Persepsi Negatif 'Gugat' Kerjaya & Imej Juruterapi SPA



KEKURANGAN tenaga kerja terlatih tempatan menjadi antara faktor utama yang menyebabkan pusat-pusat spa tempatan terpaksa mengambil pekerja asing bagi memenuhi keperluan serta permintaan.

Menurut laporan berita, industri spa di Malaysia dijangka menyumbang RM666.2 juta kepada pendapatan tahunan negara selain mewujudkan kira-kira 6,000 peluang pekerjaan bagi pengamal terapi spa menjelang 2020.

Bagaimanapun persepsi negatif terutama dalam kalangan masyarakat Melayu terhadap kerjaya terapi spa menyebabkan industri spa di Malaysia lambat berkembang berbanding perkembangan industri tersebut di negara jiran seperti di Indonesia dan Thailand.

Menurut Penolong Setiausaha 2, Bahagian Pembangunan Industri, Kementerian Pelancongan Malaysia, Nadia Monira Mohamed Taib, sehingga kini Malaysia memerlukan 1,650 pengamal terapi spa tetapi hanya dapat diisi sebanyak 1,300 jawatan.

Malahan 60 peratus daripada pengamal terapi spa ini adalah warga asing.

KERJAYA

Menurut Nadia Monira, pihak kementerian mahu mengubah persepsi kerjaya juruterapi spa sebagai satu bidang profesional seperti mana penerimaan masyarakat dalam bidang kerjaya penjagaan kesihatan dan perubatan seperti jururawat.

"Bidang terapi spa ini juga sama seperti bidang jururawat, di mana mampu memberi rawatan kepada mereka yang memerlukan serta membantu memberi ketenangan minda dan menghilangkan tekanan. "Persepsi negatif timbul dan berlegar apabila juruterapi spa perlu memberi rawatan kepada mereka yang berlainan jantina.

"Namun jika melihat kerja itu sebagai satu bidang profesional untuk memberi rawatan sepertimana yang dilakukan oleh seorang jururawat yang perlu merawat pesakit tanpa mengira jantina, persepsi itu akan berubah," jelas beliau.

Beliau sendiri pernah berhadapan dengan situasi ibu bapa yang datang 'menyerang' ke pusat latihan kerana tidak bersetuju dengan tindakan anaknya yang hadir untuk mengikuti program yang dijalankan.

Namun setelah dibawa melihat sendiri keadaan perjalanan kursus serta dijelaskan tugas dan peranan sebagai juruterapi spa, akhirnya mereka bersetuju.

"Ia memerlukan masa untuk memperjelaskan kepada masyarakat bagi menghilangkan persepsi negatif tersebut dan dalam masa yang sama kementerian meneruskan usaha secara serius bagi mengangkat industri spa ke tahap yang profesional," katanya.

INDUSTRI SPA

Industri spa ketika ini semakin mendapat permintaan dan dilihat berkembang pantas walaupun sering menerima pandangan negatif masyarakat. Ia sebenarnya mampu diangkat sebaris dengan bidang profesional lain dan diiktiraf masyarakat.

Masyarakat selama ini keliru dengan khidmat yang ditawarkandi spa dan masih ramai menyamakan ia dengan pusat urut haram beroperasi tanpa lesen atau seliaan.

Nadia Monira berpendapat cabaran paling utama ialah mengubah pandangan masyarakat terhadap bidang spa dan kecantikan kerana ia bukanlah sesuatu yang menjijikkan tetapi satu industri yang mampu memberi pulangan lumayan kepada negara dan pengusaha itu sendiri.

Melihat industri spa sebagai satu industri yang mempunyai prospek yang luas terutama dalam sektor pelancongan negara, KPM telah memperkenalkan program terapi spa dalam satu daripada Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Ia bertujuan untuk membangunkan industri spa menjadi lebih maju dengan meningkatkan kepakaran tempatan selain dapat mengawalselia industri itu dengan lebih berkesan.

Ini juga akan mengurangkan kebergantungan kepada orang asing serta melatih juruterapi spa dari kalangan rakyat tempatan terutama mereka yang hidup dalam taraf kemiskinan.

"Kita mahu memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dengan melatih mereka secara profesional terutama yang tinggal di kawasan luar bandar, Felda , ibu tunggal yang memerlukan pekerjaan," ujar Nadia Monira yang turut menyatakan industri itu mampu menyumbangkan sebanyak RM662 juta dan 5,644 pekerjaan menjelang 2020.

"Terdapat 153 buah spa di seluruh negara yang telah mendapat penarafan bintang daripada kementerian daripada satu hingga lima bintang mengikut piawaian yang ditetapkan," katanya.

PELUANG PEKERJAAN

Diberikan pekerjaan sebaik ditauliahkan sebagai juruterapi spa terlatih antara keistimewaan yang akan diterima mereka yang mengikuti latihan.

Mereka hanya perlu menghabiskan enam bulan latihan yang merangkumi tiga bulan teori dan tiga bulan amali di pusat latihan yang ditetapkan sebelum layak mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (Tahap 2) daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia.

Setelah itu mereka akan diberi penempatan kerja selama dua tahun di spa yang dikelaskan tiga hingga lima bintang oleh KPM.

Seramai 55 peserta telah dilatih sejak program itu dilancarkan Januari lepas dan menyasarkan untuk melatih seramai 150 orang pada tahun ini di lima pusat latihan yang ditetapkan.

"Ketika menjalani latihan amali lagi mereka akan menerima elaun sebanyak RM1,000 dan setelah bekerja sepenuh masa, kebiasaanya gaji yang diberi kepada juruterapi spa junior bermula dari RM1,200 hingga RM1,800 mengikut penarafan bintang spa tempat mereka bekerja.

"Selain itu terdapat juga majikan yang memberi kemudahan lain seperti pakaian seragam, perlindungan insurans, komisyen, tempat tinggal. Ini akan dapat membantu mempertingkatkan diri serta menambah baik kehidupan yang menjadi matlamat program ini," katanya.

CARA MEMOHON

Tidak memerlukan sebarang kelulusan akademik, hanya dengan sedikit perwatakan dan penampilan yang bersesuaian, mereka yang berkelayakan terutama datang dari keluarga berpendapatan rendah di bawah RM3,000 sebulan layak memohon.

Ia terbuka kepada mereka yang berminat, berumur 18 hingga 40 tahun, lulus pemeriksaan kesihatan serta sanggup menandatangani perjanjian untuk bekerja selama dua tahun dengan bakal majikan.

"Mereka layak mendapat biasiswa penuh kerajaan yang membayar segala yuran dan pembiayaan sebanyak RM7,000 sepanjang kursus tersebut yang merangkumi yuran pembelajaran, pemeriksaan kesihatan, makan minum, penginapan dan pengangkutan," katanya.

Kementerian Pelancongan juga menyediakan biasiswa separuh kerajaan yang terbuka kepada mereka yang mempunyai pendapatan lebih RM3,000 sebulan yang mana kerajaan menyediakan RM4,000 manakala RM2,500 dibayar oleh bakal majikan yang memerlukan khidmat mereka. Pelatih hanya perlu membayar RM500 sebagai yuran komitmen untuk mengikuti kursus tersebut.

Sama seperti syarat mereka yang mendapat biasiswa penuh, pelatih juga perlu menandatangani kontrak dengan bakal majikan selama dua tahun.

Sementara itu, bagi mereka yang tidak mahu menandatangai kontrak kerja dan hanya memerlukan sijil sebagai juruterapi spa, boleh membayar sendiri yuran kursus sebanyak RM7,000.

"Mereka yang membayar sendiri tidak dikenakan sebarang syarat kontrak pekerjaan. Hanya perlu berumur 18 tahun dan lulus pemeriksaan kesihatan," katanya.

Menurut Nadia, prospek sebagai juruterapi tidak hanya terhenti di situ sahaja, sebaliknya mereka boleh memajukan diri dengan mengikuti kursus lanjutan untuk menjadi juruterapi senior, penyelia spa, pengurus spa, pengarah spa serta pemilik spa.

Mereka yang berminat boleh memohon dengan mengisi borang di laman web www.motour.gov.my
- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url