SPR Tidak Beri Kertas Undi Jika Enggan Jari Dicalit Dakwat

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak akan mengeluarkan kertas undi kepada pengundi yang enggan jari mereka dicalitkan dengan dakwat kekal pada hari pengundian.

Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata, ia selaras dengan peruntukan undang-undang apabila penggunaan dakwat kekal diwartakan 15 Februari lalu bagi membolehkan ia digunakan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

"Kalau mereka tak mahu jari dicalitkan dengan dakwat, kerani pusat mengundi tidak akan memberikan kertas undi.

"Ini selaras dengan undang-undang baru yang memerlukan pengundi dicalit dengan dakwat kekal bagi mengelakkan penipuan berlaku," katanya pada sesi taklimat dengan sidang editorial akhbar The Star di Menara Star pada Khamis.

Ditanya kemungkinan wujudnya usur sabotaj apabila pengundi yang hadir pada hari mengundi sengaja mencalitkan jari mereka dengan dakwat, Kamaruddin berkata perkara itu boleh diatasi kerana SPR tidak akan mendedahkan warna atau jenis dakwat yang akan digunakan lebih awal.

"Tak mengapa kalau mereka nak cat jari dengan warna apa sekalipun. Malah kalau ada yang memakai inai atau pewarna kuku pun kita tiada masalah kerana anda tak tahu warna apa yang akan SPR gunakan.

"Sebab itu kita tidak dedahkan kepada umum warna dakwat kekal tersebut termasuk sumber yang kita perolehi," katanya lagi.

Sebelum ini SPR mengumumkan akan menggunakan dua jenis dakwat kekal yang berbeza untuk dicalitkan pada jari pengundi awal seperti pengundi pos melibatkan anggota keselamatan dengan pengundi biasa.

Malah Majlis Fatwa Kebangsaan pada Januari lalu telah memutuskan bahawa penggunaan dakwat kekal oleh SPR sebagai harus dan kandungan sampel dakwat yang dikemukakan agensi itu tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Bagaimanapun warna dakwat kekal yang bakal digunakan masih rahsia dan hanya diketahui sehari sebelum pengundian bagi memastikan ketelusan pilihan raya berkenaan.

Penggunaan dakwat kekal merupakan salah satu daripada tujuh syor Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi penambahbaikan sistem pilihan raya selain pengundian awal bagi anggota tentera dan polis, pembersihan daftar pemilih, memansuhkan proses bantahan terhadap kertas pencalonan pada hari penamaan calon dan memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia di luar negara yang berdaftar sebagai pemilih untuk mengundi secara pos.

- MSTAR
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url