tiada orang yang menjalankan kerja tersebut, masyarakat tentu akan dikelilingi persekitaran yang menjijikkan.

Shahranoruddin tidak pernah menyesal walaupun terpaksa bergelumang dengan persekitaran kotor sebegitu. Setiap cabaran yang dihadapi telah menjadikannya lebih cekal dan tidak mengenal erti putus asa.

Sabar dimaki

Dia yang sudah berkecimpung dengan bidang itu sejak 18 tahun lalu mengakui pernah berdepan dengan sebuah kejadian yang meruntun jiwanya pada tahun 1994.

“Ketika itu, IWK sudah mula mengenakan bayaran perkhidmatan penyelenggaraan air loji kumbahan kepada orang ramai. Ramai pengguna yang tidak berpuas hati ekoran caj tersebut sehingga saya sendiri terkena tempias.

“Pada kebiasaannya, saya dan rakan-rakan lain diarah menyelenggara tangki di sebuah rumah tetapi apabila sampai di lokasi terbabit, penduduk tidak membenarkan kami membuat kerja-kerja penyelenggaraan. Puas cuba menjelaskan, namun kami dimaki hamun,” imbasnya.

Ketika diaju soalan mengenai soal geli dan busuk, Shahranoruddin mengakui mustahil dia tidak berasa geli.

“Saya pernah berasa loya dan muntah kerana bau busuk sehingga tidak lalu makan selama seminggu.

“Apabila mahu menjamu selera, ada sahaja yang terlintas dalam fikiran lalu membuatkan saya tidak berselera,” ceritanya yang mengambil masa beberapa hari untuk membiasakan diri dengan fitrah tugas itu.

Rezeki halal

Begitupun, soal tanggungjawab menjaga kebersihan diri dan persekitaran adalah perkara yang dituntut dalam agama. Shahranoruddin dan rakan-rakan setugasnya berharap, falsafah di sebalik tugas mereka itu akan dijadikan teladan bagi setiap orang dan masyarakat secara umnya.

Begitupun, ternyata tidak semua golongan terutama belia masa kini bersedia atau berminat menceburi bidang yang tidak popular itu.

Begitupun, semua itu tidak menjadi halangan buat Mohd. Sabri Samsuddin, 27, yang memilih pekerjaan tersebut dan mempunyai alasan tersendiri mengapa ia menjadi pilihannya.

Anak kedua daripada empat adik beradik yang baru lima bulan berkecimpung dalam bidang itu mengakui dia tidak berasa malu kerana perkara yang lebih penting ialah rezeki yang diperoleh adalah daripada sumber halal.

Lebih daripada itu, dia bersyukur kerana masih mampu menggunakan tulang empat kerat untuk mencari rezeki yang tidak salah di sisi undang-undang.

“Kerja yang saya lakukan ini merupakan satu sumbangan kepada masyarakat dan negara kerana tanpa tenaga kerja seperti kami, masyarakat akan hidup dalam keadaan yang tidak selesa,” tuturnya.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Kolek Kecil
    Kolek Kecil Isnin, 12 Mac 2012 pada 2:35:00 PTG SGT

    Mohon share ke blog saya. Terima kasih.

Add Comment
comment url