PRU13 Lebih Mencabar Bagi SPR - Abdul Aziz

Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 mungkin lebih mencabar bagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menguruskannya kerana pertembungan parti yang bertanding dijangka lebih sengit berbanding pilihan raya umum sebelumnya.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata untuk itu, SPR akan memastikan semua pegawai dan petugasnya memahami serta menguatkuasakan peraturan pilihan raya dengan sempurna bagi memastikan tiada perkara yang tidak diingini berlaku pada pilihan raya tersebut.

"Kita mohon kepada semua parti berikan kerjasama sepenuhnya kepada SPR. Kita tidak boleh melakukannya sendirian. Kita perlu kerjasama mereka dalam memastikan pertembungan sengit dua pihak ini berlangsung dengan aman dan lancar. "SPR juga telah dan sedang menyediakan kemudahan daripada segi logistik, peralatan dan fasiliti mengundi. Bila dewan (Parlimen) bubar kita telah bersedia," katanya kepada Bernama dan RTM di Wisma Radio, Angkasapuri di sini, Selasa.

Beliau sebelum itu menghadiri sesi temu bual khas lebih sejam bersama radio Klasik Nasional FM bagi membincangkan hal-hal berkenaan SPR dan PRU.

Sementara itu, Abul Aziz berkata pengundi yang berstatus meragukan dalam daftar pemilih masih boleh mengundi pada PRU ke-13 akan datang sekiranya mereka benar-benar layak.

"Bila mereka datang ke pusat mengundi nanti kita akan bersedia untuk melakukan semakan secara menyeluruh terhadap mereka sebelum kita benarkan mereka mengundi. "SPR tidak akan menghakis hak mereka sebagai pengundi hanya kerana masalah seperti ini. Namun jadi tanggungjawab pengundi menyemak status mereka di laman web SPR, melalui telefon atau pelbagai cara lagi, bagi menyelesaikan masalah ini lebih awal," katanya.

Beliau berkata daripada jumlah pengundi yang meragukan itu, kira-kira 22,000 orang gagal mengambil kad pengenalan yang telah disiapkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam tempoh melebihi 20 tahun menyebabkan mereka diletakkan dalam status meragukan.

Pada Isnin, Abdul Aziz berkata hanya 0.3 peratus daripada 12.6 juta pemilih diklasifikasikan sebagai pengundi yang meragukan setelah rekod mereka didapati meragukan oleh JPN. Berkenaan 22 syor Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang akan dibincangkan pada mesyuarat anggota panel SPR esok, Abdul Aziz berkata cadangan itu amat baik dalam memastikan PRU di negara ini berjalan dengan baik.

"Cadangan itu ada yang sesuai dilaksanakan bagi tempoh jangka pendek, ada bagi tempoh jangka pertengahan dan ada bagi tempoh jangka panjang. Kita akan teliti cadangan ini sedalamnya," katanya.

Pada 3 April lepas, Dewan Rakyat meluluskan kesemua 22 syor yang dikemukakan jawatankuasa itu tanpa dibahaskan.Mengulas mengenai fasiliti orang kelainan upaya (OKU) dalam PRU ke-13 nanti, beliau berkata SPR akan memastikan fasiliti OKU mencukupi bagi memberikan keselesaan kepada golongan itu melaksanakan hak mereka sebagai pengundi.

"Kita telah adakan perbincangan dengan persatuan OKU tentang keperluan mereka dan kita laksanakan cadangan seperti benarkan OKU cacat penglihatan bawa teman, sebelum ini kita hanya benarkan bawa anggota keluarga. Namun cadangan bagi tulisan braille pada kertas undi masih belum dapat dilaksanakan.

"Paling penting sekali lebih ramai OKU perlu mendaftar sebagai pemilih kerana bilangan OKU yang mendaftar agak kurang. Kita akan bekerjasama dengan mereka yang terlibat bagi pastikan lebih ramai OKU mendaftar sebagai pemilih," katanya.

Pada 24 Mac lepas Presiden Majlis Gabungan Persatuan OKU Malaysia Datuk Mah Hassan Omar mencadangkan tiga penambahbaikan utama yang perlu dilakukan SPR untuk memastikan OKU dapat mengundi dengan selesa.

Tiga penambahbaikan itu ialah lebih banyak fasiliti mesra OKU di pusat pengundian, kertas undi khusus untuk OKU cacat penglihatan dan memberi mandat kepada majlis itu serta anggota gabungannya menyalurkan maklumat pengundian kepada OKU di seluruh negara.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url