Isnin punca sijil cuti sakit?

SESEORANG yang mempunyai rutin kerja dari Isnin sehingga Jumaat pastinya pernah mengalami sindrom Monday blues.

Ia adalah perasaan murung dan gelisah yang timbul apabila seseorang memikirkan dia terpaksa masuk bekerja semula pada hari Isnin selepas cuti hujung minggu Sabtu dan Ahad.

Perasaan ini biasanya bermula pada Ahad petang dan berakhir pada Isnin, selepas waktu bekerja.

Ini kerana bagi kebanyakan pekerja, Isnin adalah hari yang paling sibuk dengan pelbagai "dateline" dan mesyuarat penting.

Mungkin juga kerana ada di antara mereka sebenarnya masih berada di dalam mood cuti.

Berbeza dengan hari Jumaat apabila kebanyakan pekerja datang dengan penuh semangat memandangkan cuti hujung minggu mereka akan bermula selepas tamatnya waktu bekerja.

Kemurungan ini memusnahkan mood cuti hujung minggu. Cuti tersebut tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk berehat. Malah ada yang begitu tertekan sehingga mengganggu keintiman suami isteri.

Monday blues ini juga adalah sebab mengapa ramai pekerja sengaja mengambil sijil cuti sakit pada hari Isnin.

Bagi yang datang bekerja, mereka lebih suka menyendiri dan menjadi tidak produktif. Suasana persekitaran juga menjadi hambar dan suram.

Bagi pekerja berpengalaman, mungkin cara paling baik untuk menghadapinya adalah melaluinya dengan sikap yang paling positif.

Anda pula mungkin mempunyai cara tersendiri, tetapi tidak salah untuk mencuba beberapa kaedah di bawah.

Tips mengelakkan Monday bluesPersediaan boleh bermula pada hari Jumaat lagi dengan membuat nota ringkas berkenaan perkara-perkara yang perlu dilakukan pada Isnin. Ini akan mengelakkan suasana kelam kabut pada hari tersebut.

Kebanyakan orang mengadu susah melelapkan mata pada Ahad malam. Ini kerana mereka banyak berfikir tentang perkara yang remeh-temeh.

Cuba dapatkan rehat secukupnya. Anda boleh cuba teknik mandian segar menggunakan sabun aromaterapi atau minum teh herba panas tanpa kafein beberapa jam sebelum waktu tidur.

Masuk tidur awal dan jangan menonton televisyen sehingga larut malam.

Pada keesokan harinya pula, mulakan dengan berjoging atau membuat senaman ringkas.

Setengah jam sudah mencukupi untuk merangsang tubuh badan merembes hormon gembira yang dipanggil endorphine.

Fikirkan sesuatu yang boleh membuatkan anda gembira ke tempat kerja. Contohnya, anda mungkin boleh telefon kawan untuk bersarapan pagi di kopitiam berhampiran atau mendapatkan perkhidmatan teksi ke pejabat.

Nikmati perjalanan tersebut. Datang lebih awal supaya anda berkesempatan untuk menyemak jadual temujanji dan membuat persediaan secukupnya.

Semasa bekerja, berehatlah seketika apabila minda anda semakin kehilangan fokus. Anda boleh berjalan-jalan atau membuat regangan kecil untuk melegakan tekanan.

Otak memerlukan oksigen dan rangsangan untuk berfungsi, terutamanya jika anda bekerja di dalam bagunan yang tidak mempunyai rangsangan cahaya matahari.

Jika anda perlu menghadiri mesyuarat kakitangan, carilah cara untuk menceriakannya. Cubalah tersenyum walaupun anda sendiri tidak menggemarinya.

Rakan sekerja anda juga mungkin begitu. Anda boleh membelikan kuih muih atau coklat bar untuk dikongsi bersama. Manisan adakalanya baik untuk meredakan ketegangan.

Pada waktu rehat tengah hari, cuba penuhkan ruang tersebut dengan aktiviti yang menggembirakan.

Anda mungkin boleh keluar makan bersama kawan, berjalan di kompleks beli-belah atau bersantai di pejabat.

Rancang sesuatu yang istimewa untuk dilakukan pada malamnya. Anda boleh makan malam bersama keluarga, berkaraoke atau menonton wayang.

Anggaplah ia sebagai hadiah selepas anda mengharungi hari isnin yang sibuk dan huru-hara.

Bagi majikan dan ketua jabatan pula, rangsanglah persekitaran jabatan anda sebaik mungkin. Ini boleh dilakukan dengan memulakan sesi bekerja pada Isnin dengan bacaan doa.

Cuba untuk tidak membuat mesyuarat kakitangan atau morning prayer pada hari tersebut.

Sediakan persekitaran yang kondusif untuk mereka menguruskan tekanan kerja dengan baik.

Hari Isnin tetap akan berlalu sama ada anda menghadapinya dengan baik atau tidak. Bagaimanapun, sekiranya perasaan murung tersebut berlarutan hingga ke hari-hari seterusnya, lakukanlah sesuatu.

Anda mungkin perlu menukar kerja atau mendapatkan rawatan doktor.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Aimacomel
    Aimacomel Isnin, 9 Julai 2012 pada 10:10:00 PTG SGT

    kerja hari isnin sgt seronok tp bila penghujung hari sgt memenatkan.. selalu isnin mesti balik lambat

Add Comment
comment url