Kenapa wajah jelita berubah jadi hodoh?
Selain memiliki kecantikan semula jadi, Zaiton juga pandai bergaya dan bersolek. Dia sentiasa menjadi rujukan rakan-rakan setiap kali mereka mahu membeli pakaian baru.
Namun pada majlis perjumpaan semula atau reunion baru-baru ini, ramai rakan terkejut melihat perubahan pada Zaiton.
Dia bukan sahaja gemuk, malah mempunyai masalah bentuk badan. Perut besar dan mukanya kembang. Meskipun dia bersolek untuk menutup masalah kulit, namun tetap dapat dikesan kulitnya yang kasar dan pigmentasi yang bertompok.
Zaiton memberitahu, sudah banyak usaha di lakukan seperti diet, bersenam, mengunjung pusat kecantikan namun semuanya gagal. Dia merasa dirinya hodoh dan sering berasa malu berhadapan dengan orang ramai.
Simptom lain yang dialaminya termasuk kejang otot dan kerap sakit. Zaiton juga mengalami masalah tidur tidak lena dan haid tidak menentu.
Selain itu, dia tidak tahan dengan perubahan cuaca, masalah badan berpeluh dan berbau di samping cepat lenguh, sakit sendi, kebas kaki serta mudah terseliuh. Dia juga sering mengantuk dan rasa cepat bosan.
Pemeriksaan doktor mendapati dia mempunyai kadar kolestrol dan gula yang tinggi dalam darah.
Menurut doktor, jika tidak berjaga-jaga besar kemungkinan dia akan diserang kencing manis.
Malah, dia merasakan pada usianya yang masih muda, tahap kesihatannya seperti orang tua. Wajahnya yang sembap dan pipi terlalu tembam menjadikan dia lebih tua dari usia sebenar. Ini menyebabkan Zaiton sering menyendiri dan malu keadaan dirinya dilihat orang.
Menurut pengamal perubatan estetik, Dr. Rushmini Maris Ismail, masalah yang dihadapi Zaiton itu di panggil cushinoid. Cushinoid merujuk kepada sindrom montel yang jika tidak dikawal boleh membawa kepada kegemukan.
Katanya, Zaiton mengalami perubahan daripada cushinoid mimic kepada cushings syndrome, iaitu hormon kortisol terlalu tinggi hingga mengubah rupa dan penampilan seseorang.
Lebih lama seorang itu terdedah kepada permasalahan tersebut maka lebih banyak perubahan akan berlaku pada fizikalnya.
Antara yang ketara ialah penambahan berat badan, lemak berkumpul pada muka perut, leher dan belakang leher manakala kaki dan tangan kelihatan kecil.
Garisan-garisan atau stretch mark mula kelihatan pada perut, payu dara dan bahu selain jerawat mudah tumbuh serta pertumbuhan bulu pada muka.
Kulit wajah kelihatan kusam dan sesetengah wanita mengalami rambut gugur. Kulit juga kasar dan tidak sekata. Wajah menjadi bulat dan pipi terlalu besar, hidung juga menjadi kemik sehingga hilang wajah asal.
Kortisol yang berlebihan akan merangsang rasa lapar dan membuatkan insulin meningkat dan rosak. Oleh kerana sel lemak bergantung kepada isyarat daripada kortisol untuk berpecah dan menghasilkan tenaga, maka masalah hormon kortisol berlebihan akan menjadikan sel lemak berkumpul dan membesar.
Rawatan bagi masalah itu ialah memulihkan semula hormon dalam badan. Sebarang program diet dan senaman tidak mungkin berjaya lantaran kehadiran kortisol yang terlalu tinggi.
Kortisol ialah hormon yang terhasil dari kelenjar adrenal yang terletak pada buah pinggang. Ia terlibat secara langsung dalam metabolisme lemak. Jika berlebihan atau berkurangan maka lemak akan berkumpul. Ia juga mustahak dalam penghasilan tenaga tubuh. Jika berkurangan atau berlebihan tenaga tidak dapat dihasilkan dengan baik.
Justeru, hormon kortisol harus berada pada tahap yang optimum bagi seseorang itu memperoleh tubuh badan yang langsing serta tahap kesihatan yang baik,
Pada kebanyakan mereka yang gemuk, masalah hormon kortisol berlebihan sering berlaku menyebabkan mereka sukar menurunkan berat badan.
Kortisol yang tidak seimbang juga mengganggu tindakan hormon lain seperti hormon thyroid, estrogen, progesterone dan lain-lain.
Ini kerana hormon saling bertindak secara sinergi. Kesan kelebihan atau ketiadaan satu hormon akan mengganggu tindakan hormon lain. Faktor ini menyebabkan seseorang itu di ganggu masalah haid tidak teratur, tubuh sembap dan degupan jantung yang tidak sekata.
Oleh itu program penurunan berat badan yang ideal bagi masalah itu ialah membaiki kadar hormon, senaman yang membantu meningkatkan aktiviti hormon dan pemakanan yang memulihkan sistem hormon.
Sehubungan itu Dr. Rushmini mencadangkan rawatan untuk masalah yang dihadapi Zaiton ialah terapi enzim bagi membetulkan semula sistem hormon dalam badan. Rawatan itu turut membantu menurunkan paras kortisol.
- UTUSAN