KDN haramkan penerbitan buku Irshad Manji

KUALA LUMPUR 14 Jun - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan Perintah Larangan Penerbitan terhadap buku "Allah, Liberty And Love" dan "Allah, Kebebasan dan Cinta" karya penulis Irshad Manji.

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan & Teks al-Quran KDN, Abd. Aziz Md. Nor berkata, buku itu dikenakan Perintah Larangan kerana mengandungi unsur mengelirukan orang awam yang menyeru kepada logik akal semata-mata dan bercanggah dengan ajaran dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi amalan umat Islam di negara ini.

``Pewartaan Warta Kerajaan P.U (A) 162 bertarikh 29 Mei 2012 itu, adalah mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,'' katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, adalah menjadi satu kesalahan mengikut subseksyen 2 Seksyen 8 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 sekiranya mana-mana orang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam miliknya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan.

Abd Aziz berkata, mereka yang disabitkan melakukan kesalahan itu boleh dikenakan penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Irshad Manji ialah seorang penulis wanita berfahaman Islam liberal yang memperjuangkan hak lesbian, gay, biseksual dan transeksual melalui hasil penulisannya.

Pada tahun 2009, hasil penulisannya bertajuk "The Trouble With Islam Today" diharamkan mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana kandungannya mempropagandakan akidah, hukum dan ajaran yang turut bercanggah dengan fahaman mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url