Boleh doakan kafir zimmi
SOALAN:
APAKAH hukum orang kafir memohon agar didoakan, bolehkah kita mendoakan mereka. Apakah cara terbaik untuk berdoa.
JAWAPAN:
MENDOAKAN orang kafir dengan maghfirah (ampunan dosa) dan seumpamanya yang tidak patut untuk mereka adalah haram. Namun, mendoakan orang kafir supaya mendapat petunjuk supaya dia menerima Islam, dengan kesihatan badan, keselamatan, kemajuan dibolehkan asalkan saja dia bukan kafir harbi (memusuhi kaum Muslimin).
Jika kafir minta didoakan bermakna kepercayaan terhadap agamanya sudah goyah dan mengarah kepada beriman. Di sinilah terletaknya kewajipan atas bahu saudara untuk mengajukan dakwah iman kepada orang yang memanggil saudara berdoa untuknya dalam urusan duniawi.
Oleh itu, di samping saudara berdoa untuknya dalam urusan duniawi, kewajipan saudara juga mengajaknya menerima Islam.
Dalil mengenai boleh mendoakan kafir zimmi dengan urusan dunia iaitu bukan urusan akhirat dan boleh makan minum pemberian orang kafir, asalkan bersih dan halal seperti disebut dalam kitab al-Azkar oleh al-Imam Abu Zakariyya Muhyiddin Yahya Syaraf an-Nawawi seperti berikut (yang bermaksud):
“Ketahuilah bahawa sesungguhnya tidak boleh mendoakan kafir dengan ampunan dan yang menyerupainya daripada apa-apa yang tidak layak dikatakan bagi orang kafir.
Namun, boleh mendoakan orang kafir dengan petunjuk, sihat tubuh badan, afiat (keselamatan dunia) dan yang seumpamanya. Diriwayatkan kepada kami dalam kitab Ibnussunni daripada Anas, beliau berkata:
“Pernah Rasulullah minta dituangkan air, maka datang seorang Yahudi menuangkannya. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Jammalakallah (ertinya: Moga Allah baguskan engkau). Justeru tidaklah Yahudi itu melihat uban sampai matinya.”
Untuk pertanyaan kedua, kalau melihat banyak ayat dan hadis, kita akan memperoleh petunjuk mengenai doa.
Antaranya berdoa hendaklah dimulakan dengan ucapan ‘Alhamdulillah’ iaitu memuji Allah atas segala nikmat yang dianugerahkan-Nya selama ini sebagai pengakuan kasih sayang (rahmah)-Nya.
Maka, jika sekalipun permintaan tidak atau belum dipenuhi, ini tidak menjadikan orang yang berdoa kecewa atau berasa ketidakadilan Tuhan.
Sesudah itu, hendaklah mengucapkan selawat iaitu memohon kepada-Nya agar Nabi Muhammad SAW dilimpahi rahmat dan kasih sayang oleh-Nya sebagai kunci pembukaan. Oleh kerana Nabi Muhammad SAW adalah kekasih Allah dan melalui Baginda kita beroleh petunjuk.
Selawat membuktikan rasa terima kasih kita kepada Baginda. Dengan mengucapkannya, kita berharap akan beroleh percikan kasih-Nya. Selepas itu, barulah kita mengajukan permohonan.
Selain itu, jangan lupa mendoakan orang lain seperti disabdakan Nabi SAW dalam riwayat Muslim yang bermaksud:
“Jika seseorang mendoakan saudaranya (iaitu orang lain) tanpa pengetahuannya, maka malaikat akan berdoa ‘amin’, dan untukmu (iaitu orang yang berdoa) semoga Allah menganugerahkanmu seperti itu.”
Sesudah itu, akhiri doa dengan mengucapkan Subhanallah iaitu menyucikan Allah daripada segala kekurangan seperti sifat kedekut atau tidak adil. Wallahualam.
- BERITA HARIAN