Rawatan Islam diiktiraf Kementerian Kesihatan
Berikutan itu, pengamal perubatan Islam, tradisional, termasuk bomoh perlu mendaftar menerusi majlis yang akan ditubuhkan untuk mengendalikan urusan pengamal perubatan tradisional.
Notis pindaan
Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata notis pindaan menambah perubatan Islam dalam tafsiran rang undang-ndang itu akan diberikan ketika sesi perbahasan Dewan Rakyat hari ini.
“Sebelum ini, kita tidak masukkan perubatan Islam kerana tidak mendapat persetujuan JAKIM tetapi sekarang sudah dipersetujui bukan saja JAKIM, malah Jabatan Agama Islam negeri,” katanya di lobi Parlimen selepas membentangkan rang undang-undang itu.
Liow juga berkata, kementerian dengan kerjasama JAKIM akan memantau proses pendaftaran pengamal perubatan Islam, tradisional Melayu, Cina dan India.
Beliau berkata, pengamal perubatan tradisional dan komplementari yang mengingkari arahan mendaftar boleh dikenakan denda antara RM30,000 hingga RM50,000 atau penjara dua tahun.
“Semua pengamal perubatan Islam tidak terlepas daripada tindakan tegas jika menipu dan melanggar undang-undang selepas Rang Undang-undang Perubatan Tradisional dan Komplementari 2012 diluluskan,” katanya.
Kelmarin, Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang meminta Kementerian Kesihatan memasukkan perubatan Islam dalam rang undang-undang itu kerana perubatan moden dan Islam sama penting, tambahan pula sering berlaku kes pesakit tidak sembuh selepas menerima rawatan di hospital dan beralih mencuba kaedah perubatan Islam atau tradisional.
Perkara sama disuarakan Pengerusi Gabungan Persatuan Pengamal Pengubatan Islam Malaysia (GAPPIMA), Mohd Fauzi Mustaffa kerana bimbang masa depan amalan perubatan itu bagi merawat pelbagai penyakit serta kes sihir yang semakin berleluasa.
Strategi maju perubatan
Terdahulu, Liow berkata berikutan perkembangan pesat perubatan tradisional dan komplementari di Malaysia dan antarabangsa, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merangka strategi untuk membangunkan industri itu.
“Di Malaysia permintaan terhadap perubatan ini makin meningkat serta berkembang pesat dan banyak aduan diterima mengenainya. Selain itu, negara sering digemparkan dengan pelbagai berita membabitkan pengamal perubatan ini,” katanya.
Setakat ini, 10 hospital kerajaan menjalankan program integrasi menawarkan perubatan moden bersama perubatan tradisional, iaitu Hospital Kepala Batas (Pulau Pinang), Hospital Sultan Ismail (Johor Bahru), Hospital Putrajaya, Hospital Sultanah Nur Zahirah (Terengganu), Hospital Duchess of Kent (Sandakan), Hospital Umum Sarawak, Hospital Sultanah Bahiyah (Alor Setar), Hospital Port Dickson, Hospital Sultanah Hajah Kalsom (Cameron Highlands) dan Hospital Raja Perempuan Zainab 2 (Kota Bharu).
- BERITA HARIAN