Hak suami dan isteri dalam rumah tangga

Oleh NOOR HAMIZAH ABU BAKAR

ALAM perkahwinan merupakan dunia yang dinanti-nantikan oleh setiap pasangan yang sedang bercinta.

Namun dalam usaha memenuhi impian tersebut, masih ramai yang tidak memahami tanggungjawab sebenar sama ada sebagai suami mahupun isteri.

Malah faktor ini antara yang menjadi penyumbang besar kepada berlakunya pergolakan dalam rumah tangga sehingga membawa kepada perceraian.

Penolong Pengarah Sosial dan Komuniti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Hafizan Ibrahim berkata, perkahwinan merupakan satu tanggungjawab dan amanah besar yang perlu dipikul oleh suami dan isteri.

Katanya, Islam telah menjelaskan berkaitan hak-hak suami ke atas isteri dan sebaliknya.

"Dalam setiap institusi rumah tangga, setiap pasangan suami isteri perlu menyedari bahawa masing-masing mempunyai hak tersendiri.

"Salah satu kunci keluarga bahagia adalah adanya pemahaman dan pelaksanaan hak dan kewajipan suami isteri serta kerjasama dalam membangun keharmonian bahtera rumah tangganya.

"Didasari dengan agama, keluarga tersebut akan menjadi lebih sempurna. Seorang suami yang beriman akan mampu menjadi pemimpin yang baik dan kelak membawa keluarganya menuju syurga," katanya ketika sesi ceramah di Ekspo Perkahwinan dan Fesyen Gerbang Cinta, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru-baru ini.

Hafizan menjelaskan, sebahagian perkara yang berkaitan dengan hak-hak suami ke atas isteri ialah seorang isteri wajib mentaati suami dalam hal kebaikan bukan dalam kemaksiatan kepada Allah.

Namun, seorang suami hendaknya tidak memberatkan atau menyusahkan isterinya.

"Ketaatan isteri kepada suaminya setelah wali menyerahkan kepada suaminya, maka kewajipan taat kepada suami menjadi hak tertinggi yang harus dipenuhi, setelah kewajipan taat kepada Allah dan Rasul-Nya.

"Kemudian seorang isteri wajib meminta izin suaminya jika hendak keluar rumah, mahupun ke rumah jiran. Jika ingin berpuasa sekalipun wajib meminta izin suami," katanya.

Selain itu, jelasnya, isteri wajib menjaga harta kekayaan dan rahsia suaminya.

Sehubungan itu, seorang suami wajib mendapatkan layanan yang baik daripada isteri.

Manakala, hak-hak isteri ke atas suami pula, Hafizan menerangkan, seorang suami itu berkewajipan memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya seperti makanan, minuman, pakaian mahupun tempat tinggal dengan cara yang baik.

Tegasnya, seorang suami janganlah menyampaikan perbuatan dan perkataan yang menyakiti hati isterinya.

Selain itu, isteri wajib mendapat bimbingan untuk perkara-perkara kebaikan seperti menutup aurat, menghidupkan budaya berzikir, sentiasa amalkan membaca al-Quran setiap hari dan sebagainya.

Suami juga bertanggungjawab memberikan isterinya perlindungan dan keselamatan dari segala sesuatu yang mungkin melibatkannya pada suatu perbuatan dosa dan maksiat atau ditimpa oleh kesulitan.

"Maka jika dia suami yang baik, dia tidak akan memperlakukan isterinya untuk melakukan perkara-perkara yang dilarang Allah kerana pernikahan seperti itu tidak akan mendatangkan manfaat.

"Jika suami tidak menunaikan hak isterinya, suami tersebut telah melakukan kesalahan. Begitu juga sebaliknya jika seorang isteri tidak memenuhi hak suaminya ia telah melakukan nusyuz," katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url