Media baru cabaran sebenar parti dalam PRU13

Oleh Ahmad Fadli KC

Penguasaan media baru adalah cabaran baru kepada semua pihak yang bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Mantan ketua pengarang kumpulan New Straits Times Press, Datuk Abdul Kadir Jasin berkata keadaan sewaktu pilihan raya umum tahun 2008 berbeza sama sekali kerana hanya satu pihak memberikan perhatian kepada penggunaan media baru pada masa itu.

"Akses media baru satu cabaran. Tahun 2008 penggunaan media baru dimonopoli Pakatan Rakyat.

"Umno-BN hampir tidak peduli kepada media dalam talian ini. Mereka bergantung kepada Utusan, Berita Harian dan sebagainya," katanya pada Konvensyen Akses Media Adil dan Bebas Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 di Seri Kembangan pagi tadi.

Namun, sekarang BN mula sedar sehingga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilihat 'terlebih' dalam penekanannya terhadap penggunaan media baru oleh bakal calon BN dalam PRU akan datang, katanya.

"Akhir-akhir ini PM go overboard (berlebih-lebihan) sehingga mengatakan calon-calon boleh menang BN perlulah ada Twitter," katanya.

Keghairahan Najib dalam mendekati warga Internet terus tergambar apabila pagi tadi beliau bersarapan bersama pengikut laman blog mikro Twitter beliau yang ke-500,000 di Bangsar.

Beliau sebelum ini turut menyampaikan rasa terharunya apabila bilangan 'like' di laman Facebook beliau melepasi 1 juta orang.

Kadir juga menyifatkan penggunaan media baru sebagai 'membawa tuah dan sial kepada kedua-dua pihak'.

Beliau berpendapat ahli politik perlu berhati-hati dengan isu-isu sensasi yang akan mewarnai wadah komunikasi baru itu.

"Isu-isu sensasi akan membebani kedua-dua pihak. Isu-isu sensasi akan dimainkan habis-habisan, ada orang berkata kempen PRU akan datang antara yang paling kotor.

"Saya rasa mereka buat ramalan yang tepat.

"Melalui media baru, kemungkinan disaman lebih kecil (berbanding) kalau menggunakan media arus perdana," katanya.


Spekulasi tarikh pilihanraya jadi buah mulut

Spekulasi berhubung tarikh pilihan raya giat diperkatakan susulan ucapan perdana menteri di masjlis sambutan ulangtahun Umno, Jumaat lalu bahawa beliau terasa seperti ingin segera mengadap Yang Dipertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

Spekulasi di blog dan SMS itu antaranya dikutip akhbar Sinar Harian yang menyebut bahawa tarikh pilihan raya diramal pada 9 Jun manakala hari penamaan calon pula dijangka 26 Mei.

Najib juga diramal akan membubarkan Parlimen pada Isnin, menurut laporan tersebut yang memetik satu sumber.

Ramalan itu juga dibuat berdasarkan tempoh cuti sekolah dua minggu bermula 28 Mei, menurut laporan tersebut .

Laporan itu juga memetik kenyataan timbalan speaker Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi yang berpendapat kenyataan Najib untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong itu hanya satu gurauan.

Katanya, Najib masih perlu menyelesaikan isu nadi bumi Lynas, manakala Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen hanya akan membentangkan laporan pada awal Julai.

"Jadi saya fikir paling cepat pun awal pada Julai sebelum Ramadan atau selepas Aidilfitri, sekitar September," katanya.

- MALAYSIAKINI
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url