Larangan mencela sesama Muslim
Setiap orang Islam adalah bersaudara antara satu dengan yang lain. Umat Islam berkewajipan menolong saudara seagamanya yang ditimpa kesusahan dan tidak boleh mendedahkan keburukan saudaranya kepada orang lain bahkan dia wajib merahsiakannya.
Islam ialah agama yang mengutamakan persaudaraan, tolong-menolong dan lindung-melindungi daripada kemungkaran. Islam memelihara hak masyarakat dan menyeru umatnya merealisasikan jaminan sosial dalam semua bentuk kehidupan bermasyarakat sama ada kebendaan atau rohani.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menolak kata buruk terhadap kehormatan diri saudaranya, nescaya Allah menolak api neraka daripada mengenainya pada hari kiamat.” (Riwayat Ahmad dan Tirmizi)
Memperli, memperolok-olok, mengejek, menghina, memperlekeh, memanggil dengan gelaran yang memalukan, menyatakan kekurangan orang secara terang-terangan dan sebagainya adalah perbuatan sangat dilarang Allah.
Sesiapa yang mencaci orang lain sebenarnya dia mencaci dirinya sendiri. Sebaiknya selaku umat Islam kita hendaklah hidup saling hormat-menghormati, bantu-membantu dan tolong-menolong.
Justeru, apabila mendengar celaan, kita sepatutnya bertindak menyembunyikan keburukan itu sekalipun seseorang yang dicela itu memang telah melakukan sesuatu dosa yang mengaibkan kerana kemungkinan orang itu telah bertaubat dan taubatnya diterima Allah. Sesungguhnya sesiapa yang berbuat demikian ganjarannya adalah amat besar di akhirat kelak.
- Koleksi hadis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)